Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDi Sarawak, bermukun merupakan seni tradisi dalam kalangan orang Melayu sejak zaman-berzaman. Dalam Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mukun mempunyai dua maksud, iaitu sejenis bekas untuk meletak makanan; dan berbalas pantun.
Adakah anda tahu tentang mukun? Dalam mendepani arus permodenan yang kian mencabar, penerbitan buku Pantun Melayu Sarawak: Beraie Tembang Lamak karya Hazami Jahari dilihat sebagai suatu langkah pragmatik untuk memperkenalkan seni bermukun kepada khalayak selain melestarikan khazanah lisan tersebut daripada luput ditelan zaman.
Buku tersebut berperanan sebagai rujukan berautoriti bagi sesiapa yang ingin menyelami estetika dan falsafah di sebalik seni mukun. Naskhah setebal 102 muka surat ini disusun rapi kepada dua bahagian, iaitu “Gendang Melayu Sarawak: Sumber Hiburan dan Manifestasi Ketangkasan Akal Melayu” dan “Pantun Melayu Sarawak.”
Mukun atau pantun, merupakan komponen penting dalam persembahan Gendang Melayu Sarawak. Seni tersebut masih popular dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak. Sejak zaman dahulu, bermukun telah menjadi wahana hiburan khususnya semasa majlis perkahwinan, berkhatan dan majlis keramaian.
Secara khusus, bermukun adalah “acara berbalas pantun antara perempuan memukul gendang yang juga dikenali sebagai Seh Gendang, dengan lelaki (pemuda) bertandak (berjoget) yang dikenali sebagai topeng dalam Gendang Melayu Sarawak.”
Dalam bermukun, terdapat tiga kemahiran yang menjadikan seni ini yang mampu menarik minat ramai yakni kepandaian berpantun, kemahiran bertandak (topeng) dan kemahiran memukul gendang (Seh Gendang).
Jika anda hadir sendiri ke majlis-majlis yang mempunyai acara bermukun atau menonton di YouTube dan televisyen, anda akan dapati persembahan mukun sangat mempesonakan. Kepintaran mencipta dan berbalas pantun, kemahiran bergendang dan kepandaian dalam menari, membuatkan majlis tersebut terasa hangat dan tidak sunyi.
Usik-mengusik dalam dalam bentuk pantun menjadikan suasana cukup meriah. Dalam bahagian pertama, penulis menjelaskan tentang alat muzik, adab dan tatacara penganjuran majlis bergendang, peranan dan pengaruh Gendang Melayu Sarawak serta masa depannya, manakala bahagian kedua pula mengandungi pantun-pantun yang dikarang sendiri.

Walaupun orang Melayu bukanlah kaum majoriti di Sarawak, namun bahasa Melayu sudah lama telah menjadi lingua franca di Sarawak. Jika anda orang Sarawak atau pandai berbahasa Melayu Sarawak, maka pantun-pantun yang terdapat di dalam buku ini tidak akan menjadi masalah untuk difahami.
Sekiranya terdapat beberapa perkataan yang sukar difahami, adalah diyakini masih tidak menjejaskan kefahaman anda terhadap keseluruhan satu rangkap pantun. Anda boleh boleh merujuk Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan yang baru terbit pada tahun 2023 atau sejumlah buku lain berkenaan dialek Melayu Sarawak yang diterbitkan oleh DBP.
Himpunan pantun memahat naratif kasih sayang dan gelora sanubari anak muda yang sarat dengan rindu dendam serta rintihan duka. Tunjang utama yang diangkat dalam wacana puitis ini adalah perihal tembang lamak. Dalam budaya masyarakat Melayu Sarawak, konsep ini secara harfiahnya merujuk kepada tapak rumah yang telah ditinggalkan.
Tembang lamak ialah suatu ruang kosong yang terbiar setelah berpindah teraju, sama ada akibat robohnya struktur atau dimakan usia oleh perubahan alam. Tapak ini dibiarkan sepi tanpa ada usaha untuk mendirikan binaan baharu di atasnya. Tapak yang terasing yang diistilahkan sebagai tembang dalam dialek tempatan ini, dikaitkan dengan situasi sepasang kekasih yang telah terputus kasih dan ditinggalkan sepi. Lantaran ikatan yang telah terurai dan hubungan yang kian menjauh, maka kekasih tersebut digelar sebagai tembang lamak.
Kebiasaannya, istilah ini menjadi rujukan buat seorang gadis atau wanita yang pernah bertakhta di hati, namun akhirnya berpisah dan membawa haluan masing-masing. Pengertian tembang lamak dilanjutkan oleh Hazami Jahari sebagai:
Tembang lamak ini lazimnya merujuk kepada kekasih pertama atau kekasih awal lelaki tersebut walau bagaimanapun, hal ini bukanlah satu ketetapan atau satu kemestian. Boleh terjadi juga tembang lamak ini merujuk kepada kekasih lelaki bagi seorang wanita. Cuma apabila disebut sebagai tembang lamak, memberikan gambaran secara simbolik bahawa itulah kekasih awalnya yang sukar dilupakan.
Terdapat lima pantun dalam buku ini, iaitu Pantun Tembang Lamak (108 rangkap), Pantun Cinta Setia (30 rangkap), Pantun Cinta Beraie (65 rangkap), Pantun Bekatik (78 rangkap) dan Pantun Bergerek (81 rangkap).
Berbanding pantun lain, ”Pantun Tembang Lamak” mempunyai rangkap yang paling banyak, sepadan dengan judul buku ini. Kita boleh mencongak-congak, jika hal ini bermaksud tembang lamak telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap penulisnya. Barangkali tekaan itu benar seperti mana yang tergambar dalam pantunnya:
Bila memandang si anak gamak,
Jangan tersentoh sampei ke lugei;
Bila terkenang si tembang lamak,
Aik mata jatoh berderei.
Atau dalam satu lagi pantunnya:
Tumbuh tepus tepian utan,
Patah pucuknya ditiup angin;
Rasa terputus nyawa di badan,
Mengenang tembak mencarik lain.
Akan tetapi, pedihnya luka cinta lama, penulis menerima kenyataan semasa. Dia sudah beristeri dan tembang lamaknya tidak mungkin akan kembali. Dalam “Pantun Cinta Setia” dia menerima hakikat itu, meskipun dalam nada lucu—seperti yang digambarkannya:
Kupak bawang dengan ladin,
Kenak jarik alu berdarah;
Lupak tembang bini menjelin,
Purak mencari limo di sarah.
Sesudah putus cinta, ramai juga yang menemui kekasih baharu dan bercinta kembali dan seterusnya menjengah ke jenjang pelaminan. Kesetiaan terhadap cinta baharu, yakni isteri, ditegaskan dalam dua rangkap pantun berikut:
Timbang sekati tepong lemantak,
Nak molah linut bersambal;
Bedatang tembang maaf dipintak,
Kepada bini kasihku kekal.
Perecak mirah berbintang limak,
Betaris tepi lintang di tengah;
Sekacak-kacak tembang lamak,
Kacak lagik bini di rumah.
Dalam “Pantun Cinta Beraie”, pantun-pantun yang dikarang menyuguhkan perasaan beraie (rindu). Cinta dan kerinduan memang sentiasa menjadi tema ulung dalam puisi kerana kedua-duanya ialah emosi yang tidak akan selesai. Berbeza daripada kebahagiaan yang berkonotasi “lengkap,” cinta dalam puisi selalunya berada dalam keadaan bergerak.
Cinta dalam puisi adalah tentang menggapai, mengingat, merindui, atau membayangkan. Antara cara untuk memahami tema ini ialah dengan melihat bagaimana penulisnya menghamparkan cinta sebagai sesuatu yang berjarak, jauh dan tertinggal. Cuba perhatikan dua rangkap pantun ini:
Ikan bekut ikan belukang,
Ikan mati dalam perauk;
Karam di laut boleh berenang,
Karam di ati siapa tauk.
Bahri raya menunok lemang,
Pulut kunin bersantan nior;
Ati sahaya beramok bimbang,
Kuyut bekasin beralih tidur.
Dalam “Pantun Bekatik”, kita akan menemui pantun-pantun yang lebih lucu bersadur jenaka. Bekatik ertinya gurau atau bermain-main. Adakah bekatik dalam konteks berumah tangga atau terkait dengan tembang lamak? Mungkin sekadar pantun lucu untuk mengusik dan menghibur hati, sebagaimana tiga rangkap pantun ini:
Urang Merakei pergi menjerat,
Dapat tupei ikor berlipat;
Nang pandei adik menguyat,
Boyak di sungai nait ke darat.
Jangan ditiup colop buloh,
Kelak angus bulu mansu;
Jangan di ekot ati gelojoh,
Kelak putus tali kelambu.
Buah tanjan si buah pelampuk,
Nyaman agik buah biabas;
Terejun penjan kaki selauk,
Embak ngagap janda berias.
Selain itu, penulis turut merakamkan pengalaman bercinta dalam “Pantun Bergerek.” Bergerek bermaksud bercinta atau berpasangan. Tema cinta sebagai pengalaman dalam karya kurang berkisar pada perasaan agung yang abadi, dan lebih kepada proses. Selalu menyentuh permulaan yang canggung, ketidakpastian, keinginan, dan sudah tentu pengalaman cinta yang ada pahit dan manisnya, ada lucu, rajuk dan cemburunya. Ditampilkan beberapa pantun yang menarik perhatian:
Urang Sejaie main biola,
Tukuk gendang irama Melayu;
Nang pandei tuan berkata,
Bunga kembang menjadi layu.
Mun padi, padi kujuak,
Endak apat ditukar ganti;
Mun atiku, atiku juak,
Endak apat dipujok lagi.
Ari jaik nyubok bah rumah,
Takut dipangkak palak nyaru;
Biar betapok iboh dipadah,
Kesah lamak biar berlalu.
Secara tuntas, buku Pantun Melayu Sarawak: Beraie Tembang Lamak merupakan sebuah naskhah rakaman budaya yang amat signifikan dalam memelihara identiti seni bermukun agar tidak lenyap ditelan zaman. Melalui kupasan pantun yang sarat dengan dialek tempatan dan metafora kehidupan, karya ini berjaya menghubungkan emosi peribadi dengan tradisi kolektif masyarakat Melayu Sarawak.
Usaha melestarikan khazanah ini bukan sahaja memperkaya sastera tanah air, malah turut berfungsi sebagai jambatan kefahaman antara budaya.
Jelaslah bahawa pantun bukan sekadar susunan kata puitis, tetapi berperanan menzahirkan ketangkasan akal dan cerminan jiwa bangsa yang perlu dihargai oleh generasi masa kini.
alu terus
angus hangus terbakar
ari hari
bahri petang atau senja
bedengan berteman, berkawan
bekasin bepecah, berasingan
betapok bersembunyi
betaris bergaris
boyak buaya
colop jamung, obor, andang
dipadah cakap, perkatakan
gamak sejenis binatang kecil seperti ketam
iboh usah, jangan
kacak kacak, ayu, cantik
kupak kupas
kuyut selalu diingati
lemantak tepung sagu
linut ambuyat, sejenis makanan yang diperbuat daripada tepung sagu
lugei lengan
lumek sejenis ikan kecil bertulang lembut
mansu kening
menguyat mengusik, mengacau
menunok membakar
mirah merah
molah buat, bikin
mun kalau
nang memang
nait naik
nior nyiur, kelapa
nyaman sedap, lazat
nyaru halilintar, kilat, petir
tepus sejenis tumbuhan
pangkak disambar petir
penjan tingkap, jendela
perauk perahu
perecak sapu tangan
purak berpura-pura
sarah kotak kayu
selauk terseliuh
tukuk pukul, tukul
urang orang