4 Jun 2021, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Peribahasa Melayu “biar mati anak, jangan mati adat” bermaksud pantang dan larangan melanggar adat nenek moyang; jika anak sendiri melanggar adat atau undang-undang dia mesti dihukum. Peribahasa ini mempunyai komunikasi tersirat di sebaliknya walaupun frasa yang digunakan dinyatakan secara berterus-terang. Hal ini dikatakan demikian kerana jika melihat dari sudut pandangan norma kehidupan, tidak ada ibu bapa di dunia ini yang mengehendaki anaknya mati hanya kerana melanggar adat resam. Namun begitu, ketersiratan makna di sebalik ungkapan peribahasa ini sebenarnya menggambarkan falsafah masyarakat Melayu ketika menterjemahkan perumpamaan bagi menunjukkan kepentingan menjaga adat (undang-undang).

Peribahasa “biar mati anak, jangan mati adat” jelas menunjukkan pengaruh tentang kewajipan pelaksanaan undang-undang terhadap orang yang bersalah melanggar undang-undang tidak kira statusnya, sama ada terdiri daripada ahli keluarga mahupun anak sendiri. Peribahasa ini sebenarnya mempunyai unsur tegas dalam pelaksanaan undang-undang, sama ada undang-undang tersebut ialah undang-undang awam, mahupun undang-undang yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Kamus Dewan turut mendefinisikan adat sebagai peraturan yang sudah diamalkan sejak turun-temurun di dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi (undang-undang). Adat juga merupakan sesuatu perkara yang selalu diamalkan sekian lama dalam sesebuah negeri dan dipatuhi oleh ahli-ahli masyarakatnya. Secara umumnya, adat boleh dirumuskan sebagai peraturan yang diamalkan dalam kehidupan sesebuah masyarakat di sesebuah tempat yang merangkumi nilai kebudayaan, norma masyarakat, kelaziman, undang-undang dan hukum-hakam.

Oleh hal yang demikian, adat dapat difahami sebagai undang-undang atau peraturan yang wajib dipatuhi oleh masyarakat dalam sesebuah negara  atau negeri dan sesiapa yang melanggarnya perlu dihukum oleh pelaksana undang-undang yang dipertanggungjawabkan tidak kira pesalah tersebut terdiri daripada ahli keluarga ataupun anak sendiri. Peribahasa ini  pada dasarnya menunjukkan bahawa betapa masyarakat Melayu pada zaman dahulu mementingkan penjagaan adat resam, budaya dan agama. Tafsiran adat mempunyai maksud yang sangat luas, iaitu meliputi cara hidup dan budaya dalam kegiatan sosial, ekonomi, politik, dan kepercayaan beragama.

Segala tingkah laku dan cara hidup dalam masyarakat haruslah mengikut adat yang telah ditetapkan dalam amalan masyarakat tersebut. Selain peraturan dan adat yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat, orang Melayu juga amat mementingkan undang-undang yang ditetapkan dalam agama Islam. Hal ini dikatakan demikian kerana Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan “Melayu” sebagai seseorang yang lazimnya bertutur bahasa Melayu, menganut agama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan juga telah menetapkan bahawa agama Islam ialah agama rasmi persekutuan. Termaktubnya agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah kerana unsur-unsur tradisi dan perluasan sejarah Tanah Melayu yang mengamalkan pemerintahan beraja.

Agama Islam telah lama bertapak di Tanah Melayu dan wujudnya tamadun Islam melalui raja-raja Melayu Islam dan rakyatnya. Perkara ini telah memberi pengaruh besar kepada pembentukan perlembagaan yang seterusnya menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Ciri-ciri Islam yang berpandukan al-Quran dan Hadis telah wujud dalam jiwa masyarakat Melayu dan menjadi asas kepada kelakuan dalam apa-apa jua bentuk tindakan, perhubungan, amalan nilai hidup dan pandangan. Segala suruhan dan tegahan daripada Allah SWT menjadi peraturan dan wajib dipatuhi demi menjamin kesejahteraan hidup.

Melalui pandangan secara inkuisitif, kita perlu mempersoalkan kenapakah masyarakat Melayu pada zaman dahulu menggunakan peribahasa ini untuk menunjukkan kepentingan menjaga ‘adat’ ataupun undang-undang dalam kehidupan? Adakah orang Melayu pada zaman dahulu benar-benar merelakan anaknya mati daripada melanggar adat ataupun mempunyai maksud yang tersirat di sebalik pengungkapan peribahasa tersebut? Peribahasa ‘biar mati anak, jangan mati adat’ dikatakan muncul pada zaman prapenjajahan dan penggunaan ‘adat’ dalam peribahasa ini sebenarnya tidak terhad kepada maksud adat resam semata-mata tetapi merujuk juga pelaksanaan undang-undang Islam.

Peribahasa yang sering diungkapkan oleh masyarakat Melayu ini pada asalnya merupakan peribahasa Aceh, iaitu Mate aneuk meupat jeurat, gadoh adat pat tamita yang bermaksud “mati anak ada kuburnya, hilang adat di mana hendak digantikan”. Peribahasa ini bermula daripada kisah pelaksanaan hukum Islam ke atas sesiapa sahaja tanpa mengira darjat oleh Sultan Iskandar Muda. Menurut sejarah, Sultan Iskandar Muda dikatakan menjatuhkan hukuman rejam sampai mati ke atas putera mahkota baginda yang bakal menggantikan tempatnya sebagai sultan, iaitu Meurah Pupok, kerana dituduh melakukan perbuatan zina. Oleh hal yang demikian, inti pati peribahasa yang diungkapkan ini sebenarnya melambangkan pelaksanaan undang-undang Islam yang adil tanpa mengira status kedudukan seseorang sama ada ahli keluarga ataupun anak kandung sendiri.

Dalam konteks peribahasa ini, maka jelaslah bahawa leksikal “adat” yang digunakan dalam peribahasa ini sebenarnya merujuk kepada maksud yang sangat luas, iaitu bukan sahaja merujuk kepada adat resam yang diamalkan sekian lama dalam masyarakat tetapi juga hukum-hukum atau undang-undang yang perlu dipatuhi dalam agama Islam. Oleh sebab itu, konsep peribahasa ini pada dasarnya menekankan kepentingan menjaga kedaulatan undang-undang dan seharusnya tidak dicabuli demi kepuasan nafsu dan kepentingan lain yang bersifat individu. Melalui analisis makna peribahasa ini juga, dapat diperhatikan bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat menjunjung tinggi adat resam dan mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan sehingga rela menyerahkan ahli keluarga dan anak kandung sendiri untuk dihukum oleh undang-undang jika mereka benar-benar melakukan kesalahan dan jenayah. Hal ini dikatakan demikian kerana ‘adat’ tersebut perlu sentiasa dijaga dan ditegakkan demi menjaga keamanan dan keharmonian hidup dalam masyarakat dan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.