Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBudaya membaca merupakan asas penting dalam pembinaan tamadun yang maju dan masyarakat yang berilmu. Sejak dahulu lagi, bangsa yang berjaya dan dihormati dunia ialah bangsa yang menjadikan ilmu sebagai teras pembangunan.
Dalam era digital yang serba pantas ini, cabaran terhadap budaya membaca semakin ketara apabila masyarakat lebih cenderung memperoleh maklumat melalui media sosial yang ringkas dan pantas berbanding dengan membaca bahan ilmiah secara mendalam. Oleh itu, usaha memupuk budaya membaca perlu digiatkan melalui pelbagai program dan inisiatif, antaranya termasuklah melalui penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
PBAKL merupakan acara tahunan yang menjadi medan pertemuan antara penulis, penerbit, pengkarya, akademik dan masyarakat umum. Acara ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat jualan buku, malah menjadi platform penyebaran ilmu, pertukaran idea dan pengukuhan budaya intelektual dalam kalangan rakyat Malaysia. Kehadiran ribuan pengunjung pada setiap tahun membuktikan bahawa masyarakat masih mempunyai minat terhadap bahan bacaan dan dunia penerbitan.
Dalam ucapan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim sempena perasmian PBAKL 2026, beliau menegaskan bahawa kekuatan sesebuah tamadun terletak pada ilmu pengetahuan yang diperoleh melalui pembacaan.

Menurut beliau, “Kekuatan dan tamadun itu terangkat dengan ilmu dan ilmu itu selain menimbanya melalui pengajaran, kekuatannya adalah melalui pembacaan.” Kenyataan ini menunjukkan bahawa proses pembelajaran tidak terhad kepada bilik darjah semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui amalan membaca yang berterusan.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat bahawa lambakan maklumat dalam media sosial tidak semestinya melahirkan masyarakat berilmu. Beliau menegaskan bahawa “bukan semua maklumat itu ilmu” dan masyarakat perlu bijak memilih bahan bacaan yang memberikan manfaat dalam bidang agama, falsafah, pendidikan, sains, teknologi dan kecerdasan buatan.
Pesanan ini amat relevan pada masa ini kerana kebanyakan individu mudah mempercayai maklumat yang tidak sahih tanpa membuat penelitian yang mendalam. Membaca buku yang berkualiti mampu membentuk pemikiran yang lebih matang, rasional dan kritis.
PBAKL memberikan impak yang besar dalam meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat. Melalui pelbagai promosi, diskaun dan baucar buku yang disediakan, lebih banyak rakyat berpeluang memiliki bahan bacaan berkualiti pada harga yang berpatutan.
Kerajaan turut menyediakan bantuan pembelian buku bagi menggalakkan rakyat mendapatkan bahan ilmiah. Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjadikan budaya membaca sebagai sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.

Di samping itu, pesta buku ini berperanan untuk memartabatkan industri penerbitan negara. Penerbit tempatan dapat memperkenalkan karya baharu kepada khalayak yang lebih luas, manakala penulis berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pembaca.
Kehadiran tokoh-tokoh sastera dan Sasterawan Negara juga memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai dunia penulisan. Perdana Menteri sendiri menekankan bahawa karya para sasterawan merupakan khazanah ilmu yang perlu dimanfaatkan oleh masyarakat kerana mengandungi pemikiran, wawasan dan nilai yang tinggi.
Selain merancakkan industri buku, PBAKL turut mengukuhkan institusi keluarga melalui aktiviti membaca secara bersama. Mengimbas kembali ucapan beliau pada PBAKL 2025, Perdana Menteri menyatakan bahawa pesta buku kini semakin mendapat sambutan daripada ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk bersama-sama mencari dan membeli buku.
Situasi ini amat positif kerana minat membaca perlu dipupuk sejak kecil. Ibu bapa berperanan sebagai contoh terbaik dalam membentuk tabiat membaca anak-anak melalui pemantauan dan galakan yang berterusan.
Lebih penting lagi, budaya membaca dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai daya fikir tinggi dan mampu bersaing pada peringkat global. Negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman terkenal dengan masyarakat yang rajin membaca serta menghargai ilmu pengetahuan.
Sehubungan dengan itu, Malaysia juga perlu memperkukuh tradisi membaca sekiranya ingin melahirkan generasi yang mampu menguasai bidang sains, teknologi, ekonomi dan inovasi. Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada negara yang benar-benar maju jika rakyatnya dangkal ilmu dan tidak membudayakan pembacaan.
Dalam konteks pembangunan negara MADANI, budaya membaca bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang, sebaliknya merupakan satu pelaburan jangka panjang bagi melahirkan warga yang berpengetahuan, berakhlak dan berfikiran kritis.
PBAKL menjadi wadah penting untuk menghidupkan semula semangat cintakan ilmu dalam kalangan masyarakat yang semakin terdedah kepada hiburan digital dan kandungan media sosial yang bersifat segera.
Akhir sekali, budaya membaca memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk masyarakat yang maju dan bertamadun. PBAKL telah memberikan impak yang besar dalam menyemarakkan minat membaca, memperkasakan industri penerbitan dan melahirkan generasi yang menghargai ilmu.
Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, budaya membaca perlu dijadikan amalan harian agar Malaysia dapat melahirkan masyarakat yang berilmu, berfikiran kritis dan mampu membawa negara ke arah kemajuan yang lebih gemilang pada masa hadapan.