17 Ogos 2022, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pos Malaysia Berhad meneruskan inisiatif untuk memperkenalkan kebudayaan dan kesenian negara kepada Keluarga Malaysia dengan mengabadikan hiasan kepala tradisi lelaki yang terkenal di Malaysia dalam bentuk setem khas.

Keluaran setem khas lima hiasan kepala tradisi lelaki yang meliputi empat etnik terkenal di Malaysia merupakan koleksi bertema yang ketujuh bagi tahun ini selepas tema Bunga Boleh Dimakan, Kuih Tradisional, Hidupan Liar Terancam, Air Terjun, Perahu Tradisional dan 50 Tahun Bandar Raya Kuala Lumpur.

Menurut Pos Malaysia Berhad, hiasan kepala tradisional lelaki tidak semestinya hanya sekadar hiasan semata-mata kerana setiap perincian yang ada pada setiap satunya membawa makna, fungsi dan identiti yang tersendiri. Bahkan, penggunaan hiasan kepala tersebut merangkumi istiadat diraja, upacara masyarakat tempatan dan kini mula meresapi gaya fesyen terkini.

Empat daripada lima hiasan kepala tradisi lelaki Malaysia diabadikan dalam setem khas.

Lima hiasan kepala tradisi lelaki yang diabadikan dalam setem khas tersebut adalah tanjak atau tengkolok, tempok, siga, lavung tepo atau dok dan ketapu. Setem khas tanjak atau dikenali juga sebagai tengkolok yang merupakan hiasan kepala tradisi bagi kaum majoriti Melayu dijual dengan nilai 70 sen sekeping. Tanjak atau tengkolok lazimnya dipakai sewaktu program perkahwinan dan perayaan tertentu.

Setem tempok yang merupakan hiasan kepala tradisi lelaki yang agak popular dalam kalangan masyarakat orang Asli di Semenanjung Malaysia turut dijual pada harga 70 sen. Manakala setem siga yang merupakan hiasan kepala tradisi bagi orang lelaki etnik Kadazan di Sabah dan setem lavung tepo atau dok bagi peribumi Orang Ulu di Sarawak dengan harga 80 sen sekeping.

Setem ketapu pula adalah hiasan kepala yang cukup dikenali dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak dan diabadikan dengan cukup istimewa sebagai lembaran mini dengan sekeping setem bernilai RM5.

Kelima-lima imej hiasan kepala tradisi lelaki tersebut dipaparkan secara cetakan jenis spot sinar ultra ungu dengan set lipatan yang lengkap termasuklah sampul surat hari pertama dan lembaran mini yang dijual pada harga RM50.

Para pembeli juga akan menerima dua lembaran setem yang berbeza dengan denominasi masing-masing bernilai 70 sen dan 80 sen yang setiap satunya mengandungi 20 keping.

Warga Keluarga Malaysia yang berminat boleh mendapatkan siri ini di semua pejabat pos besar di setiap ibu negeri dan di 94 cawangan Biro Filateli Pos Malaysia Berhad bermula dari 10 Ogos lalu.

Bagi yang berminat mahu membeli dan mengumpul koleksi setem boleh membuat tempahan pembelian secara dalam talian menerusi pautan laman sesawang rasmi Pos Malaysia Berhad, iaitu https://www.pos.com.my/hiasan-kepala-lelaki-folder-set.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.