26 Oktober 2022, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Pelancaran dan Tayangan Perdana Dokumentari Khas Kalam Karyawan SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail serta Dokumentari Koleksi Nadir Malaysiana telah berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada pagi tadi.

Program Kalam Karyawan yang sering kali dianjurkan oleh PNM pada kali ini mengetengahkan warisan kesusasteraan dan kebudayaan negara yang dilaksanakan menerusi pelbagai medium, seperti bual bicara dan pameran koleksi.

Dalam program tersebut, dua dokumentari istimewa dilancarkan, iaitu Dokumentari Khas Kalam Karyawan yang mendedahkan susur galur Datuk Dr. Siti Zainon dari zaman kanak-kanak hinggalah sumbangannya yang besar terhadap tanah air sebagai Sasterawan Negara (SN) ke-14.

Satu lagi, Dokumentari Koleksi Nadir Malaysiana yang diterbitkan oleh PNM merupakan himpunan koleksi berharga yang merakamkan pemikiran individu atau pandangan masyarakat serta peristiwa bersejarah yang sangat berharga terhadap bangsa dan negara.

SN Dato’ Dr. Siti Zainon Ismail ketika berkongsi pengalamannya kepada audiens.

SN Datuk Dr. Siti Zainon sebagai menyatakan penghargaannya menyambut baik usaha PNM,

PNM sebagai pusat ilmu saling menjalinkan hubungan yang baik kepada para intelektual termasuklah mengadakan usaha murni ini kerana tanpa catatan dan rakaman, kita tidak ada apa-apa.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi beliau tentang kesungguhan dan minat yang mendalam terhadap bidang sastera serta kejerihan beliau mempelajari bidang kesusasteraan pada ketika dahulu.

Beliau tidak melupakan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha ke arah pengembangan bahasa, sastera dan budaya. “DBP banyak melahirkan tokoh yang menyumbang kepada kemajuan sastera dan budaya kita. DBP menjadi sebuah tapak pertama untuk mengumpulkan sasterawan negara,” ujar SN Datuk Dr. Siti Zainon.

Dalam pada itu, beliau menghargai sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan pada bulan Oktober setiap tahun yang sangat penting untuk mengharmonikan budaya dan bahasa dalam masyarakat pelbagai kaum.

Encik Edy Irwan menerusi PNM sentiasa berusaha melestarikan bidang sastera dan budaya di negara ini.

Dalam majlis yang sama, Timbalan Ketua Pengarah PNM, Encik Edy Irwan Zulkafli dalam ucap utamanya berkata, pelancaran dua dokumentari khas tersebut membuktikan usaha PNM untuk melestarikan sastera dan budaya negara kepada masyarakat umum.

Beliau berkata,

Kami sentiasa menghargai perjuangan serta mengaspirasikan pencapaian tokoh karyawan negara yang banyak menyumbang kepada perkembangan sastera dan budaya serta berjaya membentuk insaniah melalui karya hebat mereka.

Perasmian dokumentasi khas disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Encik Mohd. Yusri Mohd. Yusof.

Beliau berharap usaha melalui dokumentari istimewa ini secara tidak langsung dapat mempromosikan warisan kesusasteraan negara dan koleksi Nadir Malaysiana sebagai produk pelancongan ilmu dan memberikan pendedahan kepada umum tentang nilai kebudayaan di negara ini.

SN Datuk Dr. Siti Zainon bergambar kenang-kenangan bersama-sama Encik Edy Irwan dan Encik Mohd. Yusri.

Pelancaran dua buah dokumentasi ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Encik Mohd Yusri Mohd Yusof. Katanya, pelancaran dua buah dokumentari ini sejajar dengan aspirasi Dasar Kebudayaan Negara bagi membina negara Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat berbudaya tinggi. Tambahnya,

 Saya optimis dengan terbitnya dokumentari yang terisi dengan maklumat yang sahih daripada pelbagai sumber yang kemudiannya dipersembahkan dalam bentuk yang menarik dan kreatif serta publisiti yang aktif menerusi media sosial berpotensi untuk menjadikan dokumentari sebagai bahan rujukan sejarah yang berharga.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.