24 Jun 2024, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Karya sosiologis ulung tanah air, Profesor Dr. Syed Hussein Alatas perlu dijadikan sebagai bahan bacaan wajib bagi setiap individu di negara ini. Penegasan ini diujarkan oleh Hasmi Hashim dalam satu siri Majelis Buku Svara baru-baru ini.

Hasmi dalam program bertajuk Meneroka Gagasan Syed Hussein Alatas di Kedai Buku Riwayat menyatakan bahawa Profesor Dr. Syed Hussein Alatas mempunyai semangat serantauan (universalis) yang tinggi dan boleh dilihat melalui karya-karyanya.

“Buku Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi ini sangat-sangat mustahak. Ini menjelaskan selain Syed Hussein sebagai seorang manusia sejagat karya tersebut juga menjelaskan kita tentang semangat serantauan Syed Hussein itu sudah muncul dalam buku ini. Selain itu, buku Intelektual Masyarakat Membangun merupakan buku yang membuktikan bahawa Syed Hussein itu ialah seorang serantauan. Cita Sempurna Warisan Sejarah pula mengesahkan bahawa Syed Hussein itu seorang reformis,” katanya.

Hasmi atau lebih dikenali sebagai Budhi Hekayat turut menekankan bahawa antara buku Syed Hussein, iaitu Cita Sempurna Warisan Sejarah perlu menjadi teks utama dalam pembacaan masyarakat di negara ini.

“Syed Hussein yang seorang reformis itu memperjuangkan untuk menegakkan keadilan, kebenaran dan satu hal yang mudah, iaitu kebaikan. Kita ini selalu menggunakan perkataan baik dan buruk, tetapi apabila meningkat dewasa, perkataan “baik” itu sudah dianggap tiada makna tetapi “baik” yang dibawa oleh Syed Hussein ini datang dengan makna yang sungguh-sungguh untuk menjadi seorang manusia,” jelasnya.

Hasmi juga menyarankan buku Cita Sempurna Warisan Sejarah yang asalnya ialah teks syarahan penulis satu ketika dahulu dapat dijadikan teks wajib bacaan bagi warga universiti dan warga kerajaan.

“Buku ini sangat nipis. Saya yakin benar jika kita jadikan buku ini sebagai bahan wajib bacaan di universiti atau kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan, masyarakat kita akan berubah dalam lima hingga 10 tahun,” katanya.

Hasmi yang merupakan penulis lirik Awan Nano yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu 2011 juga optimis bahawa buku Cita Sempurna perlu dibaca kerana memberikan kesan yang segera kepada para pembaca.

“Saya tidak mahu katakan yang lain. Betul, buku yang lain itu boleh dibaca tetapi bacaan itu tidak memberikan kesan yang segera kepada kita”.

Untuk rekod, buku-buku monumental Profesor Dr. Syed Hussein Alatas seperti Intelektual Masyarakat Membangun dan Mitos Peribumi Malas telah diterbitkan kembali dan diulang cetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan boleh didapati di kedai-kedai buku terpilih.

Kini terdapat usaha murni untuk menerbitkan dan menterjemahkan karya-karya kecil Profesor Dr. Syed Hussein Alatas yang tidak diketahui umum seperti Perpustakaan dan Perkembangan Tamadun, Islam dan Masyarakat, Imperialisme Intelektual dan Character and Scholarhip.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.