27 Jun 2024, 10:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim bersama-sama isteri, YB Dato’ Sri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyaksikan pementasan Teater Perdana Haji Murat di DBP pada malam tadi.

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim bersama-sama isteri, YB Dato’ Sri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan tiga orang cucunya meluangkan masa menonton pementasan Teater Perdana Haji Murat di Balai Budaya Tun Syed Nasir di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada malam tadi.

Teater Perdana Haji Murat yang dipentaskan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-68 DBP ini merupakan karya adaptasi daripada sebuah novel pendek yang ditulis oleh Leo Tolstoy dari tahun 1896 hingga tahun 1904. Karya ini diterbitkan selepas kematiannya sekitar tahun 1912 dan merupakan karya terakhir nukilan Tolstoy.

Dalam ucapan YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim sebelum pementasan teater, beliau menyatakan bahawa Haji Murat merupakan satu daripada karya agung Tolstoy namun kurang diketahui dan diberikan perhatian oleh masyarakat.

Haji Murat ini satu karya besar tulisan Tolstoy tetapi antara karyanya yang paling kurang masyhur. Itu aneh, sedangkan pengkritik kesusasteraan Amerika yang terkemuka, Harold Bloom, mengangkat karya ini sebagai karya terbesar dalam sejarah.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim berasa teruja apabila karya agung Leo Tolstoy, Haji Murat, diadaptasi dalam bentuk teater.

Tambah YAB Perdana Menteri, karya nukilan Bloom ini mencetuskan kehangatan dalam dunia kesusasteraan apabila Bloom meletakkan Haji Murat lebih tinggi berbanding dengan karya Tolstoy yang lainnya, seperti War and Peace dan Anna Karenina.

Menurut YAB Perdana Menteri lagi,

Novel Haji Murat ini dianggap antara karya penciptaan yang terindah dan terbaik di dunia. Saya masih belum mengerti mengapakah di dunia Barat karya ini tidak begitu popular atau tidak begitu dihebahkan?

Tidak mengapalah, biarlah kita yang mengangkat karya ini. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripada kisah perjuangan Haji Murat, sebuah karya yang luar biasa.

YAB Perdana Menteri juga mengambil kesempatan untuk mengajak pelbagai lapisan masyarakat terutamanya anak-anak muda untuk turut sama hadir menyaksikan dan menghayati pementasan Teater Perdana Haji Murat yang berlangsung selama empat hari, iaitu dari 26 hingga 29 Jun 2024.

YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan, Sasterawan Negara (kiri) bersama-sama Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim ketika pementasan Teater Perdana Haji Murat.

Naskhah Teater Haji Murat ini menerima sentuhan adaptasi oleh YBhg Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan, Sasterawan Negara, sebagai penulis skrip yang telah dihasilkan sejak 23 tahun yang lalu.

Dalam ucapan alu-aluan, YBhg Dato’ Dr. Mohd Anuar berkata,

Karya Leo Tolstoy yang diangkat pada malam ini terasa akan roh kehebatannya kerana novel mengandungi pemikiran yang luar biasa, tentang perjuangan dan pergorbanan yang berkuasa dan yang dikuasai.

Perjuangan Haji Murat dalam drama ini ialah api dari satu zaman, zaman penuh pergolakan di Cechnya lebih 150 tahun yang lalu.

Sejak 1967 lagi, DBP melalui Badan Budaya DBP telah mementaskan hampir 60 pementasan teater dalam pelbagai skala termasuklah pementasan teater perdana. Teater pertama yang dipentaskan ialah Tamu di Bukit Kenny pada tahun 1967, daripada karya Usman Awang, arahan Baharuddin Zainal.

Menurut YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar lagi,

Karya ini memberikan emosi yang kuat, mengguris hati, komposisi yang kemas, pemilihan diksi yang tepat dengan metafora yang sesuai dan gaya bahasa yang tepat.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari (dua dari kanan) turut mewarnai pementasan Teater Pedana Haji Murat.

Beliau mula terpikat dengan karya ini sejak tahun 2001 apabila menjadi penyunting buku ini yang diterjemahkan oleh YBrs. Dr. Victor Pogadaev daripada bahasa Rusia kepada bahasa Melayu pada tahun 2001.

Pementasan pada malam tadi turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, Menteri Komunikasi; YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Timbalan Menteri Pendidikan; YB Wong Kah Woh, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan; Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; Duta Besar Rusia di Malaysia, pegawai kanan Kementerian Pendidikan Malaysia, Pengurusan Tertinggi DBP, dan Sasterawan Negara.

Antara babak dalam Teater Perdana Haji Murat.

Teater ini mengisahkan tentang jihad, perjuangan bangsa, keberanian, kesetiaan, dendam dan pengkhianatan. Dalam teater ini, Haji Murat berdepan dengan musuh bangsanya dan musuh peribadinya, dalam suasana tragis apabila keluarganya menjadi galang tebusan.

Pementasan teater ini diarahkan secara bersama oleh A. Wahab Hamzah dan Aris Othman. Keseluruhan produksi dan pelakon yang terlibat dalam menjayakan pementasan ini melibatkan kira-kira 100 orang. Antara barisan pelakon yang menjayakan pementasan ini termasuklah Che Kem sebagai Haji Murat, Dr. Rusdeen Suboh sebagai Imam Syamil, Ard Omar dan ramai lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.