Oleh Low Hiang Loon
28 Jun 2024, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor menganjurkan Ceramah Pengajaran Kolaboratif untuk Kursus Bahasa Mandarin baru-baru ini di Auditorium Akademi Pengajian Bahasa.

Dr. Ng Chwee Fang, pensyarah dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dijemput sebagai tetamu khas untuk memberikan ceramah yang bertajuk Perayaan Cina di Malaysia.

Dr. Ng Chwee Fang, pensyarah dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Wacana tersebut mendapat sambutan yang baik daripada pelajar-pelajar subjek Mandarin UiTM Shah Alam. Kira-kira 100 orang pelajar hadir untuk menimba ilmu dan pemahaman tentang perayaan masyarakat Cina di Malaysia.

Dr. Ng Chwee Fang memfokuskan tiga perayaan utama masyarakat Cina di Malaysia, iaitu Tahun Baharu Cina, Perayaan Bulan (Pesta Tanglung) dan Perayaan Perahu Naga. Beliau telah memerihalkan asal usul ketiga-tiga perayaan tersebut dan kepentingannya dalam kalangan masyarakat Cina.

Sebahagian daripada pelajar yang hadir dalam wacana yang diadakan.

Antara maklumat menarik yang dikongsi termasuklah tentang legenda binatang buas, iaitu “Nian” yang akhirnya menghilangkan diri dari perkampungan Cina purba kala kerana ditakuti oleh warna merah. Selain itu, turut diceritakan perihal legenda Perayaan Bulan, “Chang’er” telah dihantar ke bulan serta kisah ketupat Cina dibuat untuk mengenangkan seorang penyajak patriotik zaman dahulu yang bernama Quyuan.

Dr. Ng Chwee Fang menekankan bahawa ketiga-tiga perayaan tersebut kini diraikan untuk mengeratkan hubungan ahli keluarga dalam masyarakat Cina, memohon keampunan sesama ahli keluarga dan berkongsi keberkatan. Oleh hal yang demikian, perayaan masyarakat Cina di Malaysia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum.

Keharmonian masyarakat jelas tergambar apabila kawan-kawan kaum lain turut dijemput untuk memeriahkan perayaan tersebut.

Sesi soal jawab serta cabutan bertuah turut diadakan di penghujung program untuk memberikan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang hadir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.