28 Jun 2024, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Kuala Lumpur – Terdapat peristiwa yang mendebarkan bagi tenaga produksi teater Haji Murat menjelang petang semalam. Encik Rasdi Daud, iaitu seorang daripada pelakon teater tersebut menerusi hantaran FB beliau pada pagi tadi menceritakan bahawa YBrs. Dr. Rusdeen Suboh yang melakonkan watak Imam Syamil terlibat dalam kemalangan jalan raya dan terpaksa digantikan dengan Zaidi Omar.

Zaidi Omar ketika melakonkan watak Imam Syamil.

Pelakon terkenal, iaitu Zaidi Omar dipilih sebagai pengganti untuk melakonkan watak Imam Syamil atas kekangan waktu dan pengalaman beliau. Pengalaman dan ketenangan yang dimiliki Zaidi Omar jelas menjadi penyelamat kepada keseluruhan tenaga produksi untuk menjayakan persembahan pada malam semalam.

Encik Rasdi Daud, ternyata kagum dengan kebolehan yang dipamerkan oleh pelakon, Zaidi Omar yang hanya mempunyai masa kira-kira dua jam untuk menjiwai watak Imam Syamil sebelum pementasan bermula pada pukul 8.30 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tokoh Wartawan Negara, YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar dan pengarah filem terkenal, U-Wei Haji Saari turut hadir pada malam semalam selain Sasterawan Negara, YBhg Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan.

Tokoh Wartawan Negara, YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar dan isteri serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah semasa menyaksikan pementasan teater Haji Murat pada malam semalam.

Sementara itu, sambutan hangat daripada penonton terhadap pementasan Teater Perdana Haji Murat pada malam kedua pementasannya membuktikan bahawa dunia pementasan teater tanah air kita masih mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Pengarah filem terkenal, U-Wei Haji Saari bersama-sama Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan, merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP turut memeriahkan pementasan Teater Perdana Haji Murat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Dapat diperhatikan bahawa sebahagian daripada penonton tetaer ini ialah golongan remaja dan pelajar sekolah yang hadir bersama-sama ahli keluarga serta rakan-rakan. Keadaan tersebut merupakan detik manis dan penting bagi penggiat teater dan seni yang terlibat.

Hal ini dikatakan demikian kerana kehadiran penonton yang menggalakkan membuatkan hati seluruh tenaga produksi teater tersebut “berbunga-bunga” dan semakin berkobar-kobar untuk menghasilkan persembahan yang terbaik.

Sebahagian daripada penonton yang memenuhi ruang di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Pementasan Teater Perdana Haji Murat berlangsung selama empat hari, iaitu dari 26 Jun hingga 29 Jun 2024.

Novel Haji Murat, karya sasterawan besar Rusia, Leo Tolstoy yang diterjemahkan oleh YBrs. Dr. Victor Pogadaev dan disunting oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan.

Teater Haji Murat dipentaskan berdasarkan novel Haji Murat, karya sasterawan besar Rusia, Leo Tolstoy yang diterjemahkan oleh YBrs. Dr. Victor Pogadaev daripada bahasa Rusia kepada bahasa Melayu pada tahun 2001 dan disunting oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan.

Pementasan teater ini diarahkan secara bersama oleh A. Wahab Hamzah (mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak) dan Aris Othman, karyawan DBP.

Keseluruhan produksi dan pelakon yang terlibat dalam menjayakan pementasan ini melibatkan kira-kira 100 orang.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan seluruh karyawan DBP mendoakan agar YBrs. Dr. Rusdeen Suboh, pelakon yang memegang watak Imam Syamil dalam teater ini cepat sembuh dan dipermudah dalam segala urusan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.