28 Jun 2024, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Georgetown – Pasukan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai oleh Dr. Nasha Rodziadi Khaw telah berjaya menemui arca berbentuk manusia yang lengkap di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah.

Menurut Jabatan Warisan Negara, penyelidikan arkeologi fasa III merupakan satu kerjasama antara pihaknya dengan USM, telah berlangsung dari 21 April sehingga 21 Mei 2024 berjaya menemui beberapa buah artifak lain yang sangat signifikan dan penting bagi Malaysia.

“Penyelidikan arkeologi fasa III telah mendedahkan struktur binaan pada bahagian dinding utara dan barat sehingga memperlihatkan dengan jelas struktur utama candi Bukit Choras yang mempunyai seni bina yang unik,” katanya dalam satu kenyataan.

Arca Buddha bersaiz manusia ditemui di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah.

Tambahnya, kajian stratigrafi, pemetaan kontur serta dokumentasi yang lebih teliti telah dijalankan terhadap struktur candi serta blok-blok laterit yang ditemui.

JWN berkata, penemuan penting di tapak tersebut merupakan sebuah arca Buddha bersaiz manusia yang diperbuat daripada stucco, iaitu sejenis bahan campuran kapur, air dan pasir, ditemui di dinding utara candi tersebut.

“Berbeza dengan arca yang ditemui ketika Fasa I dan Fasa II, arca kali ini ditemui lengkap bersama kepalanya dengan ciri-ciri ikonografi seperti jubah, riak wajah, dan pakaian dapat dilihat dengan jelas,” jelas JWN.

Selain itu, katanya, turut ditemui sebuah prasasti Sanskrit yang diukir di atas badan batu serta serpihan tembikar tanah.

Menurut JWN, sebagai langkah keselamatan dan penyelidikan lanjutan, relik tersebut telah dibawa keluar dari tapak di Bukit Choras dan ditempatkan sementara di makmal Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM bagi kerja-kerja konservasi secara menyeluruh.

Kajian perbandingan antara arca yang baru ditemui ini dengan arca-arca lain terutamanya dari tamadun India, Indochina dan Kepulauan Melayu dapat memberikan gambaran penting mengenai masyarakat Kedah Tua terutamanya daripada aspek keagamaan, kebudayaan serta hubungan dari segi kesenian dan teknologi dengan dunia luar.

Tambahnya, penemuan sebuah lagi prasasti berbahasa Sanskrit memperlihatkan kepentingan dan signifikan Bukit Choras sebagai tapak keagamaan yang penting.

“Secara keseluruhannya, sehingga penyelidikan fasa III, sebanyak tiga buah prasasti telah ditemui di Bukit Choras. Kandungan prasasti tersebut mengandungi mantra sagaramatipariprccha (menceritakan tentang doktrin agama Buddha yang berkait rapat dengan kekosongan, sebab musabab dan sifat-sifat yang dimiliki oleh Buddha) sama seperti isi kandungan prasasti yang ditemui pada fasa I sebelum ini,” maklum JWN.

Menurut JWN, penemuan jumpaan terkini di Tapak Arkeologi Bukit Choras tentunya membuka ruang kepada tafsiran baharu mengenai kedudukan geostrategik Kedah Tua sebagai sebuah kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara.

Katanya, penyelidikan ini juga menegaskan komitmen yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JWN dan USM dalam menghasilkan data-data baharu bagi memperkaya sejarah dan melestarikan khazanah warisan negara.

JWN bersama PPAG, USM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah akan memastikan penemuan ini dijadikan rujukan sejarah dan warisan negara serta dapat dikongsikan kepada khalayak.

MOTAC melalui JWN akan berusaha mempergiatkan bidang penyelidikan warisan negara termasuklah bidang arkeologi melalui Memorandum of Understanding (MoU) dengan IPTA tempatan untuk menerajui penyelidikan warisan negara.

JWN juga berharap kerjasama erat ini dapat memperbanyak produk pelancongan baharu bagi negeri Kedah khususnya dan Malaysia secara amnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.