Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPusat beli-belah, stesen radio, platform digital hingga ke isi rumah kaum Cina akan dipenuhi dengan alunan lagu sempena Tahun Baharu Cina. Perkara tersebut bagaikan satu elemen budaya yang seakan-akan “wajib ada” bagi menandakan ketibaan perayaan orang Cina.
Tanpa dendangan lagu, suasana Tahun Baharu Cina seolah-olah muram; tanpa irama ceria dan lirik penuh harapan, sambutan tersebut terasa belum lengkap. Fenomena ini bukan secara kebetulan, sebaliknya menggambarkan peranan penting lagu yang bertemakan perayaan dalam kehidupan budaya masyarakat Cina. Lagu-lagu ini menjadi pelengkap dalam suasana menyambut keceriaan Tahun Baharu Cina.
Lagu-lagu ini tidak boleh dinilai semata-mata sebagai hiburan bermusim. Sebaliknya, memainkan peranan penting sebagai pencetus suasana. Lagu-lagu inilah yang menandakan peralihan masa sebuah takwim seolah-olah daripada rutin harian kepada suasana perayaan, daripada amalan rutin kepada sambutan istimewa.
Seperti mana azan menandakan waktu solat atau lagu raya menandakan Syawal, maka begitu juga dengan lagu Tahun Baharu Cina menjadi isyarat utama budaya kaum Cina bahawa tahun lama bakal ditinggalkan dan tahun baharu diraikan dengan penuh harapan dan kegembiraan.
Tahun lama bakal ditinggalkan dan tahun baharu diraikan dengan penuh harapan dan kegembiraan.
Hakikatnya, keperluan ini juga berkait rapat dengan pengalaman kaum Cina dan pembentukan identiti di Malaysia. Bagi masyarakat Cina, ekspresi budaya seperti muzik berperanan mengekalkan kesinambungan tradisi mereka di Malaysia. Lantaran itu, lagu Tahun Baharu CIna di Malaysia tidak terhenti sekadar pada fungsi dalaman dalam kalangan masyarakat Cina semata-mata.
Lagu tersebut turut menjadi bunyi latar bersama yang dikongsi oleh masyarakat berbilang kaum. Lagu-lagu ini diputarkan di tempat-tempat awam, didengar oleh semua rakyat berbilang kaum dan secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada memori kolektif bersama.
Daripada “Gong Xi Fa Cai” kepada Cerita Seharian
Seiring dengan perubahan zaman. Keunikan paling ketara dalam lagu Tahun Baharu Cina tempatan boleh dilihat dalam aspek lirik. Pada peringkat awal, lirik lagu banyak berkisar pada tema konvensional seperti kekayaan, tuah dan simbol-simbol kemakmuran.
Kata-kata seperti gong shi fa cai [tahniah kerana memperoleh kekayaan]; fu gui [kaya lagi mulia]; cai shen dao [Dewa kekayaan datang] dan ucapan berulang-ulang menjadi teras utama. Lirik sedemikian mudah dinyanyikan dan sesuai dengan fungsi budaya dan upacara, namun terhad dari segi emosi dan pengalaman hidup.
Seiring perubahan sosial dan kematangan pendengar, lirik lagu Tahun Baharu Cina mula berkembang. Kajian Lee Yi Rong (2024), contohnya menunjukkan bahawa sejak sekitar tahun 2010, penulis lirik tempatan semakin berani keluar daripada kepompong lama, sebaliknya memasukkan unsur kehidupan seharian seperti unsur-unsur kerinduan terhadap keluarga, pengalaman pulang ke kampung, keletihan bekerja sepanjang tahun, malah disulami dengan keresahan sosial dan nada reflektif.
Lagu tidak lagi hanya “menyuruh orang gembira”, tetapi mula bercerita.
Perubahan lirik lagu sempena Tahun Baharu Cina amat signifikan dalam konteks Malaysia. Masyarakat di sini hidup dalam realiti iklim hujan tropika tanpa empat musim, berhadapan isu kos sara hidup, kesesakan bandar dan tekanan kerja. Oleh itu, lirik yang masih berbicara tentang “musim bunga bersalji” atau simbol yang terlalu asing semakin sukar membina kebersamaan dalam diri dan kehidupan mereka.
Lirik diubah untuk disesuaikan dengan pengalaman tempatan seperti panas, hujan, jalan sesak, kampung halaman, raikan bersama kaum lain, dilihat lebih dekat di hati pendengar rakyat Malaysia keturunan Cina.
Satu lagi ciri menarik lagu Tahun Baharu Cina versi Malaysia ialah penggunaan bahasa yang pelbagai. Selain bahasa Cina baku, lirik sering diselang-selikan dengan dialek, bahasa Melayu, hatta bahasa Inggeris. Fenomena ini bukan kelemahan bahasa, sebaliknya mencerminkan realiti masyarakat Malaysia yang hidup dalam persekitaran dwibahasa.
Contoh lagu Tahun Baharu Cina; Ceria Xi Yang Yang seni katanya campuran bahasa (Melayu dan Cina). Liriknya membawa tema kegembiraan, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum dan sambutan meriah berlatarkan pakaian merah dan tarian singa.
Ceria Xi YangG Yang
Hey Yo, Langit Ni Biru Dan Terang
qi ge long dong qiang dong qiang ba ge long dong qiang (Bahasa Cina)
Hey Yo, Kawanku Gembira Sentiasa
Wajah Bercahaya Bak Bulan Purnama
La La Semuanya Yang Indah Umpama Sejarah
Membantu Bersama Amalan Mulia
Tiada Malam Tanpa Siang Inilah Dunia
Pakaian Cantik Hati Riang
Anggun Dan Bergaya
Menyanyilah Satu Keluarga
Angpau Tu Kita Punya
Sumber: https://web.facebook.com/watch/?v=10152857694529998
Dari sudut budaya, penggunaan bahasa campuran menjadikan lagu tersebut lebih inklusif. Pendengar bukan Cina masih boleh menangkap maksud umum, emosi dan humor dalam lagu tersebut. Inilah yang menjadikan lagu Ceria Xi Yang Yang berbeza daripada lagu perayaan yang diimport bulat-bulat dari luar khususnya dari China atau Taiwan. Bukan sahaja “lagu Cina”, tetapi lagu tempatan jenama Malaysia yang berdialog dalam nada bahasa kehidupan rakyat Malaysia.
Satu perubahan nilai yang ketara dalam lirik lagu Tahun Baharu Cina tempatan ialah peralihan daripada penekanan material kepada nilai kemanusiaan. Kekayaan masih didendangkan, namun tidak lagi menjadi tema tunggal. Sebaliknya, nilai kekeluargaan, kesyukuran, kebersamaan dan kesederhanaan semakin menonjol dalam lagu.
Peralihan ini selari dengan aspirasi negara dan cita rasa rakyat Malaysia yang menghargai makna budaya di sebalik sesuatu amalan. Lagu yang menyentuh hubungan ibu bapa dan anak, kerinduan kepada rumah atau kepentingan menghargai orang tersayang, lebih mudah diterima oleh masyarakat pelbagai kaum. Nilai-nilai ini bersifat sejagat dan merentas etnik, menjadikan lagu ejen perpaduan budaya secara halus.
Selain itu, kemunculan media digital dan platform penstriman telah mengubah cara lagu dihasilkan dan diterima. Pencipta kini perlu berhadapan dengan penonton muda yang lebih kritikal dan cepat bosan. Oleh itu, lirik menjadi lebih berani, satira dan lebih dekat dengan rentak serta nada bahasa generasi muda.
Walaupun pendekatan ini ada risikonya, namun membuka ruang pembaharuan. Lagu tidak lagi hanya berfungsi sebagai latar bunyi tetapi menjadi medium refleksi sosial. Dalam konteks ini, kesesuaian bukan lagi diukur melalui “keaslian tradisional” semata-mata, tetapi melalui keupayaan lagu tersebut menyampaikan makna yang bertautan dan berkaitan kepada masyarakat hari ini.
Lagu sempena Tahun Baharu Cina versi Malaysia, dengan perubahan liriknya, sebenarnya mencerminkan prinsip yang sama. Tradisi masih dihormati, tetapi ditafsir semula agar terus kekal kelangsungan dan bermakna.
Bagi rakyat Malaysia, lagu sempena Tahun Baharu Cina yang sesuai bukanlah yang paling bising atau paling kaya simbol, tetapi yang jujur, dekat dengan pengalaman hidup, menyentuh isi kalbu dan membawa mesej positif. Lagu-lagu luar tanpa menyesuaikan dengan acuan tempatan semakin kehilangan tempat, manakala lagu-lagu yang berakar pada bumi Malaysia terus bertahan dalam ingatan.
Intihannya, perubahan lirik sempena Tahun Baharu Cina merakam perubahan nadi sosial, ekonomi dan emosi masyarakat Cina yang hidup dan berakar dalam negara Malaysia. Keperluan kaum Cina untuk mendengar lagu seperti itu tidak pernah pudar, apatah lagi ditelan zaman. Hal ini kerana putaran lagu sempena Tahun Baharu Cina bukan sekadar getaran bunyi semata-mata tetapi berubah menjadi kenangan, harapan dan simbol kebersamaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia dalam meniti kehidupan bersama.
Dalam setiap alunan lagu sempena Tahun Baharu Cina yang bergema saban tahun, tersimpan kisah-kisah untuk mengenali diri kita, menyemat nilai yang perlu kita hargai. Inilah kekuatan budaya rakyat Malaysia keturunan Cina, yang sentiasa bersifat dinamik, yang sentiasa menyesuaikan diri dan keadaan semasa, namun tetap berakar pada nilai kemanusiaan yang dikongsi bersama.
____________________________
Dr. Ku Boon Dar ialah pensyarah kanan di Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia. Beliau telah menghasilkan lebih daripada 60 makalah, bab dalam buku, kertas kerja dan sebagainya dalam bidang kepakarannya. Antara penulisan beliau yang terkini termasuklah buku suntingan, Sejarah dan Sosiopolitik Malaysia-China (2024) yang diterbitkan oleh Penerbit USM.