Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOrang Melayu tinggi budi-bahasanya. Namun, sejauh manakah kejujuran kita dalam berbasa-basi?
Orang Melayu suka akan kunjung-mengunjung. Tidak hanya pada hari istimewa seperti hari raya, tetapi juga pada hari-hari biasa. Amalan ini telah dilakukan sejak sekian lama. Mengikut kelaziman, tuan rumah sedaya upaya menghidangkan juadah untuk tetamu meskipun hanya air bujang.
Dalam situasi begitu, pengunjung akan cuba menolak pelawaan tersebut dengan mengatakan kepada tuan rumah; “tidak perlu bersusah-susah.” Walau bagaimanapun, tuan rumah menjawab; “perkara kecil sahaja, langsung tidak menyusahkan.” Hal ini dikenali sebagai berbasa-basi.
Alah, tak payah susah-susah. Saya datang bukannya nak makan minum. Saya nak ziarah saja bertanya khabar, dan berbual-bual…“ demikian kata si pengunjung.
“Alah, tak susah mana pun. Benda dah ada, hidangkan saja. Silakan, silakan…. Jangan malu-malu…,” jawab tuan rumah.
Persoalannya, adakah yang diucapkan oleh kedua-dua mereka itu ikhlas atau hanya berpura-pura? Mungkinkah si pengunjung atau tetamu memang mengharapkan hidangan? Adakah tuan rumah rasa terganggu kerana terpaksa melayan tetamu, dan menyediakan hidangan?
Orang Melayu suka memberi atau bersedekah. Dari aspek agama Islam, amal soleh ini sangat baik dan dialu-alukan. Menolong orang lain yang memerlukan pertolongan memang amalan murni dan boleh mengeratkan silaturahim.
Biasanya si pemberi melafazkan “Ala, ambillah. Saya ikhlas ni….” Si penerima juga menjawab dengan ayat lazim, “Oh terima kasih banyak. Susah-susah saja.”
Walau bagaimanapun, ikhlas merupakan soal dalaman yang tidak kelihatan dan tidak wajar disebut meskipun benar-benar ikhlas. Barangkali disebut juga kerana mahu memuaskan hati sendiri, ataupun menunjukkan keluhuran hati (menunjuk-nunjuk), dan tidak mengharapkan balasan?
Mungkinkah terpaksa juga memberi kerana ingin “membeli jiwa” ataupun mahukan nama baik, dan sanjungan? Kalau benar sedemikian, maknanya pemberian itu tidak ikhlas. Justeru, dialog-dialog contoh tadi terpaksa diucapkan.
Antara contoh dialog lain yang biasa disuarakan, yang berkaitan dengan kesihatan diri pula termasuklah “Sihat dah nampaknya. Ada harapan sembuh ni….” dan “Eh! Ceria nampaknya hari ini. Alhamdulillah makin sihatlah tu….”
Islam dan adat resam Melayu memang menggalakkan amalan menziarahi orang sakit. Orang Melayu Islam telah lama mengamalkannya. Namun demikian, adakah menziarahi itu benar-benar kerana kasih ataupun hanya menunjuk-nunjuk bahawa dirinya prihatin?
Sewaktu menziarahi orang sakit, kita digalakkan supaya memberikan dorongan dan semangat kepadanya. Sama sekali jangan membawa berita sedih dan mendukacitakan, sebaliknya ucapkan kata-kata manis dan motivasi.
Walau bagaimanapun, tidakkah lucu kalau si pesakit sebenarnya masih sakit atau tidak berasa sihat? Dirinya sendiri yang tahu keadaan sakit atau derita yang dialaminya. Tidakkah dia tertipu oleh kata-kata perangsang orang yang menziarahinya?
Namun begitu, keadaan berbeza dalam soal perkahwinan. Reaksi negatif diberikan kalau si pelamar merupakan keluarga yang kurang berada atau miskin. Keluarga si gadis biasanya akan mencari pelbagai alasan untuk menolak pinangan. Si gadis juga keberatan, dan bimbang hidup akan sengsara jika tidak memperoleh restu keluarga.
Maaflah. Anak saya nak belajar lagi. Masih muda…. Nanti pelajarannya terganggu.” ataupun “Maaflah. Anak saya belum bersedia. Masak pun tak tahu. Susah nanti….
Walau bagaimanapun, jawapannya berbeza kalau si pelamar anak orang kaya atau berharta. Terpacul dialog-dialog “murni” atau “mewajarkan” seperti “Iyalah sudah jodoh anak saya….” atau “Sudah jodoh saya. Apa nak ditangguhkan lagi….”
Kita beralih pula ke bidang pekerjaan. Tawaran menjawat sesuatu jawatan atau peluang kerja yang lebih baik, biasanya ditolak mentah-mentah oleh sesetengah pekerja.
“Err, siapalah saya ni. Saya rasa tak layaklah. Berilah kepada orang lain. Ramai lagi yang lebih layak.” Ini antara dialog merendah diri dan menolak dengan penuh hemah, yang merupakan antara simbol atau sifat segelintir orang Melayu.
Akan tetapi, benarkah begitu? Elok dan sesuaikah merendah diri sebegitu pada setiap masa? Mungkinkah pekerja tersebut sebenarnya mahukan jawatan atau peluang berkenaan, tetapi berselindung dan cuba menguji keyakinan majikan terhadap dirinya?
Telah diketahui dan difahami bahawa orang Melayu Islam diajar supaya tidak berpura-pura atau berbohong. Namun demikian, antara mentaati perintah Allah SWT dengan menjaga hati orang lain, timbul dilema yang telah membudaya dalam masyarakat.
Pada fikiran penulis, cara terbaik untuk menangani perkara ini adalah dengan melakukan kedua-duanya. Kita harus menjaga hati orang lain dengan jujur, bukan berpura-pura. Sungguhpun payah untuk dilaksanakan tetapi tindakan tersebut amat perlu dan wajar.
Penulis cuba memberikan jalan penyelesaian walaupun tidak untuk semua contoh yang disebutkan tadi. Jalan keluar yang dimaksudkan ialah berkata-kata secara jujur meskipun bunyinya agak kasar atau menggoreskan hati. Namun begitu, kejujuran dan berterus-terang itu lebih penting, walaupun menyakitkan.
Misalnya, jangan menolak apabila dijemput menjamah hidangan. Sementelah ada peribahasa atau ungkapan Melayu yang berbunyi, “musuh jangan dicari, rezeki jangan ditolak.” Usah berkata apa-apa, tetapi lebih baik kalau sekadar senyum.
Jika mahu bertutur, katakanlah “Terima kasih banyak-banyak. Saya memang tengah lapar dan dahaga…,” ataupun sebutlah “Elok sangatlah tu. Memang saya suka sangat….”
Sekiranya memberikan sesuatu atau membantu sesiapa, lafazkan “Ambillah! Jangan malu-malu. Apa yang nak disegankan.”
Boleh juga tuturkan, “Terimalah bantuan saya ini. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban. Saya sangat gembira kalau bantuan saya ini diterima.”
Satu lagi contoh, tidak wajar membohongi pesakit yang diziarahi. Nyatakan keadaan luarannya yang sebenar, secara tidak langsung kejujuran atau berterus-terang itu mampu memotivasi si pesakit untuk terus mengikuti rawatan dan mengambil ubat pada waktunya.
Mmmm… kenapa jadi macam ni? Nampak pucat saja. Makin kurus. Janganlah malas makan ubat. Makan ikut peraturan. Banyakkan berehat.
Walaupun kedengaran bahasanya kasar tetapi pada fikiran penulis dialog di atas wajar diucapkan.
Satu lagi situasi, seseorang pekerja menerima jawatan atau peluang keemasan yang ditawarkan dengan segala senang hati. Cubalah ucapkan kata-kata berikut jika betul kerja atau kesempatan itu benar-benar diingini.
Terima kasih tuan. Memang jawatan ini telah lama saya idam-idamkan,” atau “Peluang ini memang saya tunggu-tunggu sekian lama. Banyak-banyak terima kasih tuan.
Sekiranya menolak pula, katakan terus-terang, “Sebenarnya saya tak mahukan jawatan ini tapi oleh sebab sudah diberikan kepercayaan, saya terimalah. Saya bersedia berkhidmat. Terima kasih yang tidak terhingga tuan!”
Walau bagaimanapun, siapakah yang sanggup mengucapkan kata-kata jujur yang mungkin menusuk ini? Anda sanggup?
___________________________________________
Raja Yusoff Ariffin atau nama sebenarnya Raja Yusoff Raja Ariffin, merupakan penulis bebas sepenuh masa sejak tahun 2002. Mula menulis pada tahun 1982 merangkumi genre puisi (sajak dan pantun), dan cerpen, serta rencana, ulasan, kritikan, dan berita yang tersiar dalam hampir semua akhbar, dan majalah berbahasa Melayu tanah air.