Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Teknologi Building Information Modeling (BIM) berupaya merakam seni bina tradisional dalam bentuk digital yang lebih sistematik dan terperinci.
Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Ungku Omar, Tuan Nik Mohd. Iznan Tuan Yaakub berkata, malah teknologi tersebut berpotensi menjadi pendekatan baharu dalam usaha mendokumentasi dan memulihara masjid bersejarah.
“Dalam konteks negeri Kelantan sendiri banyak masjid bersejarah, walaupun antaranya ada yang telah diubah suai tetapi pada bahagian-bahagian tertentu masih mengekalkan konsep asal atau tradisional. Begitu juga di Selatan Thailand malah Nusantara.
“Masjid lama ini bukan sekadar ruang ibadat, tetapi kita boleh lihat dari sudut warisan budaya. Jadi dengan BIM, setiap ukiran, struktur dan susun atur dapat direkodkan secara terperinci dalam bentuk tiga dimensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya, “Potensi Teknologi BIM dalam Pemuliharaan dan Dokumentasi Masjid Bersejarah di Kelantan, Selatan Thailand dan Nusantara” pada Simposium Bahasa dan Persuratan Islam Nusantara 2025.

Simposium anjuran Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan beberapa institusi itu diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kelantan selama dua hari bermula 14 hingga 16 September ini.
Simposium tersebut dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, YBhg. Dato’ Mohd. Anis Hussein dan diadakan bertujuan untuk membincangkan isu bahasa, persuratan dan warisan Islam dalam konteks semasa.
Tambah Nik Mohd. Iznan, perkembangan teknologi ini seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin sebagai bahan pembelajaran interaktif, sekali gus menghubungkan generasi muda dengan nilai seni bina Islam.
“Kita mahu warisan ini difahami bukan hanya melalui cerita, tetapi juga dengan pengalaman visual yang mendekatkan masyarakat pada khazanah Islam,” jelasnya.
Menurutnya, teknologi tersebut sebenarnya sudah lama diguna secara meluas di negara maju untuk melestarikan bangunan kolonial dan muzium tetapi usahanya baru diteroka untuk pemuliharaan warisan Islam di rantau ini.