30 November 2021, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengambil inisiatif untuk mengadakan Pameran Realiti Maya dan Realiti Terimbuh Rumah Melayu Tradisional berinspirasikan petua membina rumah sebagai satu inisiatif untuk mempersembahkan tradisi Melayu terutama kepada generasi baharu. Majlis perasmian pameran tersebut telah berlangsung pada 30 November 2021, pukul 11.00 pagi di Aras 10, Menara PNM.

Ketua Pengarah PPNM, Puan Salasiah binti Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya mengatakan bahawa Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1983. Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu merupakan satu daripada tiga pusat kebangsaan yang ditubuhkan di PNM bagi menjalankan 17 fungsinya yang antaranya mencakupi pemeliharaan warisan intelektual negara, pembudayaan amalan membaca dan penyemarakan bahasa Melayu.

Menurut Puan Salasiah, “Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu telah menjalankan pelbagai program dan aktiviti merangkumi aktiviti mengesan, memperoleh dan mempromosikan manuskrip Melayu kepada masyarakat.”

Jelas beliau lagi, “Perpustakaan Negara Malaysia amat mengalu-alukan kedatangan orang awam, para penyelidik dan pengkaji yang mahu menggali serta meneroka khazanah manuskrip Melayu sama ada untuk rujukan mahupun penyelidikan.”

Melalui pameran ini, Perpustakaan Negara Malaysia menampilkan pelbagai manuskrip Melayu yang berkaitan dengan rumah Melayu termasuk petua, ilmu perubatan dan lain-lain yang amat wajar dilestarikan khususnya untuk generasi akan datang.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat merasmikan Majlis Perasmian Pameran Realiti Maya dan Realiti Terimbuh Rumah Melayu Tradisional.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, “Era digitalisasi perlu dimanfaatkan untuk memperkasakan sistem penyampaian maklumat agensi yang berkaitan supaya dapat dicapai oleh segenap rakyat Malaysia.”

 

Inisiaitf Pameran Realiti Maya dan Realiti Terimbuh Rumah Melayu Tradisional yang dibangunkan oleh Pusat Kebangsaan Manuskrip Negara merupakan satu usaha terkehadapan bagi menyokong keperluan siber rakyat khususnya Generasi Z supaya mereka lebih celik budaya, iaitu mengenali, memahami dan menghayati aspirasi seni dan warisan budaya tradisional Melayu.

Tambah beliau lagi, “Kita berada pada zaman revolusi teknologi baharu yang sinonim dengan teknologi seperti kecerdasan buatan dan dataraya termasuk teknologi realiti maya dan realiti terimbuh. Pengalaman realiti maya perlu diambil dan diterokai sepenuhnya supaya kita tidak akan ketinggalan.”

Beliau menjelaskan bahawa seni bina rumah Melayu yang unik terbentuk daripada beberapa ruang asas yang terdiri daripada serambi, anjung, bilik, dapur dan sebagainya. Setiap ruang ini pula mempunyai fungsi tersendiri untuk kegunaan peribadi mahupun kegunaan keluarga.

Ilmu yang terkandung dalam seni bina ini ialah warisan berharga nenek moyang kita yang sangat menarik untuk terus dikaji serta diwacanakan.

Seni bina Melayu sesungguhnya tidak dapat dipisahkan dengan tamadun bangsa Melayu dan perkembangan tamadun itu sendiri. Sebagaimana kita sedia maklum, bangsa Melayu sangat kaya dengan kepelbagaian ranah ilmu bangsa Melayu yang seterusnya diterjemahkan secara artistik dalam pelbagai bidang antaranya senibina rumah Melayu. Pameran digital ini bukan sekadar mahu menunjukkan seni bina rumah tradisional Melayu tetapi juga mahu menonjolkan kandungan naskhah manuskrip yang merakam pelbagai ilmu dan petua di sebalik pembinaan sesebuah rumah.

Majlis ini juga boleh ditonton kembali menerusi PNM TV Channel melalui pautan ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.