8 April 2023, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Iftar@KL 2023 anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) yang berlangsung pada 8 dan 9 April serta 15 dan 16 April ini mampu mengeratkan silaturahim dan toleransi antara kaum di Malaysia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus Akbar Khan menurunkan tandatangan sewaktu gimik pelancaran program Iftar@KL 2023.

Menurut Yang Berhormat (YB) Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, program ini juga bertujuan untuk mengimarahkan dan memakmurkan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan selain menambah nilai kerohanian dalam diri setiap insan. Di samping itu, program ini turut menyemarakkan lagi kebudayaan dan kesenian negara kepada para pelancong asing.

“Program Iftar@KL pada tahun ini merupakan penganjuran kali ke-11 dan pada mulanya dikenali sebagai Festival Ramadan pada tahun 2012 hingga tahun 2014 dengan mencatatkan jumlah kehadiran khalayak tempatan dan antarabangsa seramai 65 380 orang pada masa tersebut,” ujar YB Khairul Firdaus Akbar Khan sewaktu berucap pada majlis Pelancaran Iftar@KL semalam.

Tambah YB Khairul Firdaus Akbar Khan lagi, sambutan program ini bertambah luar biasa selepas dijenamakan semula pada tahun 2015 hingga kini yang dikenali sebagai Iftar@KL dengan jumlah keseluruhan kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa dari tahun 2015 hingga tahun 2019 adalah seramai 346 974 orang.

“Iftar 2021@Ramadan Online yang pertama kali berlangsung pada 29 hingga 30 April 2021 telah disiarkan menerusi JKKNTV Online dan telah berjaya meraih 13 925 tontonan dari Malaysia dan negara-negara luar seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Amerika Syarikat, United Kingdom, Mesir, Australia, Ethiopia, Qatar dan Taiwan dengan nilai perhubungan awam bagi Iftar 2021@ Ramadan Online adalah sebanyak RM5 265 037.91,” jelas YB Khairul Firdaus Akbar Khan.

YB Khairul Firdaus Akbar Khan turut berkata, pihak JKKN menyasarkan seramai 10 000 pengunjung bakal menghadiri program ini yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur selama empat hari, iaitu pada 8, 9, 15 dan 16 April ini. Sasaran ini dilihat realistik selepas beberapa siri penganjuran pada tahun terdahulu berjaya mendapat sambutan yang luar biasa daripada masyarakat Malaysia.

“Walaupun program Iftar@KL hanya dianjurkan di ibu kota sahaja, namun program ini turut berjaya menarik perhatian masyarakat dari luar Kuala Lumpur termasuklah para pelancong asing yang dianggarkan berjumlah seramai hampir 350 000 orang hingga tahun 2019,” kata YB Khairul Firdaus Akbar Khan.

Para pengunjung yang hadir ke program ini boleh menikmati suasana berbuka puasa beramai-ramai di atas jalan raya dan padang rumput sambil melihat pemandangan menarik Bangunan Sultan Abdul Samad. Antara pengisian menarik sepanjang program ini berlangsung ialah penyediaan bubur lambuk, tadarus al-Quran, solat berjemaah dan tarawih, tazkirah, ceramah perdana, persembahan nasyid, perkhidmatan kaunter bayaran zakat dan jualan trak makanan.

Majlis pelancaran program Iftar@KL 2023 turut disiarkan secara dalam talian menerusi laman media sosial Facebook Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di https://www.facebook.com/JabatanPeneranganWPKL/videos/183137707862297.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.