3 April 2023, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama kerajaan negeri Pulau Pinang bakal membawa pulang khazanah warisan negara yang disimpan di negara Belanda, iaitu bahagian-bahagian daripada rangka manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai, Pulau Pinang.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, rangka-rangka ini dijangka akan dibawa pulang ke Malaysia pada tahun hadapan untuk disimpan dan dipamerkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah yang sedang dibangunkan.

“Galeri dan Tapak Arkeologi Guar Kepah bakal menjadi salah satu produk arkeopelancongan utama negara dan diharapkan galeri ini juga akan menjadi produk pelancongan yang mesti dilawati sempena Tahun Melawat Malaysia 2025,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MOTAC baru-baru ini.

Di samping itu, galeri tersebut juga boleh menjadi pusat interpretasi untuk menyampaikan informasi berkaitan salah satu warisan arkeologi Malaysia kepada orang ramai dengan pengembalian rangka-rangka manusia ke tapak asal sewaktu dijumpai selain membuka ruang untuk penyelidikan lanjut ke atas rangka-rangka tersebut dan tapak prasejarah Guar Kepah.

MOTAC juga memaklumkan bahawa satu majlis simbolik membuka kotak yang mengandungi rangka-rangka manusia berkenaan telah diadakan pada 22 Mac lepas di Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains Belanda, The Hague, Belanda yang dihadiri oleh Duta Besar Malaysia di Belanda, iaitu Datuk Nadzirah Osman serta delegasi kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Yang Berhormat (YB) Profesor Dr. P. Ramasamy Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang.

Dalam majlis tersebut juga turut diadakan penyerahan surat persetujuan kerajaan Belanda untuk mengembalikan bahagian-bahagian rangka tersebut kepada kerajaan Malaysia yang telah disampaikan oleh Gerbert Kunst selaku Pengarah Dasar Antarabangsa, Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains Belanda.

Menurut MOTAC, pihak kementerian amat kagum dengan kepantasan proses ini dan memuji keputusan yang diambil oleh kerajaan Belanda untuk memulangkan objek yang mempunyai nilai warisan kepada negara asal mengikut syarat dan penilaian yang ditetapkan negara tersebut.

Diharapkan usaha ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua buah negara terutama dalam bidang seni, budaya dan warisan. Rakaman penghargaan turut diberikan kepada pihak Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kedutaan Malaysia di Belanda atas segala kerjasama yang diberikan dalam usaha mengembalikan khazanah warisan negara ke tanah air.

Tapak Arkeologi Guar Kepah merupakan tapak arkeologi pertama di Malaysia yang telah dikaji oleh pengkaji Barat sejak tahun 1863 hingga tahun 1936 dan kesemua penemuan arkeologi di tapak tersebut telah dihantar ke luar negara termasuklah 41 rangka manusia yang disimpan di Naturalis Biodiversity NBC, Leiden, Belanda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.