22 April 2023, 07:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Saban tahun, tayangan iklan menjelang hari raya dinantikan oleh khalayak ramai. Iklan-iklan ini ada yang dianggap jauh lebih baik berbanding drama dan filem biasa kerana persembahannya yang bermutu serta mesej pesanannya yang lebih berkesan. Tahun 2023 ini menyaksikan sejumlah iklan Hari Raya Aidilfitri dijayakan oleh barisan para pelakon terkenal tanah air yang bukan sekadar menyerikan, bahkan menguatkan lagi perwatakan serta jalan cerita.

Pelbagai tema disajikan kepada penonton merangkumi berbaur sedih dan lucu demi menghantar serta menonjolkan mesej pengertian Syawal. Antara tema hari raya yang paling banyak ialah pertembungan generasi yang berbeza serta adab menyantuni orang tua.

Iklan hari raya Petronas pada tahun 2023 ini dengan tajuk Dilema Irama membawakan tema “Akar untuk Masa Depan”. Iklan ini berpusat kepada konflik pertembungan irama antara dua generasi. Nadim, seorang pelajar jurusan muzik di sebuah universiti dilatih bermain gambus oleh ayahnya, Man Gambus, iaitu seorang penggiat muzik tradisional yang mempunyai kumpulan muzik sendiri. Nadim sebagai seorang anak Generasi Z lebih akrab dengan irama muzik pop yang disukai golongan anak muda. Nadim memulakan iklan ini dengan persoalan ‘’Tak ada lagu lainkah? Asal raya sahaja, lagu tradisional. Orang tak dengarlah lagu tradisional ini.’’

Pertelingkahan mula tercetus apabila Nadim dengan berat hati bersetuju untuk bermain gambus dalam kumpulan muzik tradisional bapanya pada sebuah majlis berbuka puasa. Dalam majlis tersebut, tiba-tiba Nadim berhenti bermain kerana malu dengan seorang rakan universitinya, Yi Ling yang turut hadir. Yi Ling merupakan pesaing rapat Nadim di universiti, sering membuat persembahan dalam acara dan temasya besar serta memenangi semua pertandingan muzik. Nadim berasa tercabar kerana menganggap Yi Ling akan memperlekehkannya kerana beliau cuma membuat persembahan dalam majlis berbuka puasa sahaja.

Persembahan itu berakhir dengan persengketaan antara Nadim dengan ayahnya. Namun hakikatnya, Yi Ling berasa kagum kerana Nadim mampu bermain alat muzik tradisional dengan baik. Pada pandangan Yi Ling, tidak semua orang mempunyai “jiwa” untuk bermain alat muzik tradisional. Bahkan Yi Ling meminta Nadim mengajarnya bermain gambus serta menyatakan bahawa ayahnya pasti berasa bangga kerana Nadim meneruskan legasi dan tradisi muzik tradisional. Soalan Nadim pada awal iklan terjawab. Orang ramai masih mahu mendengar lagu tradisional.

Perang dingin antara Nadim dengan ayahnya berlangsung tanpa sepatah kata, hanya sebuah lagu tradisional yang bersuara. Bait-bait lirik “Bintang di langit boleh dibilang, resan jiwanya lenyap tak nampak” cukup untuk menggambarkan impian yang Nadim kejar selama ini dan perkara yang sedia ada di depan mata tetapi tidak dihargainya. Sebagai tanda berdamai dengan ayahnya, Nadim menggubah sebuah lagu raya berirama tradisional.

Iklan raya Petronas 2023 ini menggunakan cogan kata “Mekar kerana Akar” dan genre muzik tradisional menjadi wadah mengeratkan jurang antara generasi. Apatah lagi watak Man Gambus dilakonkan oleh Roslan Madun yang sememangnya tersohor sebagai penggiat syair serta lagu rakyat. Arus kemodenan yang membawa teknologi terkini tidak akan menghilangkan irama muzik tradisional, sebaliknya dapat menyuburkan dan menyebarluaskan lagi genre tersebut selagi akar dalam diri tetap kukuh.

Pertembungan antara nilai-nilai lama dengan nilai-nilai baharu turut dihidupkan dalam iklan hari raya Saji yang bertajuk Podeh-Podeh Manih. Iklan ini memanfaatkan paparan gaya hidup terkini dengan menampilkan watak seorang pempengaruh bernama Ilham (lakonan Fimie Don) yang menjadi pengulas makanan dan sering membuat siaran langsung menerusi platform TikTok. Pada suatu hari, Ilham mengulas menu sambal paru yang dihantar oleh seseorang dan rasa sambal tersebut membawa penonton kepada adegan imbas kembali.

Ayah Ilham (lakonan Faizal Hussein) hebat memasak dan sering mengambil tempahan secara kecil-kecilan. Menunya yang paling istimewa ialah sambal paru daripada resipi peninggalan arwah isterinya. Ilham sebagai seorang anak muda yang berwawasan mencadangkan supaya ayahnya membesarkan perniagaan dan meluaskan pasaran perniagaan sambal paru. Beliau cuba memanfaatkan platform media sosial untuk memperkenalkan sambal paru ayahnya tetapi ayahnya enggan memberi kerjasama.

Pertengkaran tercetus antara dua anak-beranak, seorang kehilangan ibu dan seorang lagi kehilangan isteri. Ketegangan akibat kehilangan ini menonjolkan ego kedua-duanya. Si ayah berasa pembaharuan yang dicadangkan oleh anaknya tidak perlu. Beliau mahu kekal dalam nostalgia mengenang resipi peninggalan arwah isterinya.

Walau bagaimanapun, Ilham berniat baik dan berasa nostalgia itu dapat dikekalkan dengan memanfaatkan teknologi terkini. Beliau mahu maju ke hadapan dan mahu kehidupan mereka lebih senang menerusi dialognya yang mahu menggantikan vespa lama ayahnya. Tentu sahaja iklan ini berakhir dengan baik apabila si ayah akhirnya akur untuk menyantuni perubahan zaman. Ilham sebagai anak pula mempamerkan keutuhan peribadi menerusi dialognya yang berkesan, “Ilham ada 2 juta followers tetapi Ilham tak ada Abah!’’.

Orang tua dan kenangan turut menjadi tema beberapa iklan raya pada tahun ini. Misalnya iklan dengan tema Alzheimer daripada Taylor’s University yang bertajuk Rendang Tok. Zaki merupakan cucu kepada Chef Lokman yang terkenal dengan rancangan memasak dalam siaran televisyen pada suatu masa dahulu. Zaki ingin menghidupkan semula slot memasak datuknya menerusi platform TikTok.

Penonton diperlihatkan bagaimana Zaki menyuruh datuknya menggayakan semula aksinya sebagai chef dalam siaran televisyen dengan memasak resipi istimewa beliau, iaitu rendang tok. Namun begitu, si datuk lakonan Nam Ron bukan lagi chef yang tangkas seperti dahulu. Pergerakan mudah seperti memotong bawang dan mengingati bahan masakan sudah tidak dapat dilakukannya. Apakah Zaki sebagai anak muda yang berusaha mencari isi kandungan (content) untuk media sosialnya akan berputus-asa melayani kerenah si datuk? Ternyata tidak.

Zaki seorang cucu yang baik dan penyabar. Sebenarnya beliau mengetahui tentang penyakit Alzheimer yang dihidapi datuknya dan berusaha mencari maklumat tentang penyakit ini. Zaki sanggup bersusah-payah membantu datuknya mengatasi masalah hilang daya ingatan supaya tidak melarat. Semua ini dilakukan kerana rasa kasih dan sayang kepada datuknya. Iklan Rendang Tok sarat dengan mesej nilai kemanusiaan, sekali gus menghantar saranan ikhtiar hidup dan ilmu bantu.

Sebuah lagi iklan yang berpusat kepada watak orang tua ialah iklan hari raya Etiqa yang bertajuk Panorama Abah Den lakonan Dato’ Ahmad Tamimi Siregar dan Iedil Putra. Si anak yang bernama Jamal menetap di Kuala Lumpur membawa abahnya yang tinggal di kampung untuk menyambut hari raya bersama-samanya di bandar. Abah sentiasa mengambil video dengan telefon bimbitnya untuk dikongsi kepada kawan-kawannya di rumah jagaan orang-orang tua yang sunyi dan ingin berasa dihargai. Mereka tidak dipedulikan oleh sesiapa pun dan tidak boleh bergerak ke mana-mana.

Si anak pada mulanya tidak faham dan menganggap hal tersebut renyah seperti dialognya, “Sini bukan macam dekat kampung. Mana boleh suka-suka berhenti sahaja”. Tuntutan hidup yang tinggi di bandar menyebabkan beliau tidak memberi perhatian terhadap perkara-perkara kecil yang mungkin menjadi nostalgia besar kepada ayahnya. Jamal akhirnya memahami apabila Abah mengucapkan “Biar mereka rasa, walaupun raya bersendiri tetapi mereka tidak sunyi”. Abah menjalankan peranannya sebagai anggota masyarakat yang prihatin dan mempunyai semangat setiakawan yang tinggi.

Pujian harus diberikan kepada para penulis skrip dan pengarah iklan yang bertungkus lumus memberikan hidangan siaran iklan hari raya yang terbaik kepada masyarakat. Perbezaan nilai dan jurang antara generasi berjaya dirapatkan menerusi kasih sayang dan nilai kemanusiaan yang tinggi. Teknologi terkini dimanfaatkan untuk mencipta kebahagiaan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Lebih indah lagi, tidak ada hari lain yang lebih baik bagi menzahirkan semua ini jika bukan pada Hari Raya Aidilfitri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.