Diterbitkan pada 22 Mei 2025, 11:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Banda Hilir – Unit Pengurusan Warisan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bersama-sama dengan Persatuan Warisan dan Adat Keris Melaka dan Indah Dunia House baru-baru ini menganjurkan Bengkel Pembuatan Layang-layang bagi menyemarakkan warisan budaya tersebut, khususnya di negeri ini.

Bengkel yang diadakan di hadapan Muzium Dunia Melayu Dunia Islam itu telah disertai oleh 40 orang peserta dari dalam dan luar negara.

Bengkel Pembuatan Layang-layang turut disertai oleh pelancong dari luar negara.

Kurator Bahagian Pembangunan PERZIM, Encik Faiz Mohd Baharom berkata, antara objektif bengkel yang julung-julung kali diadakan itu adalah untuk memastikan seni tatacara pembuatan layang-layang tidak akan lenyap atau terus dilupakan oleh generasi akan datang.

“Tradisi membuat layang-layang kini dilihat semakin kurang mendapat perhatian apabila generasi muda masa kini lebih selesa dengan permainan video atau gajet sebagai aktiviti untuk mengisi masa lapang.”

Encik Faiz Mohd Baharom menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta Bengkel Pembuatan Layang-layang.

“Justeru, penganjuran bengkel ini diharap dapat memberikan kemahiran baharu dan kesedaran kepada para peserta akan kepentingan memulihara warisan tidak ketara, khususnya dalam tatacara pembuatan layang-layang yang merupakan salah satu permainan tradisi negara,” katanya.

Bengkel selama satu hari itu menampilkan dua orang tenaga pengajar mahir dalam pembuatan layang-layang daripada Persatuan Warisan dan Adat Keris Melaka dan Indah Dunia House, iaitu Encik Mohamad Razali Rapiee dan Encik Hisham Jaafar.

Sebahagian peserta bergambar bersama-sama dengan layang-layang yang dihasilkan oleh mereka.

“Menariknya, bengkel ini bukan sahaja disertai oleh para pelajar, malah turut menarik minat beberapa orang pelancong luar negara termasuklah dari United Kingdom yang berkunjung ke Melaka,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi