Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Tourism Malaysia meneruskan inisiatif memperkukuh kesiapsiagaan industri pelancongan negara menerusi penganjuran Sesi Libat Urus Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang berlangsung di PARKROYAL Langkawi Resort pada 4 Mei 2025.
Menurut Tourism Malaysia, sesi yang melibatkan penggiat industri pelancongan ini menumpukan usaha ke arah merancakkan pelaksanaan strategi promosi, pemantapan produk pelancongan serta pengukuhan kerjasama antara sektor awam dengan sektor swasta bagi menyokong matlamat TMM2026.
“Komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kedah dalam usaha memperkukuh inisiatif pelancongan hijau terus menjadikan Langkawi antara destinasi utama untuk menyemarakkan sambutan TMM2026,” katanya dalam suatu kenyataan.
Tambahnya, antara usaha yang dilaksanakan termasuklah pemuliharaan kawasan alam sekitar, penjenamaan semula produk pelancongan sedia ada, serta galakan terhadap aktiviti berteraskan kelestarian bagi memperkayakan pengalaman pelancong di pulau ini.

Tourism Malaysia berkata, melalui sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, Langkawi diyakini akan terus menjadi aset strategik dalam usaha menjayakan TMM2026, menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama yang lestari dan berdaya tahan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Encik Shahrin Mokhtar dalam kenyataan sama berkata, pemilihan tema “Malaysia: Destinasi Lestari dan Kaya Budaya” bagi TMM2026 mencerminkan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi eksklusif yang menyeimbangkan pembangunan pelancongan dan pemeliharaan warisan alam serta budaya.
“Pulau Langkawi merupakan destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, pantai yang mempesona, serta kepelbagaian flora dan fauna yang unik,” katanya.
Tambah beliau, selain diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark, Langkawi juga telah lama dikenali sebagai destinasi pelancongan unggul yang menitikberatkan nilai kelestarian.
Sesi ini dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Encik Junaidi Abdul Rani@Abdul Ghani bersama-sama dengan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Encik Shahrin Mokhtar; dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid.