Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Buku 7 Teknik Asas Belajar Bermain Sape merupakan buku pertama tentang teknik bermain sape yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membantu golongan muda mempelajari alat muzik sape dengan lebih mudah dan bersistematik.
Menurut penulis buku, Hallan Hashim, inspirasi untuk menulis buku ini lahir kerana teknik mempelajari alat muzik sape tidak terdapat dalam mana-mana buku atau belum diajar secara sistematik.
“Dahulu, sesiapa yang ingin belajar bermain sape terpaksa pergi berjumpa dengan orang kampung yang jauh di pedalaman, dan hal itu membuatkan saya terfikir untuk membuat sistem atau cara pengajaran kerana hanya ada beberapa orang yang boleh bermain sape di seluruh sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program “Bicara Karya 7 Fundamental Techniques for Playing Sape” di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, petang tadi.
Sape merupakan alat muzik tradisi dari kepulauan Borneo yang semakin pupus kerana sukar dipelajari dan tidak terdapat dalam sistem pengajaran sistematik.
Jelas Hallan Hashim yang lebih mesra dipanggil Cikgu Hallan, jika mengikut tradisi, permainan sape khas untuk kasta tertentu sahaja seperti golongan bangsawan.
“Bukan semua orang dapat bermain sape dan mereka bermain berdasarkan keturunan, iaitu diturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

“Jika si anak tidak berminat, maka budaya tersebut akan terputus sampai di situ sahaja, sebab itulah sape mula pupus dan sudah tidak dikenali,” katanya.
Namun begitu, sape mula terkenal selepas pertama kali muncul dalam rancangan TV International, iaitu Asia’s Got Talent pada tahun 2015 apabila kumpulan Sada Borneo yang diketuai oleh Hallan Hashim membuat persembahan sape.
“Kejayaan paling gemilang adalah apabila kami membawa tradisi sape ini ke peringkat antarabangsa dalam sebuah rancangan realiti TV, iaitu Asia’s Got Talent 2015 sehingga melayakkan diri ke peringkat separuh akhir,” katanya.
Selepas program tersebut, Sada Borneo melahirkan banyak generasi muda yang mula bermain sape tanpa mengira bangsa dan agama di seluruh Malaysia termasuklah di Indonesia, Brunei dan Singapura.
Berkongsi tentang cabaran menghasilkan buku ini, Cikgu Hallan berkata, cabaran utama beliau adalah dari segi pengajaran kerana terdapat banyak simbol baharu yang belum pernah ada rujukan sebelum ini.
Tambah beliau, “Untuk menghasilkan buku ini memang mengambil masa yang lama kerana saya perlu banyak merujuk orang-orang tua bagi memastikan tradisi tersebut tidak hilang, dan pada masa yang sama menghasilkan teknik yang mudah untuk difahami.”

Cikgu Hallan melahirkan rasa gembira dan puas kerana hingga hari ini, terdapat lebih daripada 500 orang pelajar di bawah bimbingan beliau yang menggunakan buku ini untuk mempelajari teknik bermain sape.
“Dengan adanya buku ini, terdapat pelbagai bangsa yang berminat bermain sape sama ada bangsa Cina, India mahupun Melayu kerana mereka meminati muzik, bukan disebabkan bangsa,” katanya.
Beliau berharap suatu hari nanti buku tersebut akan diguna pakai di sekolah-sekolah, dan dari situ permainan sape dapat disebarkan melalui pendidikan secara berterusan.
Program yang berlangsung selama satu jam ini dikendalikan oleh Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Encik Jaafar Hamdan sebagai moderator.
Pada akhir program, Cikgu Hallan turut mempersembahkan alunan muzik sape, di samping menampilkan dua muridnya yang telah berjaya bermain sape, iaitu Ray dan Uncle Lim.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Ismail; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Ketua Editor Bahagian Buku Umum, YM Tengku Fauziah Ku Mat.