Diterbitkan pada 20 Mei 2025, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sebagai rakan sokongan, berjaya mementaskan teater Suluh Peraba di Auditorium DBP pada 16 Mei 2025 dan 17 Mei 2025.

Teater ini diadaptasi daripada novel yang berjudul sama, Suluh Peraba karya Sasterawan Negara ke-15, Dato’ Rahman Shaari, dengan olahan skrip yang ditulis oleh  Zakaria Ariffin (Allahyarham), telah diarahkan oleh Subroto Haji Katimin.

Teater Suluh Peraba yang dipentaskan di Auditorium DBP mendapat sambutan hangat penonton.

Dibintangi pelakon senior dan junior, teater Suluh Peraba dipentaskan sebanyak tiga waktu, iaitu pukul 8.30 malam pada 16 Mei 2025, serta pukul 2.30 petang dan 8.30 malam pada 17 Mei 2025.

Teater yang sarat dengan makna dan simbolisme ini membawa para penonton mengimbau konflik klasik antara rasional dan kepercayaan karut dalam latar yang lebih segar dan moden.

Menariknya, pementasan pada kali ini merupakan suatu penghormatan peribadi buat Subroto yang pernah terlibat dalam produksi serupa pada tahun 2001 sebagai penolong pengarah dan pelakon utama.

Menurut Subroto, Suluh Peraba bukan sekadar sebuah naskhah teater, malah suatu warisan seni yang menggabungkan unsur satira, komedi dan elemen mistik dalam gaya persembahan yang mendidik.

“Teater ini amat dekat di hati saya kerana bukan hanya adaptasi daripada karya hebat, malah suatu penghormatan kepada penulis skripnya, Allahyarham Zakaria Ariffin, yang meninggal dunia pada Februari lalu,” ujarnya.

Watak Bapa Aeeda (lakonan Mohd. Diani, berdiri kanan sekali), dan Bomoh Neng Kiaw (Md. Hussin, duduk di lantai dua dari kiri) yang lucu telah menggamatkan teater Suluh Peraba, arahan Subroto Haji Katimin.

 

Mengangkat tema konflik antara rasional dengan tahayul, teater Suluh Peraba membawa sindiran tajam terhadap amalan perbomohan dan kepercayaan tidak berasas yang masih wujud dalam masyarakat moden.

Tegas Subroto lagi, pementasan ini juga berbentuk refleksi dan peringatan agar masyarakat tidak terus terjebak dalam kepercayaan yang bertentangan dengan syariat Islam.

“Masih ada orang Melayu Islam yang mempercayai bomoh dan tahayul, maka teater ini menjadi medium untuk menyedarkan mereka. Sambil berhibur, penonton akan terjentik untuk berfikir,” tambahnya.

Subroto yang juga dipanggil Ato turut berharap agar pementasan ini dapat menarik minat generasi muda untuk lebih kritikal terhadap isu kepercayaan karut, dan memahami kepentingan budaya Melayu berlandaskan syarak.

Berbeza daripada pementasan terdahulu, versi kali ini mengemas kini latar cerita kepada suasana tahun 2025, tetapi masih mengekalkan roh dan mesej asal karya tersebut.

Teater ini menampilkan dua orang watak utama, iaitu Asmal Abu Saludin (lakonan Aloeng) dan Mohammad Odai (Mohazam) yang menentang kepercayaan karut dengan menubuhkan kelab antitahayul yang diberikan nama “Suluh Peraba”, namun tekanan keluarga dan situasi sekeliling memaksa mereka kembali kepada amalan yang pernah dikritik itu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi