Diterbitkan pada 1 Jun 2025, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam tradisi masyarakat Momogun iaitu satu kumpulan etnolinguistik yang meliputi tiga rumpun utama, iaitu Dusunik, Murutik dan Paitanik; padi bukan sekadar tanaman makanan. Padi merupakan nadi kehidupan, lambang rezeki dan simbol perpaduan komuniti. Dalam konteks ini, perayaan Kaamatan bukan semata-mata satu festival kebudayaan, tetapi satu ritual sosial yang berpaksikan rasa syukur terhadap hasil tuaian.

Moginakan: Inti Tradisi Kesyukuran Komuniti

Di tengah-tengah sambutan Kaamatan yang autentik, berdirilah satu amalan utama yang dinamakan “moginakan”. Secara literal, bermaksud makan beramai-ramai. Namun begitu, maknanya lebih mendalam daripada sekadar menjamu selera. Moginakan ialah kenduri besar-besaran sesama keluarga dan saudara-mara yang lazim dilangsungkan sejurus selepas aktiviti mitatabang (gotong-royong menuai padi).

Aktiviti tersebut merupakan satu manifestasi rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan, dan lebih daripada itu, menjadi wahana memperkukuh hubungan kekeluargaan. Dalam suasana moginakan, pelbagai falsafah hubungan manusiawi dizahirkan; mirurukut (berkongsi sumber), misusuau (saling berkenal mesra), mogiambalut (mengukuhkan persahabatan), dan akhirnya misompuru (bersatu padu sebagai satu komuniti).

Linopot dan Rinukut: Ekspresi Kulinari Berakar Tradisi

Linopot merupakan hidangan paling ikonik yang dihidang ketika moginakan. Linopot ialah sejenis nasi yang dibungkus dengan daun-daun flora tempatan. Kata dasarnya, lopot, bermaksud membungkus atau melipat. Linopot biasanya diperbuat daripada beras padi huma; simbol hasil titik peluh petani dan kadangkala dicampur dengan ubi-ubian seperti gu’ol (keladi), tawadak (labu manis), mundok (ubi kayu), atau kasou (keledek) bagi menambah rasa dan teksturnya.

Daun-daun yang digunakan sebagai pembungkus juga dipilih dengan teliti, bergantung kepada aroma dan kesesuaiannya dengan nasi. Antara daun yang lazim digunakan termasuklah wonihan, punti (pisang), timadang (tarap), doringin, kobu, tintap, longkobung dan toropoi. Setiap satu membawa aroma tersendiri yang menambah keunikan pada rasa hidangan. Ini juga satu bukti bagaimana masyarakat Momogun sangat intim dengan alam sekitar dan bijak menyesuaikan sumber alam ke dalam budaya harian.

Linopot tidak berdiri sendiri dan sering dipadankan dengan rinukut iaitu himpunan lauk-pauk tradisional seperti sinamai (masakan rebus), panganas (masakan kering), serta lauk berdaging seperti ikan, ayam kampung, atau sinalau (daging bakar). Hidangan rinukut biasanya dalam jumlah ganjil seperti tolu rinukut (tiga jenis lauk), turu rinukut (tujuh), atau siam rinukut (sembilan), bergantung kepada majlis dan kemampuan tuan rumah.

Simbol Padi sebagai Tonggak Identiti Kaamatan

Budaya penanaman padi merupakan tunjang ekonomi tradisional Momogun. Oleh itu, tidak hairanlah jika padi menjadi simbol yang sangat signifikan dalam sambutan Kaamatan. Daripada linopot ke tapai beras, semuanya menzahirkan penghormatan terhadap padi sebagai lambang rezeki dan kelangsungan hidup.

Dalam kepercayaan tradisional, padi dikaitkan dengan semangat Bambarayon, yang dianggap sebagai pemberi kehidupan. Namun dalam masyarakat Momogun hari ini yang majoritinya telah memeluk agama samawi seperti Islam dan Kristian, unsur-unsur spiritual dalam bentuk pemujaan telah banyak beralih menjadi simbol budaya semata-mata. Sambutan Kaamatan moden kini lebih inklusif dan tidak lagi bersifat ritualistik, menjadikan perayaan ini lebih mesra kepada konteks masyarakat berbilang agama.

Namun begitu, nilai simbolik padi masih terserlah dalam dua elemen Kaamatan yang paling menonjol iaitu Unduk Ngadau dan Sugandoi.

Unduk Ngadau: Personifikasi Semangat Padi

Unduk Ngadau ialah pencarian wanita muda untuk dimahkotakan sebagai duta sosiobudaya Momogun. Tradisi ini berakar daripada legenda Huminodun; gadis suci yang dikorbankan untuk menyelamatkan manusia daripada kebuluran. Dalam mitos ini, jasad Huminodun menjelma menjadi tanaman yang memberikan makanan kepada umat manusia. Padi lambang kepada jasadnya, dan Unduk Ngadau bukan sekadar acara kecantikan, tetapi perwujudan naratif pengorbanan dan kelahiran semula.

Nama Unduk Ngadau sendiri berasal daripada frasa tunduk tadau, yang bermaksud “tunas matahari”. Tunduk ialah pucuk muda padi yang tumbuh ke arah cahaya, manakala tadau merupakan matahari yang bersinar. Secara simbolik sains, ini melambangkan proses fotosintesis, yang mana cahaya matahari menumbuhkan rezeki.

Unduk Ngadau, dalam erti yang lebih mendalam, ialah tunas harapan, keindahan alam dan pengorbanan luhur demi kemakmuran bersama-sama.

Sugandoi: Simfoni Syukur untuk Bambarayon

Acara Sugandoi pula merupakan pertandingan nyanyian yang berinspirasikan ritual lama iaitu Bobolian (pendeta tradisional) menyanyikan mantera untuk memuja semangat padi. Dalam bentuk aslinya, Sugandoi ialah medium spiritual iaitu satu persembahan kidung untuk memohon keberkatan daripada semangat Bambarayon.

Namun begitu, Sugandoi moden telah beralih menjadi satu acara kesenian pentas yang lebih universal. Tidak lagi mengandungi unsur ritualistik tetapi masih membawa semangat asalnya;  sebagai satu bentuk penghargaan terhadap budaya leluhur dan sumber rezeki. Dalam konteks ini, Sugandoi menjadi jambatan antara masa silam dan masa kini, antara warisan rohani dan manifestasi seni.

Menyemai Nilai, Menuai Jati Diri

Dalam dunia yang kian moden dan bergerak pantas, nilai-nilai simbolik yang terkandung dalam budaya tradisi seperti Kaamatan sering kali terpinggir. Namun melalui moginakan, linopot, Unduk Ngadau dan Sugandoi, semuanya berpaksikan simbol padi; masyarakat Momogun masih terus menyulam akar budaya dalam naratif masa kini.

Padi, dalam segala bentuknya, dari benih ke hidangan, dari legenda ke simbol, terus menjadi tunjang semangat Kaamatan. Perkara tersebut mengingatkan kita bahawa dalam setiap butir nasi yang kita nikmati, tersimpan peluh petani, kasih sayang keluarga dan warisan leluhur yang tidak ternilai.

Maka sewajarnya, dalam meraikan Kaamatan, kita bukan sahaja menari, menyanyi, dan bersorak tetapi juga merenung kembali segenap refleksi kehidupan dan menghargai semangat yang menumbuhkan rezeki. Menerusi penghayatan sebegini, maka Kaamatan menjadi platform untuk merayakan akar budaya yang menyatukan masyarakat Momogun seluruhnya.

__________________________________

Ramzah Dambul (Prof. Madya Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi