Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPenampang – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepelbagaian kaum dan budaya wajar dirai bersama, seiring semangat perpaduan yang menjadi teras kepada sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Menurut beliau, kekayaan budaya yang dimiliki Malaysia bukan sahaja menjadi identiti negara, tetapi juga menjadi jambatan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Sambutan Kaamatan dan Gawai tidak sekadar pesta menuai, pesta ini merupakan sebahagian daripada warisan dan budaya sebuah Malaysia yang rencam dan unik yang diraikan oleh masyarakat di Sabah dan Sarawak dalam semangat kesyukuran dan muafakat”
“Perayaan ini menjadi cerminan keharmonian, kerukunan dan menjadi simbolik kesyukuran kepada alam dan limpahannya.” Jelas Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan-Dusun (KDCA), Penampang.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan menjadi contoh jelas perpaduan politik yang matang, satu kerjasama yang memastikan suara rakyat terus didengar dan diambil kira bagi menentukan dasar pembangunan nasional.
Terdahulu, pada tahun ini tema “Kaamatan Montok Toinsanan” atau “Kaamatan Untuk Semua” telah dipilih dan perayaan yang memasuki tahun ke-65, merupakan cerminan ketahanan, kekayaan serta warisan budaya masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Saban tahun, pesta ini akan dirayakan pada penghujung bulan Mei dan bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap hasil tuaian, malah mencerminkan kekayaan warisan budaya masyarakat Kadazan Dusun, Murut dan Rungus.
Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan sepanjang sambutan, termasuklah pertandingan ratu cantik atau “Unduk Ngadau”, pertandingan nyanyian tradisional dan tarian.