11 Mac 2023, 15:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berlin – Sabah menjenamakan semula slogan pelancongan negeri itu kepada “Feel Sabah, North Borneo” yang dilihat mempunyai sentimental dan sejarah tersendiri dan dilancarkan pada pameran perdagangan pelancongan terbesar dunia, Internationale Tourismus-Borse Berlin (ITB Berlin 2023) dalam usaha memikat orang Barat berkunjung ke Borneo.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, YB Datuk Christina Liew (tiga dari kiri) semasa melancarkan penjenamaan semula destinasi pelancongan Sabah dengan slogan “Feel Sabah, North Borneo”.

Penjenamaan semula slogan pelancongan negeri itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Yang Berhormat (YB) Datuk Christina Liew dalam satu acara pameran perdagangan pelancongan terbesar dunia di Messe Berlin, Jerman.

Idea slogan “Feel Sabah” ini dicetuskan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB), manakala idea menggabungkan “North Borneo” pula diilhamkan oleh Datuk Christina Liew sendiri yang seterusnya menghasilkan slogan mempromosi Sabah yang baharu kepada “Feel Sabah, North Borneo”.

Menurut Datuk Christina Liew, pihaknya mahu pelancong antarabangsa mengetahui bahawa Sabah terletak di bahagian utara Kepulauan Borneo dengan harapan dapat menarik lebih ramai pelancong dari Eropah dan negara lain melancong ke Sabah.

“Nama Borneo Utara kedengaran eksotik dan membangkitkan perasaan nostalgia kerinduan kepada destinasi ini dan nama tersebut juga mempunyai kepentingan sejarah kerana Sabah pada masa itu dikenali sebagai Borneo Utara sebelum mencapai kemerdekaan pada tahun 1963,” kata YB Datuk Christina Liew.

Tambah beliau lagi, sebahagian masyarakat tidak pernah mendengar atau mengetahui tentang Sabah meskipun sudah berdekad lamanya mempromosikan slogan “Land Below the Wind” kepada dunia luar, apatah lagi mengetahui kepelbagaian tarikan semula jadi dan hidupan liar ikonik yang terdapat di Sabah.

YB Datuk Christina Liew turut menyatakan bahawa pihaknya berazam untuk menjenamakan semula destinasi pelancongan ini dengan slogan “Feel Sabah, North Borneo” untuk mewujudkan identiti baharu dalam pasaran pelancongan.

Pihaknya turut merancang untuk meneroka prospek bagi menarik pelancong daripada pasaran pelancongan baharu di Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan India menerusi jerayawara pelancongan yang akan dilaksanakan oleh STB.

Sabah merupakan destinasi pelancongan yang penuh dengan keajaiban alam semula jadi yang menakjubkan seperti Gunung Kinabalu, Lembangan Maliau dan Tip of Borneo.

Di samping itu, delegasi Sabah ke program itu turut disertai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Mohd Yusrie Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.