24 Mac 2023, 09:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang memiliki sejarah dan warisan seni kraf tangan tradisional yang bermutu tinggi. Sejarah seni kraf tangan manusia terawal di Malaysia bermula sejak Zaman Prasejarah. Kemunculan Zaman Neolitik dalam Zaman Prasejarah melambangkan kemajuan teknologi dan corak kehidupan masyarakat yang memiliki kearifan tempatan dalam warisan pembuatan tembikar daripada tanah liat.

Selain itu, penggunaan tanah liat sebagai bahan asas dalam pembuatan tembikar merupakan sumber alam semula jadi ciptaan Allah SWT seperti yang diceritakan dalam al-Quran menerusi surah ar-Rahman: Ayat 14. Hasilnya, pembuatan labu sayong di Perak hingga kini telah diusahakan di Kampung Bendang Dalam, Sayong, Kuala Kangsar dan Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak.

Sejarah penemuan tembikar di Perak pada Zaman Prasejarah menurut Siti Zainon Ismail dalam buku Reka Bentuk Kraf Tangan Melayu Tradisi (1986) bermula pada Zaman Paleolitik. Selain itu, penemuan pelbagai jenis tembikar di Gua Badak, Lenggong sebagai warisan Kerajaan Gangga Negara di Perak menandakan permulaan sejarah pembuatan labu sayong di Perak. Di samping itu, penemuan bahan tembikar di Gua Badak digunakan untuk menyimpan air, bekas makanan, bekas minuman dan menyimpan bahan-bahan makanan untuk jangka masa yang panjang. Menurut Shamsu Mohamed dalam The Malay Pottery in Malaysia (2005), sejarah pembuatan tembikar pada Zaman Prasejarah di Perak merupakan seni kraf tangan tertua yang dihasilkan dalam tamadun manusia di samping sejarah penciptaan labu sayong yang melambangkan permulaan sejarah bangsa bertamadun di Perak.

Sejarah labu sayong di Perak bermula dari Zaman Prasejarah hingga zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain sebagai Sultan Perak Ke-15 pada tahun 1752 Masihi hingga tahun 1765 Masihi. Karya agung Misa Melayu menceritakan sejarah labu sayong ketika zaman pemerintahan Sultan Abdul Malik Mansur Syah sebagai Sultan Perak Ke-19 pada tahun 1806 Masihi hingga tahun 1825 Masihi.

Kisah sejarah nama Sayong di Perak berdasarkan kisah seorang tukang kayu mahir yang pergi ke dalam hutan untuk mencari kayu dan membelah kayu serong kepada dua bahagian yang menyebabkan tukang kayu berasa hairan melihat kejadian aneh tersebut buat pertama kali di dalam hutan sehingga memanggil papan kayu tersebut sebagai “Papan Sayong”. Kemudian tempat tersebut dinamakan sebagai “Sayong”.

Selain itu, perkataan “sayung” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) bermaksud serong, rencong, tirus dan menyimpang dari arah yang lurus seperti garis dan potongan papan kayu dalam bentuk menyerong. Secara keseluruhannya, sejarah penduduk Sayong sebagai tukang kayu merupakan penduduk yang dibawa ke Kuala Kangsar oleh Sultan-sultan Perak ketika bersemayam di Hilir Perak.

Karya agung Misa Melayu hasil karangan Raja Chulan Ibni Raja Abdul Hamid Ibni Yang di-Pertuan Muda Sultan Mansur Syah bergelar Marhum Pulau Juar, Kampung Gajah telah menceritakan sejarah penggunaan labu sayong. Selain itu, karya agung Misa Melayu juga menceritakan kisah Sultan Iskandar Zulkarnain membawa peralatan tembikar labu sayong sebagai bekas minuman dan bersiram ketika berlayar di Sungai Perak dari Istana Pulau Cempaka Sari ke Pulau Tiga. Penggunaan labu sayong dijadikan sebagai tempat menyimpan minuman dan bersiram di Istana Negara Perak atau “Astana Negara” oleh keluarga diraja di Istana Negari Perak dan para pembesar Melayu Perak pada kurun ke-18 Masihi.

Karya agung Misa Melayu menceritakan sejarah penggunaan tembikar di istana sebagai tempat menyimpan minuman dan bersiram.

Menurut Encik Othman Satar, pengusaha labu sayong di Kampung Kepala Bendang, warisan labu sayong di Kampung Kepala Bendang diperkenalkan oleh Tuk Kaluk, datuk Encik Othman Satar yang berasal dari Minangkabau, Sumatera Barat pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Malik Mansur Syah pada tahun 1806 Masihi hingga tahun 1825 Masihi. Sehubungan dengan itu, sejarah dan kearifan Tuk Kaluk dalam warisan labu sayong merupakan orang Melayu pertama berketurunan suku Minangkabau yang mencipta tembikar daripada tanah liat pada tahun 810 Masihi.

Selain itu, Tuk Kaluk juga mempunyai hubungan baik dengan pihak istana. Bahkan, kearifan Tuk Kaluk dalam pembuatan labu sayong, tembikar dan parang telah diwarisi oleh penduduk Kampung Kepala Bendang hingga kini. Sultan Abdul Malik Mansur Syah telah menganugerahkan sebidang tanah kepada Tuk Kaluk hasil kepakarannya dalam pembuatan labu sayong.

Kearifan tempatan orang Melayu di Perak dalam warisan labu sayong telah diwarisi daripada nenek moyang secara turun temurun yang digelar sebagai Nature’s Gentlemen. Hasilnya, kearifan orang Melayu di Perak dalam industri labu sayong kini telah diwarisi oleh Adiguru Kraf dan tokoh industri labu sayong di Kampung Pulau Tiga, Kubang Gajah dan Kampung Kepala Bendang, Sayong.

Pada asasnya, pembuatan labu sayong secara tradisional di Perak menggunakan tangan. Menurut L. Wray dalam artikelnya yang bertajuk The Malayan Pottery of Perak (1903), labu sayong telah dihasilkan di Lenggong, Bukit Gantang, Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah, Kampung Bendang Dalam, Sayong dan Kuala Kangsar. Secara ringkasnya, pembuatan labu sayong secara tradisional di Kampung Bendang Dalam merupakan pembuatan labu sayong yang paling bermutu tinggi di Perak.

Menurut Siti Zainon Ismail dalam buku Reka Bentuk Kraf Tangan Melayu Tradisi (1986), pembuatan labu sayong secara tradisional di Kampung Kepala Bendang diperkenalkan oleh Puan Nila Hitam yang berusia lebih seratus tahun. Kearifan Puan Nila Hitam dalam pembuatan labu sayong secara tradisional di Kampung Kepala Bendang turut diwarisi oleh cucunya, Puan Hasnah Adnan, pengusaha labu sayong di Kampung Kepala Bendang bersama-sama dua orang saudara perempuannya. Semua koleksi labu sayong yang dihasilkan oleh Puan Nila Hitam telah disimpan di Muzium Perak, Taiping sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1903.

Proses pembuatan labu sayong secara tradisional dan moden telah dihasilkan di Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah dan Kampung Kepala Bendang, Sayong, Kuala Kangsar. Selain itu, proses pembuatan labu sayong secara tradisional dan moden mengambil masa selama enam jam. Terdapat lima cara pembuatan tembikar labu sayong secara tradisional dan moden seperti membentuk, membersih, melurut, menghias dan mengukir. Seterusnya, terdapat juga tiga teknik pembuatan labu sayong secara tradisional dan moden seperti throwing, iaitu teknik lemparan alin, teknik acuan dan teknik sepuh. Manakala teknik pembakaran labu sayong menggunakan tanah Sayong dilakukan dengan suhu api 1000 darjah Celsius. Secara keseluruhannya, teknik pembakaran tanah porselin dilakukan dengan kadar suhu 1250 darjah Celsius menggunakan tanah liat yang mengandungi kandungan mineral yang tinggi, tidak mudah pecah dan berbau.

Penggunaan buah labu air dalam pembuatan labu sayong sebagai alat untuk mengisi air. Terdapat buah labu air yang berbuah dan berbentuk seperti labu sayong. Hasilnya, nama labu sayong diberikan berdasarkan bentuk buah labu sayong. Selain itu, pokok labu sayong ditanam menggunakan biji benih matang dan keratan dahan yang menjalar di atas tanah. Malah, pokok labu sayong mengeluarkan bunga jantan dan bunga betina seperti pokok labu manis yang membentuk putik buah selepas tiga bulan pokok labu sayong ditanam. Penggunaan labu tua yang dikeringkan menjadi bekas berbentuk labu sayong dan digunakan oleh masyarakat di Sayong untuk menyimpan bekalan air dan minuman.

Pembuatan tembikar secara tradisional di Perak dijalankan di pesisiran Sungai Perak, iaitu di Lenggong, Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah dan Kampung Bendang Dalam, Sayong, Kuala Kangsar.

Kampung Pulau Tiga terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak, iaitu di daerah kecil Kampung Gajah Perak. Selain itu, industri labu sayong di Kampung Pulau Tiga terkenal menerusi industri labu hitam, iaitu black pottery. Hasilnya, industri labu hitam yang diusahakan oleh Allahyarhamah Puan Hajah Hawa Ngah Salam, Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga tahun 2009 bersama-sama pengusaha labu sayong yang lain telah menjual labu hitam dengan harga yang murah sebagai cenderamata kepada para pelancong tempatan dan luar negara.

Puan Hajah Hawa Ngah Salam dilahirkan pada 5 Mei 1934. Penglibatan awal beliau dalam pembuatan labu sayong secara tradisional di Perak bermula sewaktu berusia 15 tahun yang bertujuan untuk menambahkan sumber pendapatan keluarga, selain memelihara warisan labu sayong di Perak. Menurut Puan Hajah Hawa Ngah Salam, sejarah industri labu sayong di Kampung Pulau Tiga diperkenalkan oleh para pedagang dari India dan China yang menyusuri perkampungan di tepi Sungai Perak pada awal abad ke-15.

“Warisan Enam Keturunan” Puan Hajah Hawa Ngah Salam merupakan warisan generasi keenam pengusaha labu sayong secara tradisional di Pulau Tiga. Beliau mewarisi ilmu pembuatan labu sayong secara tradisional di Pulau Tiga daripada ibunya. Kini, anak lelaki beliau, iaitu Shahruddin yang bertugas sebagai pelatih kraf seramik di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Perak (PKKMP) Cawangan Kuala Kangsar mewarisi kearifan dalam warisan pembuatan labu sayong.

Sejarah dan kearifan Puan Hajah Hawa Ngah Salam dalam warisan pembuatan labu sayong Kampung Pulau Tiga diceritakan menerusi artikel bertajuk A Display of Malay Handicraft yang disiarkan dalam akhbar The Star pada tahun 1973. Selain itu, pembuatan labu sayong Pulau Tiga yang dihasilkan oleh Puan Hajah Hawa Ngah Salam dipasarkan ke seluruh Malaysia dan diperkenalkan ke peringkat antarabangsa. Beliau juga pernah mendapat Anugerah Penghargaan WICITRA 1984 daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sebagai pengiktirafan “Permata Gemilang Kampung Pulau Tiga.”

Kearifan Encik Zulkafly Pandak Bedin sebagai Adiguru Kraf Tangan Labu Sayong di Kampung Kepala Bendang, Sayong pula bermula pada tahun 1979. Warisan industri labu sayong generasi kelima yang diusahakan oleh ibu Encik Zulkafly Pandak Bedin merupakan sumber pendapatan keluarga beliau. Hasilnya, kearifan Encik Zulkafly Pandak Bedin menghasilkan labu air dan labu lepap terserlah setelah bersara sebagai tenaga pengajar di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Perak (PKKMP) Cawangan Kuala Kangsar.

Encik Mohd Pareb Zamari telah menubuhkan Bengkel Tembikar Moden dan Tradisional Sayong Pottery di Kampung Kepala Bendang, Sayong untuk mengusahakan industri pembuatan labu sayong, labu air dan labu lepap secara tradisional dan moden serta telah berjaya dipasarkan di luar negara. Kearifan Encik Mohd Pareb Zamari dalam pembuatan labu sayong, labu air dan labu lepap diwarisi secara turun-temurun.

Kemahiran Encik Mohd Pareb Zamari menggunakan tanah liat Sayong dalam industri labu sayong, labu air dan labu lepap berjaya membawa beliau menerima tempahan dalam industri perusahaan penapis air di Korea Selatan. Selain itu, penggunaan teknologi moden dalam industri labu sayong, labu air dan labu lepap menunjukkan hasil pengeluaran yang produktif di samping penggunaan tanah liat Sayong tidak perlu dicampurkan dengan bahan mineral lain supaya tahan lebih lama. Manakala kandungan air paip dalam labu sayong bertujuan untuk menyejukkan badan. Secara keseluruhannya, pembuatan labu sayong, labu air dan labu lepap menggunakan tanah porselin dari Jepun yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi.

Sejarah dan kearifan tempatan dalam warisan labu sayong melambangkan keunggulan warisan kraf tangan Melayu tradisional yang bermutu tinggi. Hasilnya, sejarah dan kearifan Tuk Kaluk sebagai orang Melayu suku Minangkabau pertama mencipta tembikar labu sayong daripada tanah liat di Perak telah dicatatkan ketika era pemerintahan Sultan Abdul Malik Mansur Syah pada tahun 1806 Masihi hingga tahun 1825 Masihi.

Kini, warisan industri labu sayong di Kampung Pulau Tiga dan Kampung Kepala Bendang terus diusahakan oleh Tuan Zulkafly Pandak Bedin, Tuan Mohd Pareb Zamari dan pengusaha labu sayong yang lain. Kini, jelaslah bahawa keunggulan warisan industri labu sayong di Perak melambangkan ketinggian budaya dan keindahan seni kraf tangan orang Melayu di Perak sejak zaman-berzaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.