5 Mei 2023, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tuaran – Sambutan acara kebudayaan seperti Pesta Kaamatan mampu menjadi wadah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya terutamanya di negeri Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor berkata sambutan perayaan ini berperanan untuk mempromosikan kesepaduan sosial dan membantu membina jambatan persefahaman antara masyarakat pelbagai etnik melalui tarian, muzik serta pakaian tradisional.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sambutan dan program kebudayaan serta keagamaan kerana percaya program kebudayaan dapat memantapkan lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum serta memberi peluang untuk kita saling mengenali, memahami serta menghargai adat budaya suku kaum masing-masing,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan ketika membacakan teks ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor dalam Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2023.

 

Beliau juga berkata Pesta Kaamatan ini bukan sahaja untuk menyatakan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim.

Tambahnya, semangat persaudaraan, persahabatan dan perpaduan yang selama ini menjadi amalan hidup perlu terus diperkukuh dan dimantapkan lagi sesuai dengan semangat Malaysia Madani melalui perayaan ini.

“Sepanjang tempoh sebulan sambutan pesta ini hingga acara kemuncak pada 30 dan 31 Mei, pelbagai acara akan diadakan dalam pelbagai peringkat di seluruh negeri termasuklah di Sarawak dan di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan semasa menuai tujuh tangkai padi.

Beliau menyeru semua pihak untuk sama-sama menyertai dan menjayakan sambutan Tadau Kaamatan di peringkat daerah, kampung mahu pun organisasi masing-masing dan berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan ini akan terus dihayati demi kestabilan, keamanan, persahabatan serta kemakmuran negeri dan rakyat pada keseluruhannya.

Beliau turut menyarankan agar kumpulan etnik dan subetnik di seluruh Sabah meningkatkan usaha untuk mempromosi dan mempamerkan budaya masing-masing serta berbangga dengan identiti budaya yang diwarisi sejak turun-temurun.

Timbalan Ketua Menteri I menyempurnakan majlis pelancaran dengan memukul gong sebanyak tujuh kali.

Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2023 ini turut disiarkan secara dalam talian melalui Facebook TV Sabah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.