Oleh Syaza Wardina
13 Mei 2023, 22:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, YBhg. Dato’ Ronald Gan Yong Hoe berkata, persamaan tradisi dan budaya masyarakat Baba Nyonya dengan masyarakat majoriti Malaysia merupakan antara titik persamaan yang boleh dijadikan sebagai tiang jambatan pembinaan negara yang kukuh dan madani.

Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, YBhg. Dato’ Ronald Gan Yong Hoe ketika berucap dalam Majlis Perasmian Festival Peranakan Malaysia 2023.

Menurut beliau, antara tradisi dan budaya tersebut termasuklah dondang sayang, pantun, tarian joget lambak, makan sirih dan sambal belacan, serta pemakaian kebaya.

“Masyarakat Baba Nyonya, Ceti dan Serani di Malaysia perlu berasa bangga dengan tradisi dan cara hidup kita.

Jika kita sendiri termakan dengan arus pembangunan sehingga mengabaikan bahasa, cara hidup, pakaian dan lagu kita, makan hilanglah khazanah yang boleh dan layak dijadikan sebagai ikon perpaduan di negara ini,” kata beliau ketika berucap dalam Majlis Perasmian Festival Peranakan Malaysia 2023, pagi tadi.

Beliau percaya, peranakan tidak akan hilang di muka bumi ini, namun memerlukan bantuan kerajaan terutamanya kerajaan yang menawarkan konsep MADANI supaya memberikan legitimasi kepada status peranakan sebagai satu suku kaum di Malaysia ini.

“Kami tidak mahu dijadikan sebagai produk pelancongan malahan menjadi ikon perpaduan yang boleh membina masyarakat yang benar-benar masyhur dan bersatu padu,” ujar beliau.

Festival yang berlangsung selama sehari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut merupakan anjuran DBP dengan kerjasama Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (PERANAKAN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka, Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor, Jabatan Warisan Negara serta Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Negeri Melaka.

Penganjuran festival ini bertujuan untuk mengangkat keindahan serta kekayaan budaya Baba Nyonya melalui aktiviti kesenian kepada masyarakat umum.

Festival Peranakan Malaysia 2023 padat dengan aktiviti seperti Dialog Peranakan, Pertandingan Rencah Rasa Peranakan, Main Wayang Peranakan, persembahan dondang sayang dan joget, serta pameran dan jualan barangan peranakan.

Pameran dan jualan barangan peranakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.