Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRasfan Abu Bakar memperkatakan tentang ledakan gaya yang menjadi ikutan dan buah mulut pada masa kini
Heboh ketika ini tentang kewujudan satu kumpulan yang tular dengan gaya Old Money. Gelaran Old Money merupakan satu istilah yang merujuk kepada kekayaan diwarisi secara turun temurun. Kekayaan tersebut meliputi imej rumah agam yang tersergam indah, kelab eksklusif dan kemewahan dalam pelbagai perkara termasuklah dalam soal fesyen. Hari ini, konsep tersebut sedang mengalami kebangkitan budaya kerana didorong oleh media sosial dan pempengaruh.
Secara umumnya Old Money bermula daripada keluarga dan individu yang memperoleh kekayaan daripada generasi terdahulu. Golongan ini mewarisi kemewahan tersebut melalui pemilikan tanah, perusahaan industri atau perdagangan semasa era pengembangan ekonomi. Contohnya, keluarga Rockefeller di Amerika Syarikat atau Rothschild di Eropah; dinasti keluarga yang membina kekayaan pada abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Kekayaan jenis ini biasanya berakar dengan kepelbagaian aset seperti hartanah, perniagaan atau sumber semula jadi. Dengan kata mudah golongan Old Money melambangkan kestabilan kewangan selama berabad-abad lamanya serta ditambah pula dengan warisan kedudukan dan pengaruh sosial dalam masyarakat.
Selain itu, golongan Old Money meliputi gaya hidup serta nilai personaliti yang tersendiri. Pilihan fesyen golongan ini juga sangat berbeza kerana sering tampil dengan pakaian yang mewah tetapi tidak berjenama. Mereka sering kali dikaitkan sebagai seorang yang dermawan, berbudi serta mempunyai pendidikan dari universiti yang terkemuka, seperti Ivy League. Old Money juga berminat terhadap pemilikan karya seni, filem, teater dan bercuti di tempat yang mewah tetapi jarang untuk menunjukkan kekayaan yang dimiliki.
Hari ini, gaya estetik Old Money telah menjadi ikutan ramai terutamanya dalam kalangan generasi muda. Platform seperti TikTok dan Instagram dibanjiri dengan kandungan yang meraikan keanggunan gaya hidup ini.
Mereka bergaya seakan-akan pergi menonton perlawanan polo, lumba kuda, bermain golf dengan pakaian vintaj dan klasik sedangkan semuanya adalah palsu belaka. Ini disebabkan oleh tarikan budaya komersial yang didominasi oleh pempengaruh digital yang cuba memaparkan gaya hidup mewah dan elegan.
Pempengaruh menggunakan populariti golongan Old Money sebagai alat pemasaran yang berkuasa. Mereka ini cuba meniru gaya hidup Old Money tanpa menyedari budaya di sebaliknya.
Peniruan ini hanya pada lapisan luaran sahaja seperti menggunakan blazer dan sepatu kulit lalu dipotretnya dengan pelbagai gaya mewah dan santai berlatarbelakangkan bangunan klasik atau bersejarah. Fenomena palsu Old Money ini bertujuan untuk meraih perhatian sahaja serta kerana sebahagian daripada budaya popular semasa (current trend).
Menurut Lauren Santo Domingo, pengasas syarikat Moda Operandi menyatakan fesyen Old Money bukan hanya mengenai pakaian tetapi sejarah dan nilai yang diwakilinya. Hari ini dengan adanya media sosial, kita dapat melihat versi yang dihasilkan bersifat meminjam estetik tanpa keaslian atau warisan lalu mengubahnya menjadi satu lagi trend.
Perkara yang sama turut dinyatakan oleh pengasas Jacquemus, iaitu Simon Porte Jacquemus. Beliau menyatakan trend seperti Old Money palsu mencerminkan keinginan untuk meraih status kelas dan tradisi yang kemudiannya bertukar menjadi bahan jenaka. Gaya sebenar berkenaan keseimbangan dan keperibadian bukan hanya meniru idea tentang kekayaan.
Kesimpulannya fenomena Old Money palsu ini tidak lebih daripada bentuk strategi pemasaran yang dijalankan oleh pempengaruh bagi meraih populariti dan melariskan produk yang dijual.
Idea kreatif ini sudah tentu mencetuskan pelbagai polemik di media sosial kerana ada yang menyukai dan mengecamnya. Sungguhpun demikian, isu-isu sebegini sudah pasti menyerikan lagi dunia media sosial tanah air yang sentiasa dinamis mengikut trend semasa.
Tepuk dada tanyalah selera. Penulis secara peribadi dapat merasakan trend Old Money ini akan terus meledak dan sampai kemuncaknya sehingga Syawal tahun hadapan. Jadi sama-samalah kita tunggu!
_________________________
Rasfan Abu Bakar merupakan pensyarah kanan seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).