Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBanda Hilir – Dalam usaha menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang pentingnya memelihara warisan agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) kini sedang mengadakan Pameran Retrospektif Citra Budaya dan Warisan Melaka dalam Seni Miniatur di Muzium Sejarah dan Etnografi, di sini.
Timbalan Pengerusi PERZIM, YBhg. Datuk Zaidi Attan ketika merasmikan pameran itu berkata, pameran yang akan diadakan sehingga 28 Februari ini membolehkan orang awam dan pengunjung melihat 30 lebih seni miniatur yang memaparkan elemen sejarah, budaya dan tradisi Melaka dengan lebih dekat lagi.

Menurutnya, pameran yang menjadi pembuka tirai tahun 2025 itu merupakan perancangan PERZIM pada tahun 2020, tetapi terpaksa ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.
“Pameran yang diadakan dengan kerjasama Galeri Kebudayaan World Culture Organisation (WCO) ini juga secara tidak langsung dapat mempertahan dan memartabatkan nilai sejarah serta warisan kerana setiap satu seni miniatur yang dihasilkan mempunyai mesej yang unik dan tersendiri.

“Miniatur yang dipamerkan turut mewakili kepelbagaian etnik dan budaya yang terdapat di Malaysia seperti bunga rasmi negeri, busana tradisi, makanan warisan dan tradisi masyarakat berbilang kaum,” kata beliau.
Menurut YBhg. Datuk Zaidi Attan, antara seni yang menarik pada pameran itu termasuklah peragaan miniatur yang menggambarkan kegemilangan Kota Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 yang berukuran dua meter lebar dan tujuh meter panjang.

“Terdapat juga pelbagai sketsa tentang aktiviti masyarakat pada zaman tersebut yang diwakili oleh miniatur patung pelbagai rupa, busana dan bangunan kecil yang bagaikan sebuah dunia kecil yang diperhatikan daripada mata sang gergasi.
“Biarpun hasil seni yang dipamerkan ini dalam skala yang kecil, tetapi mesej yang disampaikan penuh makna selain memberikan gambaran yang jelas tentang keindahan sejarah serta kekayaan budaya Melaka,” kata beliau.
Turut hadir pada majlis perasmian ialah Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah dan Pengarah Galeri Kebudayaan World Culture Organisation (WCO), Foo Loke Kee.