Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Beberapa hari lagi umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri, perayaan yang melambangkan kesyukuran, kegembiraan dan kemenangan setelah sebulan menunaikan kewajipan berpuasa. Dari corong radio lagu-lagu hari raya klasik seperti Suasana Hari Raya, Menjelang Hari Raya dan Selamat Hari Raya mula berkumandang dan membangkitkan nostalgia serta menghidupkan suasana perayaan.
Lagu hari raya bukan sekadar hiburan, tetapi juga mencerminkan kemeriahan dan tradisi perayaan melalui liriknya. Setiap bait kata dalam lagu tersebut menggambarkan perasaan kegembiraan dan kesedihan, nostalgia dan nilai kebudayaan yang dapat dirasai. Lagu-lagu raya malar segar seperti Dendang Perantau atau Satu Hari Di Hari Raya terus diputarkan setiap tahun kerana alunan melodinya yang indah dan mesej yang terasa pada jiwa pendengar.
Lagu raya ini memaparkan tradisi perayaan yang telah diwarisi turun-temurun oleh masyarakat kita. Tradisi perayaan merujuk kepada amalan dan kebiasaan yang menjadi sebahagian daripada sambutan Aidilfitri. Ini termasuklah amalan sebelum perayaan seperti pulang ke kampung, membeli keperluan perayaan seperti baju baru, kuih raya dan sampul raya. Begitu juga dengan persiapan raya apabila sudah berkumpul pasti akan bergotong-royong menyediakan juadah perayaan, mengemas dan mencantikkan rumah. Semua ini dilakukan bagi memastikan Aidilfitri disambut dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan.
Semasa perayaan, tradisi dimulakan dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah di masjid atau surau. Masyarakat akan mengenakan pakaian tradisional baju Melayu dan kurung yang baru serta bersih sebagai tanda kemenangan setelah sebulan berpuasa. Seterusnya, amalan bermaaf-maafan dimulakan dengan bersalaman antara ahli keluarga. Amalan tersebut tanda kasih sayang dan keharmonian.
Bagi mereka yang telah kehilangan ibu-bapa, ada yang memilih untuk menziarahi pusara pada pagi Syawal bagi membersihkan kubur dan menghadiahkan doa. Setelah beraya bersama keluarga terdekat, barulah mereka akan mula menziarahi sanak-saudara serta jiran tetangga bagi mengeratkan hubungan sambil menikmati hidangan yang disediakan. Makanan tradisi seperti ketupat, lemang, rendang, dodol serta pelbagai jenis kuih-muih raya turut disediakan, melengkapkan kemeriahan sambutan Aidilfitri.
Pelbagai emosi mengiringi ketibaan Aidilfitri, sama ada kegembiraan meraikan bersama dengan orang yang tersayang, kesyukuran setelah menunaikan kewajipan dalam agama Islam, mahupun rasa syahdu mengenang insan yang telah tiada.
Semua pengalaman ini diabadikan dalam bait-bait lirik lagu raya, menjadikan lagu-lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah catatan budaya dan refleksi emosi yang terus relevan dan didendangkan dari generasi ke generasi.
Misalnya, “Balik kampung, ho…ho…ho… balik kampung, hati girang.” Lagu ikonik Balik Kampung dendangan Sudirman ini menggambarkan keterujaan dan kegembiraan apabila pulang ke desa untuk beraya bersama keluarga tercinta.
“Pulanglah… ke pangkuan ku, oh sayang..
Ku menunggu mu di hari raya.”
Lagu dendangan Aishah, Pulanglah ini pula mengisahkan kerinduan mendalam seseorang – sama ada ibu terhadap anaknya atau pasangan kekasih- yang berjauhan di perantauan dan dia merayu menanti kepulangan orang yang dikasihinya itu. Lirik ini meruntun jiwa terutama bagi mereka yang tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
Begitu juga dengan lagu Dendang Perantau dendangan P. Ramlee yang sarat dengan perasaan hiba dan kerinduan terhadap kampung halamannya. Dengan lirik mendalam seperti “Hancur musnahlah semuanya, impian yang murni tinggal menjadi kenang-kenanganku, hanya rangkaian kata dengan lagu dendang perantau”. Lagu ini menggambarkan kesedihan seorang perantau yang menyambut lebaran jauh daripada keluarganya.
Perasaan sedih ini juga akan lebih dirasai bagi mereka yang kehilangan insan tersayang ketika menyambut Aidilfitri. Emosi ini digambarkan dengan jelas dalam lagu Cahaya Aidilfitri nyanyian kumpulan Black Dog Bone:
Bila tiba hari raya,
Semua insan bergembira
Tetapi bagiku hanya kesedihan
Yang Menyelubungi hidup
Begitu juga dalam lagu Musafir di Aidilfitri dendangan S. Jibeng: :
Oh tuhan yang maha kaya
Hamba menangis di pagi raya
Aidilfitri hari bahagia
Tapi hamba dilanda derita
Kedua-dua lagu ini menyuarakan kesedihan seseorang yang kehilangan ibu dan ayah. Aidilfitri yang sepatutnya membawa kegembiraan menjadi saat yang penuh hiba, apabila hanya pusara yang menjadi saksi kerinduan yang tidak terganti.
Namun, dalam kesedihan, Siti Nurhaliza hadir dengan Sesuci Lebaran, sebuah lagu yang memujuk emosi pilu dengan lirik yang lembut tetapi penuh makna. Lagu ini bukan sekadar irama yang merdu, tetapi juga membawa pesanan agar kita menyambut Aidilfitri dengan kegembiraan dan keindahan.
Hiasi diri indah
Riangkan hati gundah
Bersihkan jiwa sesuci lebaran
Agar sempurna insan
Di Pagi Raya
Moga-moga terampun Dosa
Sesuci Lebaran mengingatkan bahawa Aidilfitri bukan hanya tentang kesedihan dan kehilangan, tetapi juga tentang harapan, keampunan, dan kebahagiaan yang perlu dirai bersama.
Emosi hiba ini juga boleh bertaut dengan perasaan gembira ketika Aidilfitri. Sudah menjadi fitrah bagi manusia turut merasai kehibaan pada hari yang bermakna ini. Emosi yang bercampur-baur sering menyelubungi perasaan – kita gembira, namun pada masa yang sama dihimpit rasa sayu, hiba, dan kadangkala tekanan dalam menyambut perayaan ini.
M. Nasir menyampaikan emosi ini dengan begitu jelas dalam lagunya, Satu Hari di Hari Raya.
Satu hari di Hari Raya
Aku menangis tanda gembira
Aku menangis tanda ku cinta kepadaNya
Apakah yang melatari perasaannya pada ketika itu? Air matanya menyatakan kesedihan, tetapi bukan emosi hiba semata-mata, emosi ini juga hadir perasaan gembira dan juga perasaan kesyukuran kepada Allah. Perasaan ini digambarkan dengan lebih jelas dalam bait-bait seterusnya:
Ku lihat wajah suci ibuku
Ku lihat wajah kasih ayahku
Ku gembira..
Mungkin inilah dia kebahagiaan
Kegembiraan itu hadir apabila melihat wajah suci seorang ibu dan wajah kasih seorang ayah. Inilah perasaan syahdu yang diungkapkan oleh M. Nasir ketika menyambut Aidilfitri ini – suatu emosi yang menyentuh jiwa, menggabungkan keinsafan, cinta dan rasa syukur. Puncak emosi ini diungkapkan dalam bait terakhir dengan perkataan “kebahagiaan”. Satu perasaan yang teragung.
Gambaran kegembiraan menyambut Aidilfiti cukup banyak dipaparkan dalam bait-bait seni kata lagu raya. Hal ini dapat dilihat dalam lagu Menjelang Hari Raya nyanyian DJ Dave yang membawa rentak rancak serta lirik yang menggambarkan keterujaan membuat persiapan raya. Sementara itu, Seloka Hari Raya dendangan Uji Rashid dan Hail Amir menyuntik keriangan dengan lirik bersahaja serta melodi yang mencerminkan kemeriahan Aidilfitri. Kedua-dua lagu ini menghidupkan semangat hari raya yang penuh kegembiraan, mengajak kita untuk meraikannya dengan hati yang ceria dan penuh kesyukuran.
Bagi kanak-kanak, sambutan Aidilfitri merupakan detik yang dinanti-nantikan kerana mereka teruja dengan pelbagai aktiviti yang menceriakan suasana. Seawal pagi, mereka mengenakan pakaian baharu dengan wajah berseri-seri, bersedia untuk bertemu rakan-rakan yang sudah menunggu.
Suasana semakin meriah apabila mereka bermain mercun dan bunga api di kampung, seperti yang digambarkan dalam lagu Bila Takbir Bergema dendangan Rafeah Buang. Selain itu, mereka turut berjalan beramai-ramai berkunjung ke rumah saudara dan sahabat handai, bersalaman dan bermaaf-maafan, seperti yang diungkapkan dalam Suasana Riang di Hari Raya nyanyian Junainah M. Amin. Tradisi memberi dan menerima duit raya pula menambahkan lagi keriangan mereka, menjadikan Aidilfitri satu kenangan mani yang tidak akan dilupakan.
Aidilfitri juga tidak lengkap tanpa hidangan tradisional yang disediakan dengan penuh kasih sayang. Ketupat dan rendang yang disediakan sejak malam raya menjadi menu utama yang dinikmati bersama keluarga dan tetamu. Kuih-muih beraneka jenis turut menghiasi meja, daripada wajik dan dodol hingga kuih moden. Ini digambarkan dalam Suasana Hari Raya, nyanyian Anuar Zain dan Ellina, makanan ini bukan sekadar juadah, tetapi warisan turun-temurun yang tidak boleh dilupakan.
Jelaslah bahawa lagu raya ini mempunyai kekuatan tersendiri melalui lirik yang bukan menggambarkan kemeriahan perayaan, tetapi memupuk nilai kekeluargaan dan tradisi. Keindahan lirik ini membolehkan pendengar membayangkan suasana Aidilfitri dengan jelas, menjadikan lagu ini bukan sekadar hiburan tetapi juga refleksi budaya dan identiti masyarakat Melayu.
Selain kegembiraan, lagu ini turut menyentuh pelbagai emosi yang berkaitan dengan perayaan ini. Emosi seperti kerinduan, kepiluan, keinsafan dan kebahagian memberi makna lebih mendalam kepada pendengar, membawa mereka menghayati erti sebenar Aidilfitri. Keseimbangan anatara kegembiraan dan kesyahduan inilah yang menjadikan lagu raya klasik malar segar dan dekat di hati pendengar sepanjang zaman.
Persoalannya, mampukah lagu raya masa kini mampu mencerminkan suasana dan budaya perayaan seperti dahulu? Dato’ M. Nasir menyuarakan pandangannya bahawa lagu raya moden cenderung kekurangan elemen kesyahduan yang memberi roh kepada perayaan. Walaupun ada yang menarik dari segi melodi dan lirik yang “catchy”, keupayaan lagu-lagu ini untuk kekal relevan seperti lagu klasik masih belum dapat dipastikan. Menurut beliau, nilai tradisi dalam seni kata merupakan elemen penting yang membantu sesebuah lagu terus diminati dan diinganti sepanjang zaman.
Hakikatnya, lagu raya klasik terus kekal relevan dan menjadi pilihan utama setiap kali menjelang Aidilfitri kerana lagunya yang kaya dengan nilai tradisi, emosi mendalam dan “kesyahduan” seperti yang dinyatakan oleh Dato’ M. Nasir. Walaupun lagu raya masa kini membawa pembaharuan dari segi muzik dan penyampian, lagu-lagu lama tetap mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menggambarkan erti sebenar perayaan. Lagu yang baik akan terus diingati dan didendangkan sepanjang zaman, menjadikan lagu raya sebagai sebahagian daripada warisan budaya yang tidak lapuk ditelan zaman.