26 April 2023, 08:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Bermula dengan filem Polis Evo pada tahun 2015 yang berjaya mengumpul RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) yang berjaya meraih RM25 juta, kini filem francais kepolisan “pecah panggung” ini diteruskan dengan Polis Evo 3 pula.

Shaheizy Sam (kiri) sebagai Inspektor Khai dan Zizan Razak (kanan) sebagai Inspektor Sani merupakan teraju utama filem Polis Evo 3.

Selepas lima tahun menanti, para peminat bakal menyaksikan Polis Evo 3 bermula pada 25 Mei depan. Filem sekuel ketiga ini mengembalikan tonggak utama, iaitu Shaheizy Sam sebagai Inspektor Khai dan Zizan Razak sebagai Inspektor Sani. Nora Danish dan Eyka Farhana turut kembali sebagai Anis dan Yati, iaitu adik-adik kepada Inspektor Sani. Kamaliah Mat Dom juga kembali tampil sebagai ibu mereka bertiga.

Turut membintangi filem ini ialah Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Ben Amir, Wanna Ali, Zulin Aziz, Ezzaty Abdullah, Iman Corrine Adrienne, Datin Fadilah Mansor, Dato’ Afdlin Shauki, Farali Khan, Danial Zaini, Daniel Cheng, Michael Ang, Fouziah Gous serta Radin, penyampai radio ERA.

Barisan pelakon, pengarah dan penerbit filem Polis Evo 3.

Syafiq Yusof, pengarah muda “pecah panggung” dipilih untuk menggalas tugas menghasilkan filem Polis Evo 3 yang bakal menjadi ikonik. Dihasilkan oleh rumah produksi BlackFlag, francais filem Polis Evo buat pertama kali menggabungkan tiga buah penerbit besar Malaysia, iaitu Astro Shaw, Skop Productions Sdn. Bhd. (Skop Productions) dan TGV Pictures.

Pada 13 April 2023 lalu telah berlangsung Majlis Pelancaran Polis Evo 3 dan Iftar di Six in the City, Petaling Jaya yang turut dihadiri oleh Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 yang juga Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad; Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam; Ketua Pegawai Eksekutif TGV Pictures & TGV Cinemas, Tan Lay Han serta Syafiq Yusof, Joe Soh, Shaheizy Sam, Zizan Razak, Nora Danish, Fauzi Nawawi, Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Fezrul Khan.

Menurut Raja Jastina, Polis Evo 3 menampilkan lebih banyak aksi lasak, dramatik dan mengembangkan “keluarga Polis Evo” menerusi watak-watak baharu untuk bersama-sama dalam ikatan persaudaraan antara Inspektor Khai dengan Inspektor Sani.

Polis Evo 3 turut mengalu-alukan rakan penerbit baharu seperti Skop Productions dan TGV Pictures dalam memperkukuhkan lagi strategi penerbitannya. Kami juga akan tampil dengan rangkaian promosi kreatif menerusi kolaborasi bersama-sama beberapa jenama PUBG MOBILE serta video pendek khas, bersama-sama pempengaruh media sosial bertaraf antarabangsa seperti Sofyank, selain inisiatif kreatif dengan rakan-rakan pempamer,” jelas Raja Jastina.

Syafiq Yusof selaku pengarah filem Polis Evo 3.

Tambah beliau lagi, Astro Shaw berharap kemunculan semula francais filem Polis Evo 3 selepas lima tahun dapat mengujakan para peminat industri filem tempatan dan luar negara.

Menurut Datuk Yusof Haslam, sebagai penerbit dan pengkarya seni, Skop Productions mahu menyajikan sesuatu yang berbeza dan sekali gus mampu menepati cita rasa penonton. Di samping itu, beliau yakin terhadap kemampuan Syafiq Yusof untuk mengarahkan filem Polis Evo 3 menjadi sebuah filem luar biasa dan berharap filem ini berupaya mencipta fenomena yang tersendiri serta memberi kejutan dalam industri perfileman Malaysia.

Lagu tema atau OST Polis Evo 3, iaitu Ayuh dicipta oleh komposer legenda rap terkenal, Malique atau dikenali sebagai Mr. General bersama-sama Adeep Nahar. Lirik dihasilkan oleh Malique, Kmy Kmo dan Aman Ra. Lagu Ayuh didendangkan oleh Kmy, Aman, Ernie dan Malique dalam majlis tersebut.

Poster tayangan filem Polis Evo 3.

Polis Evo 3 mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaharu. Pada sekuel ini, mereka disertai oleh Inspektor Dani (Syafiq Kyle), Inspektor Julie (Farali Khan) dan Inspektor Dell (Fezrul Khan) yang mempunyai kepakaran masing-masing. Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila mereka menyedari bahawa suspek yang diburu ada kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Tiket filem Polis Evo 3 boleh dibeli bermula pada 11 Mei 2023 menerusi seluruh laman sesawang pawagam. Manakala tayangan awal pula akan berlangsung pada 24 Mei 2023. Dalam majlis yang sama, Astro Shaw dengan kerjasama permainan mudah alih popular PUBG MOBILE melancarkan acara rentas jenama dalam permainan PUBG MOBILE x Police Evo 3. Pemain akan ditawarkan pek suara khas Inspektor Khai dan Inspektor Sani berdasarkan dialog-dialog daripada filem berkenaan. Yang menariknya, semua dialog disumbangkan sendiri oleh Shaheizy Sam dan Zizan Razak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.