1 Januari 2025, 07:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Detik ke tahun baharu merupakan momen yang dinanti-nantikan oleh penduduk di Malaysia kerana menjadi titik mulanya pertukaran tahun. Sejak sekian lama, pelbagai acara dianjurkan di seluruh dunia meraikan malam tahun baharu termasuklah di negara kita. Walau bagaimanapun, setelah COVID-19 melanda negara pada tahun 2020, sambutan ambang tahun baharu di negara kita dibatalkan ataupun dianjur secara sederhana. Malah pada tahun lepas, acara sambutan tahun baharu juga dibatalkan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin dan menghormati mangsa banjir di beberapa buah negeri. Sambutan yang dirai setiap tahun sebelum ini lebih berbentuk hiburan, namun kini kebanyakannya telah bertukar dengan sambutan yang lebih Islamik.

Tahun Baharu Masihi dikatakan disambut sejak sekitar 4000 tahun lalu atau sejak 2000 tahun Sebelum Masihi (SM). Perayaan ini disambut bagi menghormati kedatangan tahun baharu yang dilakukan oleh bangsa Babylon. Mereka dikatakan menjadikan sambutan ini dengan sambutan keagamaan yang dinamakan sebagai Akitu yang disertakan dengan beberapa ritual selain mengenangkan kemenangan mistikal tuhan langit, iaitu Marduk mengalahkan tuhan laut yang jahat bernama Tiamat.

Atas faktor inilah, ada pihak yang berpendapat hukum menyambut Tahun Baharu Masihi adalah haram. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menyatakan hukum Menyambut Tahun Baharu Masihi adalah harus. Namun, hendaklah disambut dalam keadaan yang berpandu dengan batas-batas agama dan adat ketimuran.

Dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama dengan demografi masyarakatnya terdiri daripada 70 peratus Muslim dan 30 peratus bukan Islam, sambutan perayaan sama ada berbentuk keagamaan atau tidak oleh semua pihak adalah lumrah termasuklah sambutan Tahun Baharu Masihi. Hidup bermasyarakat secara bersama dalam keadaan aman dan harmoni bukanlah satu pilihan tetapi adalah satu keperluan seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam merupakan agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Jadi, tidak hairanlah kalau Tahun Baharu Masihi dirai dan disambut dengan keterujaan oleh pelbagai lapisan rakyat termasuklah golongan muslim.

Sambutan Tahun Baharu sememangnya meriah terutamanya menjelang malam ambang tahun baharu apabila pelbagai pihak menganjurkan sambutan mengira detik 12 malam di pelbagai lokasi seluruh Malaysia. Masyarakat dari pelbagai bangsa dan agama sama-sama berhimpun dan berkumpul di tempat-tempat terkenal seperti Jalan Bukit Bintang, Jalan Tunku Abdul Rahman, Menara Berkembar Petronas dan sebagainya. Kebanyakan mereka yang hadir ke lokasi tersebut untuk melihat pertunjukan bunga api kerana simbahan cahaya yang bergemerlapan di dada langit itu bukan sahaja menggamit golongan kanak-kanak tetapi juga dari pelbagai usia. Mereka akan mengabadikan gambar pertunjukan bunga api tersebut sebagai kenangan selain teruja mengira detik tibanya tahun baharu secara beramai-ramai dengan penuh kemeriahan. Selain pertunjukan bunga api, turut diadakan persembahan nyanyian dari artis-artis terkenal air sebagai tarikan pengunjung untuk bersama-sama berkumpul pada malam tahun baharu.

Sambutan Tahun Baharu Masihi juga disambut meriah di negara kita kerana dilakukan bagi menandakan telah bermulanya satu tahun yang baru serta menjadi titik pemulaan segala urusan termasuklah perkiraan umur untuk bersekolah dan sebagainya. Tambahan pula, banyak negeri di Malaysia yang memperuntukkan 1 Januari setiap tahun sebagai hari cuti umum. Rakyat Malaysia pula ada yang mengambil cuti panjang bermula dari sambutan Krismas pada 25 Disember turut menambahkan kemeriahan dan kerancakan ketibaan tahun baharu setiap tahun. Bahkan, setiap hujung tahun juga merupakan musim cuti sekolah di negara kita. Jadi, ada dalam kalangan masyarakat yang pulang bercuti ke kampung dan berkumpul bersama keluarga dan saudara mara sambil meraikan ketibaan tahun baharu dengan pelbagai program kekeluargaan.

Terdapat juga individu yang mengambil kesempatan untuk pergi bercuti ke destinasi pelancongan. Antara destinasi pelancongan pilihan bagi meraikan Malam Ambang Tahun Baharu ialah di Pantai Chenang, Langkawi yang bukan sahaja menjadi pilihan pelancong domestik tetapi juga pelancong antarabangsa dari pelbagai negara. Kini, terdapat juga hotel yang menawarkan pakej percutian sambutan tahun baharu di negara kita. Antaranya ialah Lexis Hibiscus Port Dickson yang menawarkan pakej Percutian Malam Tahun Baru tiga hari dua malam. Pakej tersebut bermula pada 30 Disember 2023 sehingga 1 Januari 2024 dengan kemuncak sambutannya ialah Karnival Undur Detik Neon Circus yang eksklusif pada 31 Disember.

Kebelakangan ini, sambutan Tahun Baharu Masihi di negara kita dilihat semakin banyak menerapkan unsur kerohanian dan keislaman terutamanya selepas pandemik COVID-19 melanda negara kita. Acara berbentuk hiburan digantikan dengan solat sunat hajat, zikir, munajat, ceramah, forum dan sebagainya. Pada tahun 2023, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan program Munajat Ambang Tahun Baharu bagi meraikan kedatangan tahun baharu kerana Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 yang sepatutnya diadakan di Dataran Merdeka dibatalkan berikutan bencana banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur. Banyak pihak yang memuji dan berharap agar sambutan tahun baharu diteruskan dengan cara ini yang lebih sesuai dengan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Pada tahun lepas juga, sambutan tahun baru tidak diadakan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang kini ditindas dengan kejam oleh rejim zionis Israel selain menghormati mangsa banjir di beberapa negeri.

Tambahan pula, menurut Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, sebagai umat Islam adalah memadai sekadar mengucapkan Selamat Tahun Baharu tanpa mengikuti sebarang pesta menjurus ke arah maksiat. Bukan itu sahaja, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga telah mengeluarkan nasihat dan pedoman kepada masyarakat Islam yang ingin menyambut Tahun Baharu agar tidak tersasar dari laluan agama. Antaranya ialah (i) menyambut Tahun Baharu dengan asas semata-mata uruf dan adat kebiasaan, bukannya upacara ritual mana-mana agama, (ii) mengelakkan diri menghadiri majlis-majlis sambutan yang mengandungi perkara-perkara yang ditegah oleh syarak seperti hidangan arak, pergaulan bebas lelaki perempuan dan hiburan melampau yang melalaikan, (iii) tidak melakukan apa-apa perkara yang melanggar undang-undang, syariat dan akhlak seorang muslim seperti vandalisme, membuang sampah merata tempat dan seumpamanya, (iv) mengisi malam Tahun Baharu dengan menghadiri program-program yang bermanfaat, bukan hiburan semata-mata dan (v) mengajak diri dan keluarga bersama-sama bermuhasabah akan segala apa yang telah dilalui sepanjang setahun yang lepas dan azam baharu untuk dicapai pada tahun mendatang.

Keterujaan masyarakat Malaysia termasuklah umat Islam dalam menyambut Tahun Baharu saban tahun jika diperhatikan adalah bagi menyaksikan pertunjukan bunga api yang kelihatan berwarna-warni di dada langit dengan pelbagai bentuk. Masyarakat juga mengambil kesempatan untuk berkumpul mengira detik 12 malam secara santai beramai-ramai dengan keluarga di lokasi-lokasi yang diadakan pertunjukan bunga api tersebut. Tambahan pula, kebanyakan negeri di Malaysia mengambil cuti umum pada 1 Januari yang membolehkan mereka bersama-sama meraikannya. Namun, bagi umat Islam, kita perlulah berhati-hati meraikan kedatangan Tahun Baharu berdasarkan landasan syariat dan jangan kerana keghairahan dan keterujaan, segala perintah dan larangan Allah SWT diketepikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.