25 Disember 2024, 08:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jacquelina Karimon berkongsi sisi kegembiraan ketika menyambut perayaan Krismas, terutamanya di Borneo.

Keindahan dekorasi hingga kehangatan kasih sayang keluarga, setiap aspek sambutan ini membawa makna yang mendalam. Di Sabah dan Sarawak, keunikan tradisi tempatan menambahkan lagi warna dalam perayaan ini, menjadikannya sesuatu yang istimewa.

Hari Krismas merupakan satu daripada perayaan yang amat dinantikan oleh penganut agama Kristian di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, sambutan Hari Krismas di Malaysia mencerminkan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama. Di sebalik keindahan dekorasi dan pelbagai aktiviti yang meriah, sambutan ini turut menekankan nilai kasih sayang, kemaafan, dan pengukuhan hubungan kekeluargaan.

Di Malaysia, sambutan Hari Krismas bermula pada malam Natal (Christmas Eve) dan berlanjutan sehingga pagi Hari Krismas. Pada malam Natal, keluarga Kristian akan berkumpul untuk mengadakan upacara doa bersama dan menyanyikan lagu-lagu Natal. Momen ini sering kali menjadi saat untuk mengucapkan selamat Natal sesama ahli keluarga dan memohon kemaafan atas kesilapan yang telah dilakukan sepanjang tahun.

Keluarga membuat acara kunjung – mengunjung antara keluarga sempena sambutan Hari Krismas untuk mengeratkan silaturahim.

Menjelang Hari Krismas, persiapan rumah dilakukan dengan penuh kemeriahan. Rumah dihias dengan lampu berwarna-warni, pokok Krismas yang dihiasi dengan perhiasan yang cantik, dan kain latar bertemakan warna hijau serta merah. Warna-warna ini melambangkan kehidupan dan kebahagiaan, sejajar dengan semangat perayaan sambutan Krismas.

Sabah dan Sarawak, sebagai negeri yang mempunyai populasi Kristian yang besar, menawarkan pengalaman sambutan Krismas yang unik dan menarik. Di kawasan pedalaman Sabah, seperti Nabawan dan Tambunan, sambutan Krismas sering diikuti dengan adat tradisional masyarakat setempat. Pakaian tradisional dipakai semasa upacara keagamaan dan terdapat persembahan tarian tradisional seperti Sumazau.

Di Sarawak, suku kaum seperti Iban dan Bidayuh menjadikan sambutan Krismas sebagai hari untuk berkumpul bersama-sama ahli keluarga besar. Rumah panjang menjadi pusat perayaan, di mana makanan tradisional seperti “manok pansoh” (ayam dimasak dalam buluh) dan kek lapis Sarawak dihidangkan kepada para tetamu. Kehadiran tetamu tanpa mengira agama atau bangsa menonjolkan semangat perpaduan yang kuat dalam kalangan masyarakat setempat.

Manakala di Sabah hidangan, “linopot” (nasi yang dibungkus dengan daun pisang) sering menjadi sebahagian daripada menu, memberikan sentuhan tempatan kepada perayaan global ini.

Hari Krismas juga sering dijadikan sebagai hari keluarga, di mana ahli keluarga dari pelbagai generasi berkumpul untuk meluangkan masa bersama. Aktiviti seperti bertukar-tukar hadiah, bermain permainan tradisional, dan bergambar di hadapan latar khas yang dihias dengan tema Krismas menjadikan perayaan ini lebih bermakna. Hadiah tidak hanya diberikan kepada kanak-kanak, tetapi juga kepada warga emas, mereka menerima barangan keperluan sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang.

Acara bertukar-tukar hadiah yang mengeratkan ikatan kekeluargaan dan masyarakat kampung yang terletak di pedalaman Sabah iaitu Kampung Bahagia, Nabawan.

Sebelum Hari Krismas, pelbagai aktiviti dianjurkan untuk memeriahkan suasana. Pertandingan melukis dan acara sukaneka diadakan untuk kanak-kanak bertujuan untuk berhibur dan memberi peluang kepada mereka menunjukkan bakat. Acara ini juga memberikan peluang kepada komuniti untuk bersama-sama merasai semangat Krismas.

Bagi golongan dewasa, aktiviti seperti pertukaran hadiah atau pertandingan menghias rumah sering diadakan. Ini bukan sahaja meningkatkan semangat Krismas, tetapi juga mengeratkan hubungan antara jiran tetangga dalam kawasan taman atau kampung yang mereka duduki. Penganut Kristian turut mengambil bahagian dalam aktiviti amal yang dianjurkan oleh gereja seperti memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Selain aspek keagamaan, Hari Krismas juga merupakan waktu untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan dan persahabatan. Sambutan ini sering menjadi platform untuk memupuk kasih sayang dan mencipta kenangan indah bersama insan tersayang. Dalam dunia yang semakin sibuk, perayaan ini memberikan peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Hari Krismas di Malaysia bukan sekadar perayaan agama, tetapi juga manifestasi keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Dari keindahan dekorasi hingga kehangatan kasih sayang keluarga, setiap aspek sambutan ini membawa makna yang mendalam. Di Sabah dan Sarawak, keunikan tradisi tempatan menambahkan lagi warna dalam perayaan ini, menjadikannya sesuatu yang istimewa.

Nyanyain lagu-lagu krismas yang dinyanyikan oleh golongan muda menjelang malam natal.

Kepelbagaian hidangan istimewa, aktiviti menarik untuk kanak-kanak dan dewasa, serta nilai kekeluargaan yang diketengahkan, Hari Krismas terus menjadi perayaan yang dinantikan oleh penganut Kristian di Malaysia. Perayaan ini bukan sahaja mencerminkan keindahan kepercayaan mereka tetapi juga semangat muhibah yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.

_________________________

Jacquelina Karimon merupakan seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.