Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMuhammad Firdhaus Zulkifli menulis tentang perkembangan dialek dalam alam bahasa Arab apabila agama Islam dan pengaruhnya sebagai bahasa ilmu yang ulung tersebar mengikut telapak kaki pembawanya, bangsa Arab.
Dialek dalam mana-mana bahasa ialah satu fenomena alami yang mencerminkan kepelbagaian budaya, geografi dan sejarah penuturnya. Dalam konteks bahasa Melayu, dialek seperti Johor dan Singapura mempunyai persamaan yang ketara berbanding Johor dengan Patani, yang penuturannya lebih sukar difahami antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, bahasa Arab menawarkan landskap yang lebih kompleks. Bagaimanakah perbezaan dialek dalam bahasa Arab terbentuk, dan apakah implikasinya terhadap bahasa Arab standard (fusha)? Penulisan ini akan meneroka evolusi dialek Arab melalui faktor sejarah dan geografi serta hubungannya dengan identiti umat Islam.
Dialek Bahasa Arab: Faktor Sejarah
Sejarah awal perkembangan bahasa Arab standard menunjukkan betapa pentingnya elemen i‘rab dalam mengekalkan keaslian dan ketepatan pertuturan. Walau bagaimanapun, pembukaan wilayah baharu oleh kerajaan Islam membawa cabaran yang besar. Bangsa Parsi dan Turki yang terlibat dalam pentadbiran Islam kurang menitikberatkan i‘rab, memandangkan hal itu dianggap sebagai penghalang kelancaran komunikasi. Faktor ini menyumbang kepada kejatuhan bahasa Arab standard, yang dahulunya menjadi simbol kebanggaan bangsa Arab.
Perubahan ini diperhebat dengan kemasukan perkataan asing dalam bahasa Arab. Semasa pemerintahan Islam dikuasai oleh bukan bangsa Arab, bahasa Arab standard mula kehilangan kedudukan utamanya. Walaupun terdapat usaha penulisan untuk mengekalkan status tinggi bahasa Arab, hakikatnya, dialek-dialek tempatan semakin menonjol. Contohnya, percampuran unsur bahasa setempat dengan bahasa Arab di Maghribi dan Andalus menghasilkan dialek unik yang melangkaui bahasa Arab standard.
Dialek Andalus: Antara Keaslian dengan Inovasi
Di Andalus, penyebaran Islam bukan sahaja membawa agama, tetapi juga budaya dan bahasa Arab. Pada peringkat awal, bahasa Arab standard diterima baik oleh penduduk Iberia dan Amazigh. Namun begitu, seperti di wilayah lain, penyesuaian berlaku apabila bahasa Arab mula bercampur dengan bahasa setempat. Ibn Hazm al-Qurtubi, dalam Kitāb al-Iḥkām fī Uṣūl al-Aḥkām merakamkan bagaimana orang awam Andalus mula mengubah perkataan Arab. Contohnya, al-Shajarah berubah menjadi al-Sajarah, dengan Shin (الشين) ditukar kepada Sin (السين).
Faktor utama perubahan ini ialah keperluan untuk menyampaikan maklumat secara mudah, walaupun dengan mengorbankan keaslian bahasa. Revolusi linguistik ini menghasilkan dialek yang unik tetapi tetap mengekalkan ciri-ciri bahasa Arab. Contohnya, karya seperti Amthāl al-‘Awwām fī al-Andalus dan Ḥadāʼiq al-Azāhir merakamkan pelbagai ekspresi dialek Andalus. Karya ini menjadi sumber penting bagi memahami sejarah linguistik kawasan ini.
Cabaran Geografi dan Kepelbagaian Budaya
Kepelbagaian dialek dalam bahasa Arab sering kali berkait rapat dengan faktor geografi dan budaya. Di Maghribi, misalnya, jarak di antara wilayah dan interaksi dengan bahasa asing, seperti Amazigh, menjadikan dialek tempatan sukar difahami oleh penutur dari Timur Tengah. Perbezaan ini mencerminkan bagaimana elemen i‘rab, yang sepatutnya menjaga keutuhan bahasa Arab standard, semakin terpinggir.
Implikasi Sosial dan Identiti Bahasa
Bahasa Arab standard dahulunya menjadi simbol kesatuan umat Islam. Namun begitu, evolusi dialek telah menjadikan bahasa sebagai simbol identiti puak dan budaya setempat. Fenomena ini membawa implikasi besar terhadap integrasi umat Islam pada peringkat global. Bagi mengatasi cabaran ini, perlunya usaha untuk menyelaraskan perbezaan dialek melalui pendidikan dan pengukuhan elemen bahasa Arab standard.
Kesimpulan dan Saranan
Dialek bahasa Arab merupakan manifestasi keunikan sejarah dan budaya umat Islam. Meskipun fenomena ini mencabar keutuhan bahasa Arab standard, dialek juga menjadi bukti adaptasi dan inovasi bahasa. Untuk mengekalkan nilai bahasa Arab standard, pendidikan bahasa perlu diberi perhatian khusus terhadap pengajaran elemen i‘rab. Selain itu, dokumentasi dialek perlu diteruskan untuk memahami sejarah dan keindahan variasi linguistik dalam dunia Arab.
Dengan usaha kolektif, bahasa Arab boleh kekal sebagai simbol kebanggaan umat Islam, tanpa mengabaikan keindahan dan keunikan dialek yang wujud dalam kalangan mereka.
_________________________
Muhammad Firdhaus Zulkifli, seorang pensyarah yang berpengalaman dalam bahasa Arab. Beliau memperoleh ijazah sarjana dalam linguistik dan sastera bahasa Arab dari Universiti Mohamed V, Rabat, Maghribi.