Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJohor Bahru – Malam Gala yang bertemakan konsep “Tingkah Anak Johor” merupakan acara kemuncak dalam Festival Kota Selatan@Festival Kraf Johor 2024 yang menggabungkan elemen kesenian rakyat dan tradisional masyarakat yang sinonim dan terkenal di negeri ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Malam Gala menggarap elemen keunikan seni muzik ghazal dan zapin menjadi satu persembahan beridentitikan negeri Johor.
“Empat segmen telah dipertontonkan dan dimulai dengan segmen “Di Sini Bermula”, “Puisi Kasih Johor”, “Muafakat Johor” serta “Ragam Anak Johor” sebagai satu naratif persembahan,” katanya.
Segmen “Di Sini Bermula” mempersembahkan kesenian muzik ghazal yang menjadi identiti negeri Johor melalui persembahan lagu Mas Merah Aladom, Embun Dirumput dan Air Mata Hati.
Dalam segmen “Puisi Kasih Johor”, penonton diperkenalkan dengan koleksi lagu hasil ciptaan tokoh ghazal di negeri Johor seperti Pak Lomak, Ahmad Jusoh dan Fadzil Ahmad.
Segmen “Muafat Johor” pula merupakan himpunan yang melibatkan persembahan tarian Melayu, Cina dan India yang menggambarkan masyarakat majmuk di negeri Johor, sementara segmen “Ragam Anak Johor” mempersembahkan tarian zapin yang menjadi lambang identiti negeri Johor seperti Zapin Lenga dan Zapin Pekajang.
Persembahan Malam Gala ini juga turut diserikan dengan kehadiran artis popular tanah air, iaitu Siti Nordiana yang menyanyikan lagu berentak ghazal seperti Penawar Rindu dan Umpan Jinak di Air Tenang.
Menurut JKKN, antara kumpulan persembahan yang terlibat dalam menjayakan Malam Gala “Tingkah Anak Johor” termasuklah Kumpulan Ghazal Naura Klasik, Kumpulan Kesenian JKKN Johor, kumpulan persembahan dari Sekolah Kebangsaan Tebrau Bakar Batu, Kumpulan Out Breathe Dance Company (Cina) dan Kumpulan Kebudayaan Citra Seni Vsuryam Johor Bahru (India).
Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN dalam kenyataan sama berkata, “Malam Gala “Tingkah Anak Johor” merupakan acara persembahan yang mengangkat kepelbagaian seni budaya yang menjadi kemegahan di negeri Johor terutamanya melalui persembahan yang melibatkan kumpulan ghazal dan kumpulan pelbagai kaum melalui tarian nyanyian dan muzik yang dipersembahkan.
Tambah beliau, persembahan kesenian ini juga dapat memperkenalkan dan mempromosikan seni budaya negeri Johor dengan mengangkat muzik ghazal dan tarian zapin yang sememangnya menjadi identiti negeri Johor dalam usaha menyemarakkan aktiviti dan budaya di negeri Johor.
Festival Kota Selatan 2024 merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi JKKN Johor, Kraf tangan Negeri Johor, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor dan gandingan rakan strategi NGO Negeri Johor, iaitu Persatuan Ghazal Negeri Johor bermula dari 19 Disember 2024 hingga 30 Disember 2024 bertempat di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall.