20 April 2023, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahang kemeriahan sambutan Aidilfitri di Malaysia semakin terasa menjelang minggu terakhir bulan Ramadan. Suasana sesak bukan hanya terlihat di jalan raya tetapi juga di pusat membeli-belah dan bazar Aidilfitri di seluruh negara. Tambahan pula, masyarakat teruja untuk melakukan persiapan sambutan Aidilfitri setelah dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing.

Selain kemeriahan suasana membeli-belah, deretan dan limpahan cahaya yang menerangi laman rumah masing-masing sama ada daripada pelita buluh atau panjut dan lampu raya yang dipasang turut menandakan kita semakin hampir dengan Aidilfitri. Limpahan cahaya ini juga dikaitkan dengan malam tujuh likur yang merupakan antara tradisi dalam budaya masyarakat Melayu. Namun, tradisi ini semakin dilupakan kerana dikatakan menyimpang daripada akidah dan ajaran Islam.

Tradisi malam tujuh likur ini merupakan tradisi yang dilakukan oleh masyarakat Melayu sejak turun-temurun. Sewaktu zaman tahun 90-an dan sebelumnya, malam tujuh likur disambut meriah oleh orang Melayu terutamanya mereka yang tinggal di kampung. Malam ini merupakan tradisi warisan orang Melayu dan tiada dalam budaya Islam. 10 hari terakhir bulan Ramadan merupakan antara tempoh yang sangat istimewa bagi orang Islam kerana pada tempoh masa inilah bakal munculnya satu malam yang nilainya sama seperti seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar.

Malam ini menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda bagi mereka yang beribadah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, di dalamnya terdapat malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam tersebut sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara tersebut kecuali orang-orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Tujuh likur membawa maksud malam yang ke-27 dalam bulan Ramadan. Malam tujuh likur merupakan tradisi wajib pada suatu masa dahulu dalam tradisi orang Melayu di penghujung bulan Ramadan. Bahkan, likur itu sendiri dikatakan membawa maksud antara malam 20 hingga malam 30 Ramadan. Malam tujuh likur turut merujuk kepada tradisi memasang pelita atau panjut.

Di Sarawak, tradisi memasang pelita buluh menjelang minggu akhir Ramadan ini dipanggil sebagai “bertuntung” dan amalan ini juga merupakan antara tradisi masyarakat Mesir. Di Mesir, masyarakat memasang lantera atau lampu yang dipanggil “fanoos” yang menerangi jalan-jalan di negara itu bermula dari hari pertama dalam bulan Ramadan lagi. Menurut Nurul Husna Mahmud dalam penulisannya yang bertajuk Sambut Malam Tujuh Likur, adat itu masih berlangsung sehingga hari ini apabila setiap pemilik rumah mahupun kejiranan di negara Tebing Barat itu akan mengutip duit bagi membeli lampu berkenaan pada setiap tahun yang mempunyai pelbagai bentuk serta warna.

Terdapat pelbagai pendapat dan cerita tentang permulaan tradisi tersebut di Mesir. Antara yang paling popular berkaitan tradisi tersebut ialah mengenai Khalifah Empayar Fatimiyah, Al Hakim Bi-Amr Illah yang mengarahkan semua sheikh masjid menggantung lilin bagi menerangi jalan-jalan di Kaherah sewaktu tibanya bulan Ramadan.

Bermula 10 malam terakhir Ramadan, terutamanya dua atau tiga hari sebelum menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, orang Melayu akan mula memasang pelbagai pelita atau panjut bagi menerangi halaman rumah dan jalan. Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Yusmilayati Yunos menyatakan bahawa perbuatan memasang pelita pada malam tujuh likur di jalan-jalan menuju ke masjid adalah untuk menerangi laluan jalan bagi kemudahan penduduk kampung pada masa dahulu.

Pada masa dahulu, di kampung-kampung masih belum mempunyai lampu jalan raya seperti sekarang dan keadaannya gelap gelita. Terdapat pelbagai jenis pelita atau panjut yang digunakan oleh orang Melayu pada masa dahulu. Antaranya termasuklah pelita minyak tanah yang diperbuat daripada tin yang tahan lama kegunaannya, pelita minyak tanah yang diperbuat daripada buluh dan pelita minyak tanah daripada plastik yang beraneka warna di pasaran.

Seiring dengan perubahan zaman yang semakin canggih, pelita elektrik yang dijana oleh tenaga bateri boleh mengecas semula atau tenaga solar menjadi pilihan masyarakat terutamanya bagi masyarakat yang tinggal di kawasan bandar. Pelita-pelita tersebut akan disusun secara kreatif pada buluh dan tiang untuk menerangi halaman rumah atau lokasi tanah lapang. Di samping itu, masyarakat kini turut menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED) untuk menerangi halaman rumah masing-masing pada malam-malam penghujung Ramadan.

Hakikatnya, suasana malam penghujung Ramadan yang dilimpahi cahaya sangat cantik dan menambahkan kemeriahan sambutan Aidilfitri walaupun menggunakan apa-apa jenis pelita. Suasana tersebut juga membangkitkan lagi semangat untuk menyambut hari raya kepada masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak yang teruja dengan susunan pelita yang cantik dan kreatif.

Terdapat juga sesetengah kawasan yang masyarakatnya membina pelbagai jenis replika gergasi seperti berbentuk masjid dan ketupat dengan tulisan selamat hari raya sebagai latar belakangnya serta diterangi pelita panjut. Selain itu, ada sesetengah kampung juga menghiasi pintu gerbang kampung masing-masing dengan susunan cahaya pelita bagi menambah kemeriahan pada penghujung bulan Ramadan.

Dalam usaha mengembalikan tradisi memasang pelita, kerajaan negeri Terengganu mengambil inisiatif menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menganjurkan Pelita Raya Beautiful Terengganu bertempat di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang merupakan tahun kedua penganjurannya pada tahun 2022. Tujuannya adalah untuk mengembalikan nostalgia dan cara hidup generasi terdahulu dan bukannya mencontohi kepercayaan agama lain.

Sepanjang program, para pengunjung berpeluang melihat pelbagai hiasan pelita raya yang mengindahkan rumah-rumah tradisional di perkampungan tersebut seperti jambatan ikonik Tasik Kenyir, rumah bot, wau dan lain-lain lagi. Penganjurannya bukan sahaja menonjolkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan Ramadan, bahkan turut mempromosikan Kampung Budaya Terengganu sebagai salah satu destinasi dan produk pelancongan negeri tersebut.

Tradisi malam tujuh likur merupakan warisan generasi terdahulu yang perlu diteruskan walaupun tidak dinyatakan dalam Islam. Amalan ini juga sebenarnya secara tidak langsung mampu merapatkan silaturahim antara masyarakat ketika bersama-sama melakukan aktiviti tersebut. Amalan ini tiada salahnya, namun jika diniatkan dengan iktikad tertentu seperti untuk menjemput malaikat masuk ke rumah, maka hal tersebut tidak dibenarkan kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

Di samping itu, amalan ini sebenarnya boleh dilakukan dan tidak menjadi sebab dan penghalang kepada umat Islam untuk meninggalkan amal ibadat kerana di penghujung hari-hari terakhir Ramadan, kita seharusnya lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah SWT. Malam tujuh likur merupakan antara tradisi unik dalam bulan Ramadan bagi masyarakat Malaysia yang dilihat mampu menjadi antara produk pelancongan untuk menarik para pelancong berkunjung ke negara kita selain menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.