Oleh Lily Joo
16 Mac 2023, 19:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sibu – Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBP Sarawak) telah mengadakan pertemuan dan perbincangan bahan penerbitan dengan Persatuan Melanau Sibu. Perbincangan tersebut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Melanau Sibu, iaitu Tuan Haji Abdul Karim Keparawi, Puan Rabiah Bohari, Tuan Haji Siri Narudin, Puan Saidatul Faiqah Samasu dan Puan Lily Joo daripada Unit Penerbitan DBP Cawangan Sarawak.

Pengerusi Persatuan Melanau Sibu, Tuan Haji Abdul Karim Keparawi (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Puan Saidatul Faiqah Samasu selaku wakil DBP Sarawak.

Persatuan Melanau Sibu merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan khusus untuk masyarakat Melanau yang menetap di Sibu. Persatuan ini ditubuhkan bertujuan untuk memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam kalangan kaum Melanau di Sibu dan mempromosikan budaya serta adat istiadat kaum Melanau kepada masyarakat tempatan.

Perbincangan yang berlangsung selama hampir dua jam itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan menjalinkan jaringan kerjasama dalam penerbitan kearifan tempatan kaum Melanau, terutamanya dalam pelbagai aspek tradisi yang mula diancam kepupusan.

Perbincangan ini membuka ruang kepada Persatuan Melanau Sibu untuk meneruskan usaha memperkasakan keunggulan sesebuah kearifan tempatan yang dimiliki oleh kaum itu. Objektif perbincangan ini adalah untuk menggiatkan penerbitan serta penyebaran buku-buku umum dan ilmiah dalam bidang kearifan tempatan, khusus untuk kaum Melanau di Sarawak.

Menerusi perbincangan ini, banyak maklumat yang menarik berkaitan kearifan tempatan kaum Melanau telah diutarakan, bahkan kebanyakannya adalah unsur-unsur tradisi yang belum pernah diketengahkan sama ada dalam bentuk visual mahupun dokumentasi. Antaranya ialah makanan tradisional kaum Melanau yang unik dan khusus berdasarkan majlis tertentu, adat istiadat perkahwinan, permainan tradisional, pantang larang dan perubatan tradisional.

Kearifan tempatan ditakrifkan sebagai kefahaman, kemahiran dan falsafah yang dikembangkan oleh komuniti yang mempunyai sejarah panjang menerusi interaksi dengan persekitaran semula jadi mereka sebagai sesuatu yang unik dan khas yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat atau kumpulan tertentu pada sesebuah kawasan. Kearifan tempatan merupakan bentuk pemikiran yang tinggi, mendalam serta kreatif terhadap sesuatu amalan dan praktikal yang berlaku dalam masyarakat yang mengandungi nilai-nilai tersirat dan tersurat.

Bagi memastikan hasrat penerbitan ini direalisasikan, pihak DBP Sarawak dan Persatuan Melanau Sibu telah merancang untuk mengadakan Bengkel Perolehan Manuskrip bersama-sama ahli persatuan untuk memberi bimbingan dan panduan khusus dalam penulisan manuskrip.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.