Oleh Jamil Hashim
10 April 2024, 10:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan tanda merayakan kemenangan umat Islam yang berjaya melawan hawa nafsu serta segala hal yang dapat membatalkan ibadah berpuasa.

Yang paling jelas kelihatan ketika sambutan hari raya ialah kepelbagaian juadah tradisi yang dinikmati bersama-sama ahli keluarga, teman, jiran dan tetamu yang bertandang pada hari lebaran yang mulia.

Sememangnya menjadi tradisi bagi masyarakat Melayu,  antara juadah istimewa  yang disajikan termasuklah ketupat, lemang bersama-sama rendang dan serondeng serta aneka jenis kuih-muih tradisional dan moden.

Sambutan hari raya bermula pada sebelah malam 1 Syawal dengan kendengaran suara syahdu takbir beramai-ramai berkumandang yang turut disiarkan melalui siaran radio dan televisyen.  Hal ini diikuti dengan acara keesokan paginya solat sunat Aidilfitri secara berjemaah serta mendengar khutbah raya.

Tradisi murni yang dilihat penting dalam masyarakat Islam dan budaya Melayu yang masih kekal hingga sekarang ialah sesi bersama-sama ahli keluarga menghulurkan tangan bersalam-salaman menzahirkan kemaafan bagi  melupakan segala perselisihan yang lalu, serta setiap diri berazam untuk memulakan hidup baharu.

Tradisi memohon maaf ini secara jelas menampakkan kepentingan ukhwah dan keakraban dalam hubungan yang sememangnya dianjurkan oleh Islam. Lebih bermakna lagi apabila pertemuan pada hari lebaran yang mulia ini dapat bertemu dengan ahli keluarga dan rakan  sepermainan yang lama terpisah dan  baru dapat pulang dari perantauan.

Tradisi yang dinanti-nantikan, terutamanya oleh anak-anak, ialah acara memberi duit raya kepada mereka. Tradisi ini menampakkan rasa gembira dan ceria bagi si penerima, manakala si pemberi duit raya menzahirkan rasa syukur sesuai dengan  kepentingan bersedekah yang digalakkan oleh agama.

Bagi golongan dewasa, terutamanya yang sudah berusia, pasti dapat mengimbau kembali pengalaman beraya di desa ketika kecil. Yang tidak dapat dilupakan ialah pengalaman bersama-sama rakan menziarahi setiap rumah yang ada dalam kampung dari pagi hingga ke petang. Hal yang lebih menyeronokkan ialah apabila dapat mengumpul duit raya.

Ketika era tahun 1970-an dan 1980-an dahulu, pemberian duit raya pada kebiasaannya hanya berjumlah 10 atau 20 sen. Walaupun begitu, hal ini sudah cukup menimbulkan rasa seronok bagi anak-anak kerana wang yang diterima akan dikumpulkan untuk  membeli ais krim, minuman, makanan dan  permainan. Hal ini membuktikan bahawa sifat bersyukur amat penting dan perlu dididik kepada anak-anak sejak kecil.

Sampul duit raya yang beraneka warna.

Kini, dengan kemampuan pemberi yang kian meningkat dan kejatuhan nilai mata wang pada hari ini, jumlah yang diberikan semakin bertambah daripada wang syiling bernilai 10 atau 20 sen kepada wang kertas bernilai seringgit hingga sepuluh ringgit, malah ada juga yang memberi duit raya lebih daripada itu.

Jika dahulu duit raya berupa wang syiling itu diberikan begitu sahaja kepada anak-anak, tetapi kini duit raya diletakkan dalam sampul beraneka warna sehingga terciptanya kepelbagaian sampul duit raya. Dalam hal ini, lebih banyak sampul yang diterima oleh kanak-kanak, maka bermakna banyaklah duit raya yang diterima,  dan sudah tentunya menambahkan lagi keceriaan mereka ketika beraya.

Lebih daripada itu, pemberian duit raya turut diperluaskan meliputi pemberian kepada kenalan sesama usia atau yang lebih tua. Hal ini secara tidak langsung menyerlahkan tanda ingatan dan rasa hormat generasi muda kepada generasi yang lebih berusia. Hal ini sudah tentunya dapat mengurangkan beban mereka, terutamanya warga emas yang tidak lagi mampu untuk bekerja dan memperoleh pendapatan.

Para perantau yang pulang ke kampung bukan sahaja membawa sampul berisi duit raya untuk anak-anak kecil, tetapi turut menyediakan sampul dengan nilai wang tertentu untuk diberikan kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih berusia sebagai satu daripada cara untuk menyantuni mereka.

Pemberian duit raya kepada golongan yang lebih dewasa.

Hal ini bermakna pemberian duit raya bukan sahaja terhad kepada ibu bapa, tetapi juga kepada ahli keluarga dan jiran tetangga, terutama warga emas yang terlantar uzur.  Bagi mereka, kunjungan ini menandakan diri mereka masih diingati, ditambah pula dengan pemberian sampul duit raya walaupun pemberian itu tidaklah  mereka harapkan.

Pemberian duit raya ini juga dijadikan sebagai aktiviti tambahan ketika majlis rumah terbuka hari raya anjuran para pemimpin bersama-sama rakyat. Pengunjung yang datang bukan sahaja dapat menikmati aneka juadah, tetapi pulang dengan ceria setelah mendapat duit raya.

Selain itu, golongan yang kurang berkemampuan yang menjadi penghuni di rumah Kebajikan dan rumah anak-anak yatim juga pada kebiasaannya diberikan duit raya. Hal ini bertujuan untuk mengembirakan mereka ketika sambutan hari raya.

Pemberian duit raya juga diaplikasikan oleh pelbagai organisasi, termasuklah kerajaan, yang memberikan duit raya dalam bentuk bantuan khas hari perayaan kepada para penjawat awam dan pesara. Pemberian bantuan kewangan khas ini merupakan sesuatu yang baik dan dapat membantu para penjawat awam dan pesara, terutamanya untuk membuat persiapan untuk menyambut hari raya yang memerlukan perbelanjaan lebih tinggi daripada kebiasaan.

Selain dapat meringankan beban, mereka yang menerima bantuan kewangan ini  merasakan diri dihargai oleh pihak majikan atas sumbangan selama ini. Selain merapatkan hubungan dengan organisasi dan pihak pengurusan, pemberian ini juga dapat menyuntik semangat mereka untuk berkhidmat secara lebih dedikasi.

Semangat ini merupakan sesuatu yang baik kerana dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan perolehan hasil bagi kerajaan, organisasi atau syarikat, seterusnya memberikan impak positif kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.