Oleh Aminudin Mansor
31 Mac 2024, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Muhamad Nazri Tahir

Masyarakat Melayu sangat kaya dengan unsur seni dan budaya yang merangkumi adat dan gaya hidup yang diamalkan sejak turun-temurun. Budaya yang baik akan menjadi warisan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Bergendang dan bersilat dalam majlis perkahwinan merupakan unsur budaya yang menjadi identiti masyarakat Melayu di Pahang.

Drs. Sidi Gazalba dalam bukunya berjudul Batas Kebudayaan dan Agama menyatakan bahawa kebudayaan ialah ciptaan manusia. Maka dapatlah kita menyimpulkan bahawa manusialah yang berkebudayaan. Kebudayaan merangkumi cara berfikir atau manifestasi dalam kehidupan manusia dalam suatu ruang dan waktu.

Menurut Haji Buyong Adil dalam Sejarah Pahang, ketika Hang Tuah datang ke Pahang sebagai wakil Sultan Mansor Shah untuk meminang Tun Teja, Hang Tuah telah mengajarkan silat kepada pemuda di Pekan, Pahang. Anak-anak muda ketika itu sempat belajar silat dengan Hang Tuah yang disaksikan oleh Tun Teja.

Menurut kajian dan pandangan pengkaji sejarah dan budaya Pahang pula, Nazeri Nong Samah, adat dan budaya perkahwinan di Pahang sejak zaman-berzaman memang tidak dapat dipisahkan dengan pencak silat sebagai penyeri majlis di hadapan pengantin yang dikelilingi oleh tetamu yang hadir.

Lazimnya terdapat beberapa pasangan pendekar yang rancak berpencak silat di hadapan pengantin sebagai satu bentuk persembahan dengan iringan muzik tradisional gendang silat. Persembahan tersebut juga dikenali sebagai silat persembahan buah dan bunga oleh dua orang pesilat. Manakala bagi kumpulan yang terdiri daripada lima orang hingga tujuh orang dipanggil belebat.

Sebelum melangkah lebih jauh dalam memperkatakan dua perkara berkenaan, iaitu budaya perkahwinan dan persembahan seni silat dalam majlis perkahwinan, eloklah kupasan ini dipecahkan kepada dua bentuk cerita.

Sejarah dan kajian yang pertama ialah cerita tentang budaya perkahwinan di Pahang terutamanya di kawasan perkampungan tradisional yang masih mengekalkan nilai tradisi, berbanding dengan kawasan kampung di pinggir bandar dan di bandar yang sudah diresapi oleh budaya moden seperti di negeri-negeri lain.

Budaya perkahwinan di kampung tradisional di Pahang yang masih diamalkan adalah bermula dengan acara merisik oleh keluarga lelaki, sebagai pengesahan suka atau tidak dan jika suka, maka diteruskan kepada kata sepakat untuk menentukan tarikh pertunangan, tempoh pertunangan, jumlah wang hantaran dan sebagainya termasuklah kenduri kecil pertunangan di rumah pihak perempuan.

Pada zaman dahulu, majlis pertunangan masyarakat kampung di Pahang memadai dengan menghantar cincin tanda dan tiada upacara menyarung cincin ke jari manis tunang perempuan. Namun begitu, hasil pengaruh budaya moden, upacara menyarung cincin itu kini mula dipraktikkan oleh masyarakat kampung.

Seminggu sebelum hari kenduri perkahwinan, penduduk kampung mula bergotong-royong membina “ruang sambung rumah bertiang” yang dilengkapi atap. Penduduk kampung di pinggir Sungai Pahang, di daerah Jerantut memanggil aktiviti tersebut sebagai membuat “rembat” yang bertujuan untuk menambah ruang tempat duduk tetamu serta tempat mengisi nasi dan gulai dalam kawah.

“Rembat” atau dipanggil juga “penanggah” bertiangkan kayu yang diperoleh dari hutan, beratapkan daun atau zink, manakala lantainya menggunakan batang bulat pokok tepus sebesar ibu jari kaki individu dewasa atau bilah buluh aur hijau yang dibelah empat, kemudian disusun dan dijalin kemas menggunakan rotan beraut belah empat.

Di bawahnya dibina sabak, iaitu tempat memasak yang dibuat lubang bertungku tiga. Lubang tersebut berperanan untuk mengeluarkan asap daripada api di bawah kawah. Kawah ini bersaiz besar dengan kayu pengacau umbut kabung atau umbut nyiur serta kari daging dan ayam yang dimasak.

Majlis berinai jari biasanya diadakan sehari sebelum kenduri menggunakan daun inai yang ditumbuk halus dan dicampurkan sedikit air asam jawa atau air asam gelugur supaya nampak lebih merah. Majlis berinai jari dilakukan di rumah masing-masing bagi kedua-dua bakal pengantin baharu yang kian berdebar-debar menunggu saat bahagia mereka.

Sesekali bagi memeriahkan suasana kenduri, maka turut diadakan majlis pra persandingan pada waktu malam selepas majlis akad nikah di rumah pengantin perempuan. Turut diadakan ialah upacara membatalkan air sembahyang, iaitu pengantin lelaki menyarungkan cincin ke jari manis pengantin perempuan.

Pada keesokan harinya, pengantin lelaki yang segak berpakaian songket, bersamping, bertanjak serta berselit keris di pinggang bagaikan raja, berpayung khas diarak meriah dengan bunga manggar ke rumah pengantin perempuan sambil diiringi paluan gendang rebana dan selawat nabi. Pengantin lelaki berhenti sebentar di pintu pagar ketika seorang penduduk kampung ditugaskan untuk melepaskan satu das tembakan peluru penabur senapang patah ke langit. Selepas tembakan, pengantin lelaki diarak sehingga menaiki pelamin dan duduk di sisi pengantin perempuan.

Kemudian, juruacara mempersilakan beberapa pasangan pendekar untuk mempersembahkan pencak silat tanpa senjata bagi memeriahkan majlis persandingan

Terdapat tiga jenis silat yang kerap dipersembahkan di hadapan pengantin di Pahang, iaitu Silat Sendeng Gunung Sakti yang dipopularkan oleh guru silat terkenal dari Kerdau, Cikgu Jantan atau nama sebenarnya Mat Husin. Beliau ialah anak pahlawan Datuk Bahaman. Silat Cikgu Jantan telah berkembang seawal tahun 1900 di Pahang. Sementara itu, dua lagi silat tersebut ialah Silat Tapak Setia Suci peninggalan pahlawan Mat Kilau dan silat pulut.

Silat merupakan seni mempertahankan diri warisan Melayu yang masih kekal utuh bukan sahaja pada zahirnya malah kepada jiwa orang-orang Melayu. Namun, dari manakah asal usul seni silat ini?

Sebelum “lahirnya” Malaysia, Indonesia dan negara-negara lain, rantau ini telah dikenali sebagai Nusantara. Tali persaudaraan antara orang-orang Melayu di Nusantara sentiasa bertaut erat. Oleh itu, orang-orang Melayu bebas untuk berhijrah ke mana-mana kawasan di Nusantara.  Namun begitu, penjajahan oleh kuasa-kuasa besar telah memecahbelahkan Nusantara.

Siapakah yang tidak kenal Laksamana Hang Tuah dan pahlawan lima bersaudara? Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, pahlawan-pahlawan ini bukan sahaja terkenal di Nusantara malah di seantero dunia. Maka, apakah seni mempertahankan diri atau seni bela diri yang dibawa oleh pahlawan-pahlawan ini? Jawapannya ialah silat.

Perkembangan silat di Pahang juga tidak kurang hebatnya seperti pahlawan lima bersaudara. Silat di Pahang bukan sahaja berasal daripada pahlawan kelahiran Pahang,  malah ada antaranya dibawa oleh ulama dan pendakwah Nusantara serta para pedagang yang singgah berdagang di negeri Pahang. Oleh hal yang demikian, lahirlah silat Minang, silat Jawa, silat Bugis dan lain-lain.

Nama-nama seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau sentiasa meniti di bibir masyarakat di Pahang.  Penentangan mereka terhadap penjajah sentiasa diingati oleh rakyat Pahang. Pengorbanan mereka demi menegakkan agama Islam dan mempertahankan kedaulatan institusi diraja perlu sentiasa dikenang dan dihargai.

Terdapat beberapa jenis silat di Pahang, antaranya termasuklah Silat Cikgu Jantan, Silat Gayung Patani, Silat Gayung Gaya 9, Silat Cikalong Cempaka Putih, Silat Sendeng Gunung Sakti dan Seni Pencak Silat Sangkar Rewana yang masih aktif dan mempunyai pasukan gendang.

Tidak indah dan tidak berseri silat tanpa gendangnya.  Jika dahulu gendang lebih banyak digunakan dalam adat istiadat istana dan peperangan, kini gendang telah dijadikan penyeri dan pengiring kepada persembahan silat. Majlis-majlis seperti istiadat diraja, perkahwinan atau majlis kerajaan sentiasa berseri dengan kehadiran gendang dan persembahan seni silat.

Terdapat pelbagai jenis irama gendang silat. Ada yang berasal dari hulu dan ada yang dari hilir Sungai Pahang. Maka lahirlah pelbagai kumpulan gendang yang kebanyakan ahlinya ialah pesilat daripada sesebuah pertubuhan silat. Mereka telah dilatih bersama-sama untuk mengiringi persembahan silat pertubuhan masing-masing.

Sebagai daya penarik persembahan silat, dua pukulan gendang dan satu gong atau tetawak menjadi muzik iringan yang melibatkan dua orang pemukul gendang anak dan gendang ibu. Inilah hiburan masyarakat tradisional yang masih diamalkan di kampung-kampung tradisional di Pahang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.