Oleh Aminudin Mansor
9 April 2024, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menjelang bulan Syawal, amalan menghias rumah sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat di kampung dan kota. Selain hiasan dalaman seperti langsir baharu, kawasan persekitaran rumah juga dihiasi dengan pelbagai aksesori lampu, termasuklah pelita panjut, yang menerangi kawasan rumah.

Hari Raya Aidilfitri disambut dengan kegembiraan sebagai tanda kemenangan setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan. Rasa kegembiraan dan kemenangan ini juga diterjemahkan dalam budaya kehidupan masyarakat Melayu dengan menghiasi rumah menjadi amalan yang berterusan.

Antaranya termasuklah memasang pelita panjut yang diperbuat daripada bulu bersumbukan kain buruk dan diletakkan minyak tanah bagi menghidupkan sumbu tersebut. Pelita warisan ini dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan yang ada di sekitar kawasan kampung, seperti buluh, yang senang didapati.

Buluh juga digunakan untuk membuat lemang menjelang Hari Raya Aidilfitri, iaitu buluh telur yang lebih nipis dan ringan. Manakan bagi menghasilkan pelita panjut, pada kebiasaannya menggunakan buluh yang lebih keras dan mudah ditebuk lubangnya bagi mengisi minyak tanah dan melekatkan sumbu pelita.

Tradisi dan budaya menyalakan pelita panjut telah wujud sejak dahulu, dan kini diamalkan oleh penduduk di pinggir bandar. Pelita panjut yang lebih moden kini mudah didapati di pasar raya.

Pelita panjut bukan sekadar untuk menerangi malam yang gelap, tetapi juga “menghiasi”   Lailatul Qadar yang berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Selain itu, pelita panjut turut menghiasi “malam tujuh likur”, iaitu 10 malam terakhir bulan Ramadan yang penuh berkat dan dimakbulkan doa.

Di kampung, pelita panjut dinyalakan bagi memudahkan orang kampung pergi ke masjid untuk melaksanakan solat Tarawih yang menerangi jalan yang gelap dengan adanya cahaya lampu ini. Hal ini dikatakan demikian kerana pada zaman dahulu, kebanyakan kampung tiada kemudahan bekalan elektrik, dan pelita panjut dijadikan sebagai lampu jalan.

Nama pelita panjut diberikan berdasarkan panjut yang diperbuat sumbu daripada pelita tersebut. Maksud “panjut” dalam Kamus Dewan Perdana ialah suluh daripada damar berbungkus daun. Panjut digunakan untuk menyuluh jalan bagi memudahkan perjalanan dalam suasana gelap.

Deretan pelita panjut yang diletakkan dan dinyalakan di sekeliling rumah dan sepanjang jalan menyaksikan keindahan malam raya hingga subuh. Yang paling meriah apabila kedengaran riuh rendah kanak-kanak berlari-lari keriangan sambil bermain di sekeliling pelita panjut, dan sesekali kedengaran letupan mercun.

Pada zaman dahulu, orang Melayu sekitar tahun 1800-an memasang pelita panjut mengikut bentuk “obor”. Pelita tersebut diperbuat daripada damar kayu hutan bercampur dengan serbuk kering kayu reput, serta dibungkus dengan ikatan memanjang bersama-sama upih pinang seperti batang buluh lemang, selain menggunakan bahan bakar daripada sekerap getah asli kering.

Tatkala Tanah Melayu mengalami evolusi pemodenan pada era 1900-an, peranan pelita berbentuk “obor” bertukar kepada pelita zink berisi minyak tanah dan bersumbukan tali guni atau perca kain kapas untuk dicucuhkan dengan api.

Selain memasang pelita panjut kecil di sekitar rumah, terdapat juga inisiatif penduduk yang kreatif menyusun rapi pelita panjut pada bahagian pintu gerbang atau astaka besar, sekali gus kelihatan begitu indah apabila pelita dinyalakan dengan api pada waktu malam.

Secara lazimnya, penduduk di Kuala Kangsar, Perak dan beberapa tempat di  Terengganu  dilihat gemar membina gerbang dan astaka besar dengan pelita panjut mengikut kearifan tempatan dan kreativiti masing-masing. Hal ini bertujuan untuk menghidupkan amalan tradisional, serta memeriahkan malam tujuh likur pada bulan Ramadan hingga Syawal menjelma.

Pelita panjut boleh dibeli di kedai atau secara dalam talian.

Jika dahulu pelita panjut dijadikan sebagai hiasan utama bagi binaan tersebut, tetapi kini kebanyakan tempat telah bertukar kepada penggunaan lampu elektrik berwarna-warni. Hal ini disebabkan oleh pelita panjut tradisional mudah terpadam apinya apabila ditiup angin atau terkena hujan lebat.

Bagi yang mahu terus mengekalkan pemasangan pelita panjut tradisional tetapi “malas” untuk membuatnya sendiri dengan menggunakan pelita sumbu dan diletakkan minyak tanah dalam susunan lubang pada batang ruas buluh, mereka boleh membeli set pelita panjut yang banyak dijual di kedai mahupun dibeli secara dalam talian sahaja.

Aktiviti memasang pelita panjut sebenarnya dapat mengeratkan silaturahim, mengekalkan budaya tradisi, serta memperoleh sumber pendapatan bagi sesetengah individu. Pelita panjut menjadi hasil kraf tangan yang kreatif yang dapat dipasarkan. Hal ini secara tidak langsung dapat mengekalkan budaya dan amalan tradisi untuk dinikmati oleh generasi kemudian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.