Oleh Izzuddin Ramli
27 Mac 2024, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam perbualan antara Daryl Goh dengan Seir Rashid, Hafiz Hamzah mengajukan satu pertanyaan umum: kenapa kita masih tidak memiliki sebuah penerbitan yang menghimpunkan tulisan-tulisan jurnalisme muzik di Malaysia? Dia mengacungkan sebuah buku kecil terbitan Gramedia, Indonesia dengan judul Jurnalisme Musik dan Selingkar Wilayahnya. Penayangan buku tersebut merupakan satu tindakan simbolik bagi Hafiz. Dia mengusulkan bahawa “kita bukannya tiada jurnalisme muzik, tetapi tiada satu buku yang mengisytiharkan bahawa ‘inilah antara penulisan tentang muzik di Malaysia yang sebenar-benarnya!’”

Kita barangkali boleh menafsirkan usul tersebut sebagai satu penegasan bahawa “Ada tulisan tentang muzik yang rendah kualitinya, dan ada (tetapi jarang-jarang) tulisan tentang muzik yang tinggi makamnya, sehingga layak dianggap sebagai jurnalisme.”

Hafiz merungut bahawa kebanyakan tulisan yang ada, berbentuk semacam pelaporan, cetek, penuh dengan bau umpatan, dan tidak segan-silu berselindung di sebalik topeng jurnalisme.

Puncanya ada di bilik berita, kata Daryl, wartawan akhbar The Star. Setidak-tidaknya pada tahun 1995, sewaktu dia pertama kali duduk di meja hiburan, kewartawanan lewat surat khabar dan TV masih menjadi sumber maklumat utama di Malaysia. Bilik-bilik berita yang tidak sengit persaingannya pada waktu itu memiliki kuasa yang relatif besar untuk menentukan naratif dan selera pembaca. Oleh sebab itu bahan-bahan bacaan tentang dunia hiburan, khususnya muzik di negara ini dilimpahi dengan ulasan dan iklan muzik-muzik arus perdana yang umumnya dari Barat. Sidang pengarang lebih berminat untuk mengisi halaman hiburan yang sedia terhad itu dengan cerita-cerita sensasi dan tidak mendalam.

“Penyunting saya lebih gilakan rock klasik, berbanding genre-genre lain,” kata Daryl. Akibatnya, cerita tentang penyanyi dan kumpulan muzik yang belum masuk carta terpaksa tawar-menawar dan berhimpit untuk mendapatkan ruangan. Masalahnya tidak habis di situ; para wartawan muzik dan hiburan juga diajarkan dengan pertanyaan-pertanyaan piawai yang hanya cukup untuk menghidangkan cerita dalam kurang daripada 1,000 patah perkataan. “Penyakit” itulah yang bagi Hafiz Hamzah masih ditanggung oleh jurnalisme Malaysia sehingga ke hari ini.

Namun begitu, kerana pelbagai halangan merintangi jalan, para wartawan muda yang pada awal usia 20-an akhirnya mencari wadah lain semisal zine, fanzine dan majalah untuk memberikan suatu kelainan dalam penulisan tentang dunia muzik tempatan dan antarabangsa yang lebih rencam sifatnya. Pada waktu itu, majalah-majalah muzik antarabangsa seperti Rolling Stone, Vox, Kerrang!, Mojo, dan pelbagai lagi sudah dapat dibeli, biarpun terhad, di kedai-kedai buku dan muzik tempatan. Malah, di “bawah tanah”, sudah wujud interaksi antara penulis, pendengar dan penggiat muzik tempatan dengan yang antarabangsa. Pertemuan-pertemuan ini terjadi lewat surat, risalah, mahupun zine yang umumnya memuatkan pelbagai wawancara, ulasan dan rencana tentang muzik-muzik punk bawah tanah. Kita tahu bahawa antara zine bikinan sendiri terawal—yang lahir sekitar tahun 1987—ialah Aedes, kelolaan Joe Kid, penulis dan pemain gitar kumpulan muzik punk, Carburetor Dung.

Sekalipun ruang untuk menulis sudah dibebaskan, dan ramai yang mengambil jejak langkah Joe Kid dengan menerbitkan zine dan fanzine mereka sendiri untuk satu dekad ke hadapan, tidak ramai daripada penulis dan wartawan bebas yang muncul ini mampu menghasilkan tulisan yang benar-benar bermutu. Seperti kata Seir Rasyid, “Biarpun sudah berpeluang untuk mewawancara band-band besar antarabangsa, para wartawan kita masih takut-takut dan tidak berkemampuan untuk mengajukan soalan-soalan yang lebih tajam dan kritikal.”

Akan tetapi, jurnalisme di negara ini tidak pernah terhutang budi dengan muzik, sehingga perlu bertungkus-lumus menghasilkan tulisan-tulisan yang mampu meningkatkan mutu muzik tempatan. Industri muzik negara tetap sahaja berkembang walaupun hanya dengan jurnalisme murahan yang lebih mengendahkan rupa paras dan hal ehwal kelamin penyanyi dan penggiat muzik.

Para penyanyi tetap menghasilkan album, para peminat tetap mendengar dan mengirimkan tohmahan dan pujian mereka secara terbuka di majalah-majalah hiburan, dan kumpulan-kumpulan muzik tetap sahaja bubar jika sudah sampai ajalnya. Bagi Hafiz, jurnalisme muzik sesungguhnya ialah suatu jurnalisme yang berminat untuk mengambil tahu proses pengkaryaan seseorang penyanyi ataupun sesebuah kumpulan muzik, dan baginya, jurnalisme sedemikianlah yang langka di sini. Kayu ukur Hafiz setidak-tidaknya ialah apa-apa yang dibacanya di Rolling Stone atau majalah-majalah muzik dari negara jiran.

Permintaan itu tidak berlebihan. Hafiz menuntut supaya tumpuan diberikan kepada perkara-perkara yang baginya lebih dekat dan menjurus ke arah terlahirnya sesebuah karya muzik. Dengan kata lain, penulis dan wartawan boleh sahaja melihat jauh di sebalik apa yang dapat segera dilihat dan didengarnya. Namun begitu, kemampuan untuk berbuat sedemikian hanya boleh hadir jika wartawan muzik sentiasa berasa bahawa ada hal-hal yang belum selesai dan perlu dibongkar. Mereka perlu melihat jauh di sebalik muzik dan penampilan semata-mata. Walau bagaimanapun, kita juga tahu bahawa keresahan dan keprihatinan Hafiz terletak pada jurnalisme kita secara keseluruhan, bukan hanya jurnalisme muzik. Lebih khusus, masalah yang berbangkit ialah tiadanya budaya kewartawanan bentuk panjang (long-form journalism) yang bersifat meneroka dan menyiasat di bilik-bilik berita kita. Masalah ini diparahkan lagi dengan perpindahan jurnalisme ke dalam talian yang menjadi-jadi seperti hari ini.

Sudah tentu, hambatan bagi jurnalisme kelas atas ini ialah kos dan masa. Jurnalisme sebegini menuntut penulis dan wartawan bergadai harta, waktu malah nyawa, serta memiliki daya berfikir yang kritis dan peka terhadap perkembangan hal-hal lain di sekitarnya. Beruntung jika masih ada syarikat-syarikat media yang melabur untuk menghasilkan artikel-artikel surat khabar yang panjang dan lebih mendalam. Hafiz sendiri, dengan beberapa orang teman, membangunkan jurnal Svara untuk mengisi kekosongan tersebut dan memperkenalkan semula jurnalisme yang serius. Jadi, kritikan terhadap mutu jurnalisme muzik yang rendah merupakan satu kritikan terhadap jurnalisme dan budaya penulisan kita secara keseluruhan, itu pun jika kita tahu kenapa kita bersetuju bahawa tulisan-tulisan yang ada itu adalah sampah.

Akan tetapi, itulah yang membelenggu para saksi perbualan antara tiga orang wartawan pada malam itu. Mereka tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan jurnalisme “bagus”, selain jurnalisme yang melihat proses pengkaryaan, seperti kata Hafiz. Daryl Goh banyak berbicara tentang waktunya di The Star yang penuh dengan halangan kreatif. Dia bercerita tentang bagaimana dia pernah bertikam lidah hanya kerana ingin mempertahankan muzik “alternatif” yang dipandang sebelah mata oleh majikannya. Namun begitu, Daryl tetap menulis dalam segala kesempitan dan bertegas bahawa jurnalisme yang menurutnya bagus memang ada. Seir pula sedar dengan ketepuan media arus perdana, maka dari awal memilih untuk berkarya di majalah. Seperti Joe Kid, dia membentuk sendiri bahasa, nada dan gaya kewartawanan muzik yang baginya benar. Jadi, mereka yang hadir dengan mudah akan bersaksi bahawa Hafiz, seperti ramai lagi sebenarnya, memiliki seleranya sendiri, tetapi belum tentu mudah untuk tunduk pada lidah orang lain.

Tidak dinafikan bahawa jurnalisme muzik yang berbentuk panjang, melihat pada proses pengkaryaan dan berani untuk menyentuh hal-hal di luar muzik adalah penting, lebih-lebih lagi sebagai sarana kritik kepada pemuzik. Namun begitu, tidak bermakna bahawa jurnalisme murah-murahan, yang berbau gosip dan umpatan, dan yang sekadar ulasan itu tiada nilainya kepada pembaca dan pendengar muzik.

“Pada waktu itu, negara kita dilimpahi dengan majalah pop … tapi siapa yang membacanya? Kita tidak membacanya…” kata Seir. Bagi Daryl, dakwaan Seir itu sebenarnya jauh tersasar. “Sebaliknya, tulisan-tulisan sebegitulah yang sama mahalnya dengan berita-berita lain yang pernah saya lihat di bilik berita,” tegas Daryl.

Setidak-tidaknya, jurnalisme “umpatan” sedemikian memberikan tempat kepada mereka yang tidak memiliki capaian terhadap bahasa, pengetahuan dan gaya pertukangan seperti yang dimiliki oleh suatu jenis jurnalisme lain. Seperti juga budaya umpat-mengumpat yang menjadi suatu tindakan politik bagi mereka yang lemah, begitu juga jurnalisme pop yang memanfaatkan hal-hal rumah tangga untuk menonjolkan permasalahan-permasalahan kemasyarakatan yang lebih besar. Jadi, jurnalisme muzik memang ada biar apa pun bentuknya, tinggal kita sahaja yang memilih biar kena dengan selera.

Foto: Israr Khalid

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.