Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKetupat gajah atau keechang merupakan makanan tradisi masyarakat Siam dan Cina di Kedah yang jarang diketahui umum terutamanya generasi hari ini. Makanan tradisi ini juga dikenali sebagai ketupat Cina. Kini, makanan tradisi turun-temurun ini turut digemari oleh masyarakat Melayu di Kedah.
Cara pembuatan ketupat gajah sangat unik. Juadah ini diperbuat daripada beras pulut biasa sama seperti ketupat daun palas dan dibalut menggunakan daun buluh. Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimanakah daun buluh yang kecil boleh digunakan untuk membalut ketupat gajah ini?
Lazimnya dauh buluh yang digunakan untuk membuat ketupat gajah diperoleh daripada pokok buluh hutan. Ciri-ciri daun buluh yang sesuai untuk digunakan ialah daun yang bersaiz panjang dan lebar serta mempunyai permukaan yang licin dan tidak berbulu. Ciri-ciri inilah yang menonjolkan keunikan pembuatan ketupat gajah.
Pencarian daun buluh kadang kala memerlukan masa yang agak lama kerana harus diteliti sehelai demi sehelai untuk memastikan daunnya elok dan mempunyai saiz yang sesuai. Daun buluh yang tidak sesuai akan mengakibatkan pulut terkeluar daripada balutan serta menghasilkan warna yang tidak sempurna ketika direbus. Ketupat gajah biasanya dibalut berbentuk segi tiga.
Sementara itu, proses merebus ketupat gajah biasanya mengambil masa lebih kurang tujuh jam hingga lapan jam bergantung kepada tahap ketinggian api yang digunakan. Ketupat gajah yang sudah siap direbus perlu dituskan airnya dengan cara digantung untuk memastikan air yang tersisa benar-benar kering. Hal ini membolehkan juadah ini lebih tahan lama.
Apabila sudah masak, warna pulut ketupat gajah ini akan berubah menjadi kekuning-kuningan dan rasanya amat istimewa berbanding dengan ketupat daun palas. Teksturnya liat dan licin serta boleh dimakan bersama-sama serondeng, sambal ikan bilis, nisan tebu, nisan gula Melaka dan juga rendang.
Di Kedah, ketupat gajah masih boleh didapati di daerah Pendang. Terdapat generasi muda Melayu Islam berketurunan Siam yang mengusahakan dan menjual makanan tradisi ini.
Ketupat gajah yang dahulunya dimakan oleh masyarakat Siam dan Cina di daerah Pendang, kini semakin dikenali dan digemari oleh masyarakat Melayu sama ada golongan tua atau muda. Ketupat gajah yang dihidangkan di hari raya melengkapkan suasana meriah lebih-lebih lagi apabila dimakan bersama-sama ahli keluarga dan tetamu yang datang berkunjung.