28 Februari 2023, 23:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Siapakah orang Melayu Sarawak? Adakah mereka sama seperti orang Melayu yang lain? Persoalan ini menjadi tanda tanya bukan sahaja bagi orang Melayu dari luar Sarawak, malah orang Melayu Sarawak itu sendiri. Semua tahu bahawa umumnya orang Melayu itu pada awalnya merupakan bangsa yang berhijrah dari Tonkin, kawasan di antara utara Vietnam dengan selatan China. Spekulasi Melayu datang dari Tonkin ini semakin kuat apabila terdapat persamaan perkataan dalam kalangan masyarakat tempatan, tumbuhan dan juga binatang di wilayah tersebut dengan wilayah Nusantara.

Peta yang menunjukkan petempatan orang Melayu Sarawak.

Istilah Melayu telah lama muncul dalam sejarah Melayu sejak abad ke-7 menerusi tulisan I-Tsing pada tahun 648 Masihi semasa beliau berada di Sumatera. Hal ini dapat dilihat bahawa istilah Melayu yang terawal bersumberkan dari Sumatera dan akar Melayu berpusat di Sumatera. Kewujudan karya agung pula turut menggunakan istilah Melayu dalam karya masing-masing seperti yang terdapat dalam Negarakartagama dan Sejarah Melayu. Walaupun terdapat banyak spekulasi dan cerita berkenaan dengan orang Melayu di Tanah Melayu khususnya, namun tidak banyak yang mengetengahkan cerita atau sejarah berkenaan dengan asal-usul orang Melayu Sarawak.

Sarawak
Sarawak merupakan sebuah negeri terbesar yang ada di Malaysia yang terletak di wilayah barat di Pulau Borneo. Sarawak turut dikenali sebagai Bumi Kenyalang yang juga merupakan inspirasi jata rasmi negeri tersebut. Di Sarawak, masih terdapat banyak cerita sejarah yang belum dirungkai oleh para sejarawan disebabkan oleh kurangnya penulisan berkaitan sejarah dan hal ini termasuklah sejarah berkenaan asal-usul orang Melayu Sarawak.

Terdapat pelbagai usaha yang dilaksanakan dalam merungkai sejarah asal-usul orang Melayu Sarawak oleh beberapa pengkaji tempatan. Usaha ini haruslah diberikan pengiktirafan kerana dengan usaha mereka, kita dapat mengetahui berkenaan kewujudan masyarakat di sesuatu kawasan tersebut. Hal ini bukan sahaja dapat menambah dan mengembangkan sejarah negara, malah dapat menarik perhatian para pengkaji asing untuk mengetahui dan mengkajinya dengan lebih lanjut dan terperinci.

Asal Usul Melayu Sarawak
Asal usul orang Melayu Sarawak masih lagi menjadi persoalan utama buat kita semua. Namun begitu, terdapat sumber sejarah terawal yang ditulis oleh orang peribumi dalam memperakukan asal usul bangsa Melayu Sarawak. Sumber sejarah terawal tersebut ialah Hikayat Sarawak yang ditulis pada tahun 1932. Hikayat ini menyatakan bahawa orang Melayu Sarawak merupakan sebahagian daripada rumpun Melayu Nusantara yang lebih luas.

Maksud rumpun Melayu Nusantara yang lebih luas ialah orang Melayu Sarawak berasal dari pelbagai negeri merangkumi Melayu Brunei yang berasal dari Johor dan ada juga yang datang secara langsung dari Minangkabau. Terdapat juga kemungkinan atau kepercayaan bahawa orang Melayu Sarawak mempunyai kaitan atau susur galur dari Mongolia yang bercampur baur dengan bangsa-bangsa lain seperti bangsa Arab dan India. Kedatangan bangsa-bangsa lain ini kebiasaannya dikaitkan dengan aktiviti perdagangan seperti menjalankan aktiviti jual beli dan berkahwin dengan penduduk tempatan serta menetap di kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, terdapat satu teori atau aliran yang percaya bahawa orang Melayu sememangnya berasal dari Sarawak dan bukannya berhijrah dari kawasan lain. Orang Melayu Sarawak merupakan penghuni asal negeri Sarawak bersama-sama dengan kaum peribumi yang lain, yakni sama seperti orang Melayu yang menetap di Brunei, Sabah, Semenanjung Malaysia dan Indonesia.

Terdapat juga kepercayaan bahawa orang Melayu Sarawak merupakan keturunan daripada Datu Merpati Jepang dari Jawa atau Minangkabau dan Abang Gudam dari Sumatera. Kepercayaan-kepercayaan ini wujud hasil daripada cerita lisan masyarakat tempatan di Kuching, khasnya golongan Melayu Perabangan yang sering dikaitkan dengan Datu Merpati Jepang dan anak lelakinya, Merpati Jepang.

Petempatan Orang Melayu Sarawak
Dalam peradaban Melayu Sarawak, terdapat unsur pengaruh daripada zaman kegemilangan Empayar Majapahit yang membawa kepada penaklukan Borneo. Hal ini dikatakan sedemikian kerana terdapat tiga nama tempat di Borneo sewaktu berada di bawah kuasa pemerintahan empayar Majapahit yang dianggap mempunyai nama yang sama dengan nama beberapa tempat di Sarawak pada hari ini seperti Sawaku, Melano dan Kalaka.

Kewujudan tempat-tempat ini telah berjaya membuktikan kewujudan permulaan peradaban manusia di Sarawak. Kemunculan tempat-tempat ini juga adalah sejajar dengan kewujudan politi-politi awal di Alam Melayu seperti Lembah Bujang di Kedah pada abad ke-4, Kuala Selinsing di Perak dan Kan-t’o-li di Sumatera pada abad ke-5, Srivijaya dan Melayu Jambi pada abad ke-7, Surabaya dan Tuban di Jawa Timur pada abad ke-11, Melaka pada abad ke-15 dan Aceh pada abad ke-17.

Walaupun tidak banyak maklumat yang diketahui berkenaan penempatan yang dinyatakan, namun dalam cerita-cerita sastera masyarakat Melayu Sarawak ada menyatakan bahawa penempatan awal Orang Melayu Sarawak adalah di Muara Tebas, Santubong dan Tanjung Sipang.

Selain itu, agak sukar untuk kita mempercayai cerita sastera ataupun cerita dongeng yang lazimnya diperkatakan oleh masyarakat Melayu tetapi terdapat bukti arkeologi yang menunjukkan kewujudan penempatan dan pelabuhan khususnya di Santubong.

Antara bukti yang dijumpai termasuklah wang syiling China bertarikh 600 sebelum Masihi dan 112 sebelum Masihi serta serpihan tembikar China yang bertarikh 588 Masihi yang membuktikan kewujudan petempatan dari abad sebelum Masihi hingga abad ke-6 Masihi. Bukti-bukti ini menunjukkan bahawa penempatan orang Melayu Sarawak pada zaman itu telah berkembang daripada sebuah perkampungan menjadi sebuah pusat perdagangan yang maju di Kepulauan Melayu.

Pengaruh Kerajaan Luar
Selain itu, terdapat juga pengaruh Kerajaan Brunei dalam kalangan orang Melayu Sarawak. Hal ini dapat dilihat dalam aspek peranan mereka dipertingkatkan bagi mentadbir wilayah-wilayah dalam empayar Brunei. Sebagai contoh, terdapat tiga ketua orang Melayu yang mempunyai kuasa untuk memerintah Sarawak yang terdiri daripada Datu Patinggi, Datu Bandar dan Datu Temenggung. Mereka merupakan pemerintah yang memainkan peranan yang besar dalam menjaga kebajikan penduduk dan mengutip cukai.

Rentetan itu, dapat dilihat bahawa strata paling tinggi dalam masyarakat Melayu Sarawak ialah golongan Melayu Perabangan. Mereka menggunakan gelaran “Abang” bagi kaum lelaki dan gelaran “Dayang” bagi kaum wanita pada pangkal nama mereka. Namun disebabkan wujud pengaruh Kerajaan Brunei dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak, maka terdapat juga gelaran “Pengiran”, “Awang”, “Awangku” dan “Dayangku” pada pangkal nama sesetengah orang Melayu Sarawak. Di samping itu, terdapat juga pengaruh Arab Islam di Sarawak yang kesannya terhasillah gelaran seperti “Sharip”, “Tunku”, “Wan” dan “Sharifah” pada pangkal nama penduduk Sarawak.

Pekerjaan Orang Melayu Sarawak
Orang Melayu Sarawak kebiasaannya terlibat dalam aktiviti perdagangan, perikanan, pertanian dan pertukangan. Mereka menjalankan aktiviti perdagangan secara dalaman dengan penduduk pedalaman seperti orang Iban dan Kayan serta masyarakat yang menetap di seberang laut. Sewaktu berlayar di laut, orang Melayu Sarawak membawa bersama-sama barang dagangan seperti kain, ikan dan garam untuk ditukarkan dengan barangan hasil hutan yang dijual oleh masyarakat lain. Manakala gelaran “Nakhoda” kebiasaannya digunakan bagi mencerminkan bahawa identiti diri mereka merupakan para pedagang Melayu Sarawak pada zaman itu.

Orang Melayu Sarawak juga terlibat dalam aktiviti perikanan. Kebanyakan penempatan orang Melayu Sarawak berada di pesisir pantai dan hal memudahkan mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti nelayan. Kawasan seperti Santubong, Sematan, Pasir Pandak, Buntal, Muara Tebas dan Bako merupakan kawasan penangkapan ikan utama bagi penduduk Melayu Sarawak. Dalam menjalankan aktiviti perikanan ini, orang Melayu Sarawak telah mencipta beberapa peralatan atau teknologi bagi memudahkan pekerjaan mereka. Antara contoh peralatan dan teknologi tersebut termasuklah jala siar, jala laut, pento, ranto, belat dan bumboo yang merupakan peralatan tradisional orang Melayu Sarawak untuk menangkap ikan.

Orang Melayu Sarawak juga melibatkan diri dalam aktiviti pertanian dengan menanam pelbagai hasil tanaman seperti kelapa, padi huma dan buah-buahan tropika. Dalam kegiatan pertukangan pula, orang Melayu Sarawak terlibat dalam pembinaan kapal dan perahu untuk digunakan dalam aktiviti perikanan. Hal ini sama seperti orang Melayu di Semenanjung Malaysia yang turut mencipta peralatan untuk memudahkan pekerjaan mereka dalam urusan mencari rezeki. Pembuatan kapal yang besar dengan kehalusan kerja-kerja pertukangannya dipuji dan diakui sendiri oleh James Brooke selaku pemerintah negeri tersebut pada suatu ketika dahulu.

Kesimpulannya, sejarah berkaitan dengan orang Melayu Sarawak masih lagi kurang ditonjolkan dan diketengahkan. Oleh hal yang demikian, semoga penulisan ini dapat menyumbang sedikit sebanyak maklumat dan ilmu pengetahuan berkenaan dengan orang Melayu Sarawak. Hakikatnya, orang Melayu Sarawak mempunyai pelbagai asal keturunan dan bukannya berasal daripada keturunan yang sama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.