31 Mei 2023, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada setiap sesi pembelajaran bagi Kursus Intensif Kemahiran Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), penulis akan mengadakan lawatan budaya bersama-sama pelajar yang datang dari pelbagai negara. Penulis lebih gemar membawa pelajar ke kawasan perkampungan Melayu supaya mereka dapat menyelami sendiri cara hidup dan budaya masyarakat Melayu. Pada kali ini, penulis berpeluang mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak di Inap Desa Kampung Lonek yang terletak di daerah Batu Kikir, Negeri Sembilan, bersama-sama tujuh orang pelajar antarabangsa dan beberapa orang guru yang lain.

Setibanya di Kampung Lonek, kami disambut dengan lambaian padi yang sedang menguning serta ketenangan desa yang damai sekali. Suasana ini mengingatkan penulis terhadap kampung halaman yang nun jauh di Utara Semenanjung. Terdapat palong air di sisi sawah padi yang menjadi sistem pengairan di kawasan kampung tersebut. Penulis juga dapat melihat banyak sekali rumah tradisional berbumbung ala Minangkabau di Kampung Lonek.

Kampung Lonek sangat terkenal dengan inap desa yang bersistematik. Di sana, para pengunjung dapat tinggal di rumah inap yang disediakan ataupun tinggal bersama-sama keluarga angkat yang menyertai koperasi Inap Desa Kampung Lonek. Kami memilih untuk tinggal bersama-sama keluarga angkat. Pengurusan inap desa membekalkan kami atur cara sepanjang dua hari satu malam kami di sana.

Kawasan desa yang dikelilingi sawah padi tidak sah jika tiada aktiviti mengemping padi. Proses pembuatan “emping” dan memasak “penganan” bukan sahaja pengalaman baharu bagi pelajar antarabangsa, bahkan sangat asing bagi kami. Itulah kali pertama penulis melihat sendiri proses pembuatan emping padi dan memasak penganan atau lebih dikenali sebagai dodol cair dalam kalangan masyarakat tempatan.

Pemilihan padi yang separa masak menjadi sayarat utama dalam proses penghasilan emping yang berkualiti. Padi perlu direndam semalaman dan kemudiannya digoreng sehingga menjadi bertih. Bertih tersebut dimasukkan ke dalam lesung kaki yang diperbuat daripada kayu untuk ditumbuk. Bertih padi tersebut perlulah ditumbuk dalam keadaan yang masih panas untuk mengelakkan emping menjadi keras.

Selesai proses menumbuk, emping akan diayak atau ditampi menggunakan nyiru supaya dapat mengasingkan hampas padi dan emping yang sudah ditumbuk. Proses menampi ini mengingatkan penulis tentang peribahasa, “kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan”, yang membawa maksud sangat berbesar hati merujuk kepada Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Bagi penulis, maksud ini perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam jika kita ingin mendalami maksud sebenar peribahasa tersebut.

Masyarakat Melayu terdahulu menggunakan nyiru sebagai alat menampi atau menapis sesuatu seperti padi. Walaupun orang Melayu berbesar hati untuk menerima sesuatu pemberian namun mereka akan memeriksa dan menyaring terlebih dahulu asal-usulnya supaya mendapat sesuatu yang berkualiti dan selamat. Hal ini dianalogikan dengan proses menampi padi supaya dapat mengasingkan hampas, hama dan miang padi tersebut dan memperoleh beras atau emping yang baik dan berkualiti. Selesai mengemping padi, kami disajikan dengan emping bercampur kelapa dan makan bersama penganan yang sudah dimasak bersama-sama keluarga angkat.

Pada sebelah petang kali, para pelajar dan guru-guru disajikan pula dengan permainan tradisional seperti tarik upih pinang, boling kelapa dan kelereng. Sepanjang hidup penulis itulah kali pertama berpeluang bermain kelereng. Permainan menggunakan rim tayar basikal dan sebatang buluh kecil. Seusai sahaja bermain permainan tradisional, tibalah aktiviti yang ditunggu-tunggu iaitu aktiviti “mengoca” ikan.

Mengoca” merupakan perkataan dalam dialek Negeri Sembilan yang merujuk kepada perbuatan menangkap ikan menggunakan tangan kosong. Di Selangor, terutamanya di kawasan Sekincan dan Sungai Besar, disebut dengan istilah “menggagau”. Namun begitu, sedikit berbeza dengan istilah dialek utara yang lebih gemar menggunakan istilah “menimba” bagi aktiviti menangkap ikan di sawah ataupun sumur.

Sebenarnya terdapat petua atau teknik untuk menangkap ikan menggunakan tangan kosong. Caranya adalah dengan “mengocak-ngocak” air tersebut supaya ikan menjadi pening dan timbul di permukaan air dengan sendirinya. Oleh hal demikian, usaha untuk menangkap ikan menjadi lebih mudah dan senang. Di samping itu, penulis terasa sangat lucu apabila melihat telatah dan gelagat pelajar-pelajar perempuan dari Jepun, China, Indonesia dan Australia yang terkejut semasa ikan melanggar kaki dan tangan mereka.

Para guru dan pelajar antarabangsa dari pelbagai negara mencuba “mengoca” ikan.

Berbeza dengan Jayden Piltz dari Australia yang langsung berkubang di dalam lumpur tersebut. Penulis berjaya menaikkan lapan ekor ikan keli dengan berbekalkan pengalaman semasa kanak-kanak ketika bergelumang dengan selut di sawah padi milik ayahanda dahulu. Aktiviti seperti “mengoca” ini sebenarnya bukan sekadar untuk bersuka ria atau hanya untuk memenuhi atur cara program semata-mata, namun menggambarkan cara hidup dan budaya masyarakat Melayu terdahulu “bermesra” dengan alam. Bak perkongsian daripada ayahanda penulis sendiri, “orang dulu, tidak risau akan sumber makanan. Semuanya boleh dapat di sekeliling tempat tinggal.” Oleh sebab itu, jika kita perhatikan orang tua-tua yang tinggal di kampung memiliki sifat kesyukuran yang sangat tinggi.

Pada malamnya, para pelajar diajar pula cara untuk bermain caklempong iaitu sejenis alat muzik tradisional yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia. Caklempong terdiri daripada beberapa instrumen, iaitu bonang, tepak, tepak sauwa dan tepak tingkah, gendang ibu, pengetuk, serunai dan bangsi. Dalam permainan ini juga terdapat beberapa fungsi instrumen yang terdapat dalam caklempong, antaranya termasuklah “gereteh”, “tingkah”, “sauwa”. Fungsi ini dapat menghasilkan sebuah irama dan lagu yang merdu dan harmoni. Caklempong di Kampung Lonek diajar oleh Encik Hairy Abdul Halim yang merupakan salah seorang penggiat seni di Pusat Kebudayaan UKM.

Pelajar antarabangsa mencuba permainan tradisional di Inap Desa Kampung Lonek.

Pada hari kedua, semua pelajar dan guru dibawa meronda-ronda kampung dengan menaiki trem yang disediakan oleh koperasi Inap Desa Kampung Lonek. Aktiviti ronda-ronda kampung ini menyajikan kami dengan perusahaan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang terdapat di kampung tersebut. Antara IKS yang dilawati termasuklah kilang penghasilan mi kuning oleh Bumiputera di sana. Yang menariknya, mi kuning yang dihasilkan tidak menggunakan bahan pengawet dan 100 peratus halal.

Seterusnya, kami dibawa ke perusahaan kuih tradisional seperti kuih kapit dan karas. Di sana, para pelajar berpeluang mencuba sendiri cara untuk membuat kuih karas secara tradisional. Pelajar antarabangsa tidak melepaskan peluang tersebut kerana mungkin mereka tidak akan ketemu lagi cara masakan seperti itu di negara mereka kelak.

Di samping pembelajaran bahasa Melayu di dalam kelas, aktiviti budaya yang dirasai dan dilalui sendiri oleh pelajar antarabangsa turut membantu mereka dalam mendalami erti sebenar sebagai Melayu. Besar harapan Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM agar bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu diangkat kedudukannya dan tidak merempat di halaman sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.