14 April 2023, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan negeri Selangor akan menganjurkan program Jom Rewang Sekampung Aidilfitri di tiga daerah negeri tersebut pada tahun ini bagi menghidupkan semula amalan tradisi dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Poster rancangan Selamat Pagi Malaysia bersama-sama YB Borhan Aman Shah.

Yang Berhormat (YB) Borhan Aman Shah, Exco Pembangunan Luar bandar, Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor berkata, program tersebut dijadualkan berlangsung di Klang, Sabak Bernam dan Gombak bagi memastikan golongan muda dapat merasai pengalaman suasana gotong-royong sekampung yang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain.

“Program rewang ini akan dianjurkan selama dua hari satu malam dengan kerjasama masyarakat kampung yang berkumpul untuk memasak dan bersama-sama menikmati hidangan pada sebelah malam dalam suasana kenduri sekampung,” kata YB Borhan Aman Shah ketika bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam.

Tambah beliau lagi, tradisi ini perlu dikekalkan supaya masyarakat khususnya generasi muda dapat mengetahui bahawa gotong-royong masyarakat kampung sebenarnya telah wujud sejak sekian lama untuk mengekalkan perpaduan dalam semua lapisan masyarakat.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-haj dijadualkan bakal mencemar duli menghadiri program Jom Rewang Sekampung Aidilfitri di Klang, manakala Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut dijangka hadir bagi memeriahkan program tersebut,” ujar YB Borhan Aman Shah.

Menurut YB Borhan Aman Shah, program Jom Rewang Sekampung Aidilfitri ini dianjurkan selepas melihat kejayaan program Jom Rewang Sekampung yang dianjurkan pada tahun lalu. Di samping itu, kerajaan negeri Selangor juga akan menganjurkan program rewang sekampung di setiap daerah bagi menghidupkan kembali amalan tradisi dalam kalangan masyarakat sekali gus membentuk perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat.

YB Borhan Aman Shah turut berkata, program Jom Rewang Sekampung yang dilaksanakan pada tahun lepas berjaya mengenal pasti identiti penduduk setiap daerah di Selangor kerana negeri ini sebenarnya mempunyai pelbagai etnik dan budaya yang unik dan berbeza.

Jelas beliau lagi, contohnya di Hulu Langat, program tersebut berkonsepkan majlis perkahwinan mengikut istiadat masyarakat Minangkabau, manakala di Sabak Bernam pula program tersebut dilaksanakan berdasarkan tradisi masyarakat Jawa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.