Oleh Awang Sariyan
1 April 2023, 20:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam ucapan perbahasan usul RRU Perbekalan 2023 di Dewan Negara, saya menyentuh beberapa perkara yang berkaitan dengan pembangunan aspek dalaman, khasnya pendidikan, agama, kebudayaan dan perpaduan.

Beberapa isu khas yang berkaitan dengan bidang kebudayaan yang saya kemukakan ini adalah selaras dengan keanggotaan saya di Dewan Negara mewakili bidang kebudayaan.  Antara perkara yang saya cadangkan termasuklah:

1. Cadangan agar kerajaan menyemak kedudukan kebudayaan sebagai keseluruhan cara hidup dalam jentera pentadbiran kerajaan. Kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada kebudayaan dalam kementerian yang berkaitan, bukan di belakang sektor pelancongan. Dahulu pernah ada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) yang menjurus kepada aspek penting tamadun negara. Jika masih dirasakan wajar kebudayaan dan pelancongan berada dalam satu kementerian, dari segi semangat dan epistemologi, nama “kebudayaan” perlu mendahului “pelancongan” sebagai gambaran keseriusan mengangkat kebudayaan sebagai teras tamadun negara.

2. Disarankan juga penubuhan Pusat Tamadun Melayu di tengah-tengah ibu negara Kuala Lumpur yang mencerminkan tamadun bangsa Melayu sebagai bangsa teras di negara ini yang sejarah dan warisannya bermula belasan hingga puluhan ribu tahun lalu di Pentas Sunda yang kini dikenali sebagai Alam Melayu. Saranan itu pernah juga dikemukakan oleh Tan Sri Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara sebelum ini.

3. Pengisian Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 dan sejak tahun 2021 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) perlu benar-benar terancang dalam program yang merentas semua sektor, melalui kementerian-kementerian lain, khasnya pendidikan, belia, agama dan peranan penting Kementerian Komunikasi dan Digital yang patut menjadi penyalur dan pengisi Dasar Kebudayaan Negara.

4. Berkaitan dengan pemupukan kebudayaan negara dalam kalangan remaja dan belia, saya sarankan pelaksanaan semula program khidmat negara yang sekali gus bertujuan untuk memperteguh patriotisme dan perpaduan golongan muda sebagai pelapis pemimpin, penjawat awam dan penggerak pembangunan negara dalam sektor lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.