18 April 2023, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sewaktu penulis menetap di Kuala Kangsar kira-kira 35 tahun yang lalu, terdapat satu kegiatan unik yang melibatkan penyertaan hampir semua peringkat umur merangkumi kanak-kanak, dewasa dan golongan tua. Kegiatan tersebut yang hanya dilakukan dalam bulan Ramadan dijadikan sebagai acara tahunan dan hingga ke hari ini, budaya tersebut masih lagi diteruskan sehingga dianggap sebagai satu tradisi ikonik kepada bandar diraja negeri Perak itu.

Pada malam menjelang Hari Raya Aidilfitri pula dapat dilihat kenderaan-kenderaan berkonvoi atau berbaris panjang bergerak perlahan-lahan dari bandar Kuala Kangsar menuju ke destinasi tumpuan seperti Kota Lama Kiri, Kota Lama Kanan dan Sayong untuk menyaksikan kemeriahan tradisi tersebut. Bukit Chandan turut menjadi salah satu lokasi tumpuan dengan orang ramai boleh melihat pertunjukan panjut yang berseberangan dengannya, iaitu di sepanjang pesisiran Sungai Perak.

Terlepas peluang menontonnya akan menyebabkan seseorang itu terpaksa menunggu tahun berikutnya kerana tradisi tersebut hanya dapat disaksikan dalam bulan Ramadan sahaja. Rentetan itu, tidak hairanlah apabila banyak kenderaan sanggup bersesak-sesak di atas jalan raya semata-mata untuk menjadi saksi kepada kemeriahan tradisi yang dimaksudkan.

Kegiatan atau acara yang dimaksudkan ialah Pesta Panjut dan kemuncak kemeriahannya ialah pada malam 27 Ramadan. Panjut berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat didefinisikan sebagai suluh yang diperbuat daripada damar dan dibungkus dengan daun atau pancaran dan sinar lampu. Dalam konteks kegiatan yang dibicarakan dalam penulisan ini, panjut merujuk kepada pelita hiasan yang dipasang menjelang Hari Raya Aidilfitri dengan menggunakan minyak tanah.

Tradisi ini dikatakan bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tanpa mengira lapisan umur, bahkan turut mampu mencetuskan pemikiran yang kreatif dan inovatif dalam memeriahkan suasana kampung masing-masing. Terdapat juga mukim-mukim yang mengadakan pertandingan dan pertunjukan yang bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan pemuafakatan sesama ahli kariah sesebuah kampung, tetapi juga dapat mengindahkan kampung sehingga menjadi daya tarikan kepada masyarakat luar untuk menyaksikannya.

Sebagai contoh, pada tahun 2016, satu program yang dikenali dengan nama Pertandingan dan Pertunjukan Panjut Parlimen Padang Rengas telah dilancarkan dan sebanyak 42 buah kampung telah mengambil bahagian. Dalam program tersebut, tiga buah tema telah ditetapkan, iaitu “Kampungku”, “Bangunan Bersejarah” dan “Selamat Hari Raya”. Berdasarkan kepada tema-tema yang telah diputuskan itu, peserta-peserta yang mengambil bahagian akan mula membina replika atau menara sama ada berbentuk bangunan, tulisan, motif dan sebagainya dengan menggunakan buluh atau sebarang bahan yang berasaskan kepada penggunaan sumbu pelita secara kreatif dan unik yang mampu memikat sesiapa sahaja yang memandangnya.

Kuala Kangsar boleh dianggap sebagai induk atau pusat dalam Pesta Panjut kerana bandar diraja itu sudah sekian lama meraikan tradisi tersebut selain sering menghidangkan pelbagai seni bina yang kreatif dan unik yang sukar didapati di tempat-tempat lain. Pada tahun 2021 misalnya, panjut bersaiz gergasi bertemakan “Masjid Selat Melaka” telah dibina di Kampung Ribu, Padang Rengas. Tujuan seni bina tersebut dihasilkan adalah untuk mengembalikan nostalgia terhadap era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang pernah menjadi tapak penyebaran Islam di Tanah Melayu pada masa dahulu. Menurut laporan BERNAMA yang tersiar dalam Utusan Borneo pada 10 Mei 2021, lebih 2000 pelita digunakan untuk menyalakan panjut berbentuk masjid itu yang mempunyai seni bina empat aras yang memerlukan 32 batang buluh, 64 batang gelegar, 24 keping lantai dan 128 tetupai.

Sekitar tahun 1960-an, panjut bertemakan lambang-lambang parti politik menghiasi pemandangan di sekitar kampung-kampung di Padang Rengas. Di Kampung Lalang sebagaimana yang tercatat dalam satu artikel yang tersiar dalam Berita Harian pada 24 Februari 1964, menerusi inisiatif pemuda-pemuda parti politik PAS, hampir setiap rumah di kampung tersebut dipasang dengan panjut Bulan Bintang yang merupakan simbol yang menjadi lambang kepada parti berkenaan. Keadaan tersebut menyebabkan ahli-ahli UMNO terpinga-pinga kerana menyangkakan bahawa kampung itu telah menjadi kubu kuat PAS. Namun keadaan menjadi tenang dan harmoni setelah menyedari bahawa panjut-panjut bermotifkan bulan bintang itu sebenarnya merujuk kepada tema pertandingan panjut yang dianjurkan oleh para pemuda PAS dengan persetujuan penduduk kampung.

Sekitar dekad 1980-an dan 1990-an pula, panjut bintang menjadi tumpuan masyarakat di Kuala Kangsar kerana bentuknya yang unik dan bersifat mudah alih serta boleh digantung di perkarangan rumah. Pada masa itu, terdapat sebahagian penduduk yang menjadikan proses pembuatan panjut sebagai satu pekerjaan untuk mencari pendapatan sampingan.

Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 April 1991, pembuatan panjut bintang dapat menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada sesetengah penduduk dalam bulan Ramadan. Panjut bintang dijual dengan harga sekitar RM5 sehingga RM7 dengan jualan melebihi 200 unit. Keuntungan yang diperoleh adalah antara RM2200 sehingga RM3000 berdasarkan nilai wang pada masa ini.

Di sesetengah tempat di Kuala Kangsar khususnya di Kampung Talang, kemeriahan pesta panjut digamatkan dengan dentuman meriam. Pada masa dahulu, meriam tersebut diperbuat daripada buluh, namun kini pembuatannya lebih banyak menggunakan besi kerana dikatakan mampu menghasilkan bunyi yang lebih kuat. Menurut penulisan M. Hamzah Jamaludin dalam New Straits Times pada 9 Julai 2016, bahan kimia seperti kalsium karbida yang dicampur dengan air akan menghasilkan gas asetilena. Jika dicucuh dengan api, gas asetilena yang terhasil itu akan mengeluarkan dentuman bunyi yang kuat dan boleh membingitkan telinga.

Kemeriahan Pesta Panjut tidak terbatas di Kuala Kangsar dan mukim-mukim sekitarnya sahaja, sebaliknya merebak ke daerah-daerah lain. Mungkin kerana tertarik dengan suasananya yang begitu mengujakan, khususnya pada malam-malam terakhir menjelang hari raya, maka kawasan lain turut mengamalkan pendekatan yang sama. Bahkan ada kawasan-kawasan tertentu yang menganjurkan pertandingan dengan menawarkan hadiah yang lumayan.

Sebagai contoh di Bagan Serai yang terletak dalam daerah Kerian, hadiah yang ditawarkan kepada pemenang tempat pertama bagi tahun 2022 berjumlah RM7000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing berjumlah RM4000 dan RM2000. Sebanyak 18 buah kampung mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Kemeriahan sebenar tidak hanya dirasakan pada malam pertandingan, tetapi juga pada peringkat persediaan apabila para peserta yang terlibat saling bekerjasama bermula daripada pertukaran idea dan buah fikiran, pengumpulan wang untuk pembelian peralatan serta bergotong-royong untuk membina panjut.

Selain itu, panjut mempunyai daya tarikan tersendiri dalam menyerlahkan kreativiti serta sensitiviti terhadap isu-isu semasa. Sebagai contoh, panjut yang membentuk tulisan Justice for Bella telah dibina sebagai tanda simpati dan sokongan kepada remaja “sindrom down” yang dikenali sebagai Bella yang disyaki telah didera. Bagi menghasilkan seni bina tersebut, sekumpulan belia dari Kampung Bukit Merah, Semanggol yang terletak tidak jauh dari Bagan Serai telah menggunakan botol-botol sabun terpakai sebagaimana yang dilaporkan oleh Wat Kamal Abbas dalam Utusan Malaysia pada 25 April 2022.

Botol-botol tersebut kemudiannya diubah suai dan ditebuk bagi membolehkan pelita dinyalakan dari dalam botol tersebut. Selain botol sabun, bahan-bahan terpakai yang lain seperti tin minuman dan botol sos turut digunakan untuk membina replika berbentuk rumah rakit dan kereta api. Penduduk kampung turut mengambil kesempatan dengan mempamerkan peralatan menangkap ikan tradisional dan basikal-basikal lama yang dihiasi pelita bagi menambahkan seri dan suasana kemeriahan.

Setahun sebelumnya, panjut berbentuk kapal selam yang mempunyai ketinggian 3 meter dan panjang kira-kira 8 meter telah dibina oleh anak-anak muda di kampung tersebut. Mesej utama yang hendak disampaikan menerusi pembinaan panjut yang mempunyai bentuk sedemikian adalah untuk mengenang tragedi kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 yang karam di perairan Bali, Indonesia selepas dilaporkan hilang pada 21 April 2021.

Selain kapal selam, reka bentuk lain yang tidak kurang menariknya adalah seperti kereta api elektrik (ETS) dan rumah kampung yang dibina di perkarangan Pusat Komuniti Bukit Merah sebagaimana yang dilaporkan dalam BERNAMA menerusi artikel yang tersiar pada 2 Mei 2021 dalam laman web Astro Awani.

Di Seberang Perak, pembuatan panjut berasaskan buluh masih lagi dikekalkan kerana dianggap sebagai warisan dan tradisi yang mempunyai nilai dan falsafah tersendiri menjelang hari lebaran. Walaupun tanpa tambahan warna dan seni bina yang kreatif, panjut tradisi ini tetap mempunyai peminat tersendiri dan mendapat sambutan yang menggalakkan di kawasan itu.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh Noor Hidayah Tanzizi dalam Harian Metro pada 20 April 2022, salah satu faktor mengapa panjut buluh masih mendapat perhatian adalah kerana kehadiran suasana tradisional setelah sumbunya dinyalakan. Buluh yang digunakan adalah daripada jenis buluh kuning atau buluh betung. Bagi penduduk tempatan yang menjadikan pembuatan panjut buluh sebagai hasil sampingan, ternyata pendapatan yang diperolehi agak lumayan. Hal ini kerana sebatang buluh panjut boleh dijual antara harga RM25 sehingga RM35 berdasarkan bilangan sumbu sama ada enam atau sembilan sumbu.

Walau bagaimanapun, proses pembuatannya tidaklah semudah seperti yang disangkakan kerana pembuat perlu masuk ke dalam hutan untuk mendapatkan buluh-buluh yang berkualiti. Dengan menggunakan buluh-buluh sedemikian, maka panjut boleh digunakan selama bertahun-tahun kerana sifatnya yang tahan lama.

Panjut di Kuala Kangsar sekitar tahun 1960-an sebagaimana yang dicatatkan oleh Mokhtar Petah dalam penulisannya yang tersiar dalam Berita Harian pada 18 Mac 1961 tidak sekadar menghiasi halaman rumah dengan pelita, sebaliknya panjut menjadi satu temasya besar apabila masyarakat mengambil kesempatan untuk berada di luar rumah sama ada bersiar-siar, berpakaian baharu dan bertegur sapa.

Golongan pemuda dan pemudi yang masih bujang mengambil peluang untuk berkenalan antara satu sama lain, manakala para amil pengutip zakat berkunjung ke rumah-rumah untuk memenuhi hajat penduduk yang ingin membayar zakat fitrah. Menurut Mokhtar Petah, berdasarkan tinjauannya dalam penulisan tersebut, budaya sedemikian telah dipupuk kira-kira 50 tahun sebelumnya. Hal ini bererti tradisi tersebut mungkin telah dimulakan secara besar-besaran dan menjadi acara tahunan sekitar awal tahun 1900-an.

Panjut pernah mengalami zaman gelap atau duka pada tahun 1967 apabila banjir besar melanda Kuala Kangsar. Pada masa itu, lokasi-lokasi utama panjut seperti Kota Lama, Bukit Chandan dan Talang yang terkenal dengan dentuman meriam dan nyalaan pelita menjadi sunyi sepi dan gelap gelita kerana air dari Sungai Perak melimpah dan membanjiri kawasan-kawasan tersebut.

Peristiwa suram yang berlaku pada tahun 1967 itu tercatat dalam Berita Harian yang disiarkan pada 26 Januari 1967. Kini panjut merupakan sebahagian daripada sejarah dan terakam sebagai satu daripada budaya Melayu yang kaya dengan falsafah tradisi dan sarat dengan kehalusan seni.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.