7 April 2023, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya BOH Plantations dan Kakiseni mengumumkan senarai pencalonan untuk acara berprestij Anugerah Seni BOH Cameronian ke-18 (BCAA18) yang bertempat di Pusat Persembahan Seni Petaling Jaya (PJPAC). Majlis anugerah tersebut bakal berlangsung pada 14 Mei 2023 di PJPAC, 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya, Selangor. BCAA18 disokong oleh penaja utama sejak sekian lama, iaitu BOH Plantations dengan kerjasama Binder Dijker Otte (BDO) di Malaysia yang muncul buat pertama kali sebagai rakan penganjur.

Jason Foo (kanan) bersama-sama Low Ngai Yuen (tengah) dan wakil BDO.

BCAA18 merupakan kemuncak persembahan karya yang dinilai sejak tiga tahun lalu, bermula dari tahun 2020 hingga tahun 2022 dan terdapat lebih 1010 produksi yang telah menyerahkan borang penyertaan untuk acara berprestij ini. Selepas tertangguh kira-kira tiga tahun akibat wabak pandemik COVID-19, BCAA kembali semula pada tahun ini dan bakal menjadi sebuah acara paling menarik untuk industri seni persembahan negara setelah operasi semula teater dan lokasi seni dibuka sepenuhnya kepada penonton.

Antara barisan panel juri BCAA18 termasuklah Dr. Andrew Filmer, Dominic Luk, Janet Kan, Ng Yuet Sum, Sara Heng, Dr. Sayyid Shafiee dan Tan E-Jan untuk kategori muzik. Manakala Alla @ Azura Abal Abas, Choong Wan Chin, Foo Chi Wei, Kenny Shim, Rathimalar Govindarajoo dan Mohd. Yunus Ismail bagi kategori tarian. Christopher Ling, Fazleena Hishamuddin, Dr. Muralitharan Pillai, Dr. Syahrul Musa, dan Yves Yap, Colin Kirton, Mervyn Peters, Michael Xavier Voon, Sabrina Hassan dan Sandra Sodhy pula bagi kategori teater.

Selain mengiktiraf individu yang cemerlang dalam lakonan, muzik dan tarian, BCAA18 turut mengiktiraf kru belakang tabir merangkumi produksi seperti kostum dan solekan, muzik dan bunyi, reka bentuk visual serta set dan reka bentuk pencahayaan.

Jason Foo, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations menyatakan kegembiraannya apabila BCAA kembali sebagai salah sebuah acara kemuncak dalam industri seni tanah air.

“Pada tahun 2020, BCAA17 diadakan secara maya buat pertama kali bagi meraikan pencapaian seni tahun 2019 dan mengiktiraf produksi terbaik untuk tahun tersebut. Syarikat produksi ini dikenal pasti berdasarkan sumbangan berterusan mereka kepada industri seni,” ujar Jason Foo.

Low Ngai Yuen, Presiden Kakiseni berkata, Geran BOH Cameronian diberikan untuk pengeluaran baharu bagi membantu memulakan semula pengkaryaan. Selain itu, tema BCAA18, iaitu A New Day, Setia Pada Senimu adalah cerminan sebenar semangat masyarakat seni persembahan untuk bangkit semula dari bawah dan kembali dengan semangat yang baharu.

Senarai akhir calon anugerah terbaik BCAA18 adalah teater A National History daripada Five Arts Centre, muzik Dark Light (Young Choral Academy), muzik Dream of the Red Chamber (Lee Rubber Chinese Orchestra KL), teater muzikal Follow the Light (TheatreThreeSixty) dan tarian N2 (La Danza Theatre).

Kategori Reka Bentuk Pencahayaan Terbaik pula, Tan Eng Heng dengan karya Alice in Wonderland terbitan Ballet Theatre Malaysia, Merentas Awan. Reconnect. Recreative (Kwang Tung Dance Company) serta Veeky Tan untuk Anggota (Five Arts Centre) sebagai calon akhir.

Calon akhir bagi kategori Reka Bentuk Visual dan Set Terbaik adalah Passion Ma (Alice in Wonderland dan Merentas Awan. Reconnect. Recreative serta Wong Tay Sy (Anggota).

Jyotsna Prakash (Kinnara-Moon People/Geetha Shankaran Dance), MK Ridzuan (Pragina-Emosi/The Actors Studio Seni Teater Rakyat & KLPAC) dan Ravi Shetty (Sadhana-The Grace Through Kathak/TFA Inner Space Dance Company) pula merupakan calon akhir kategori Reka Bentuk Bunyi dan Muzik Terbaik.

Di samping itu, hanya Krithika Ramachandran (Shyam..The Blue Devotion/Laasya Arts Academy) dan Queenie Chong (Alice in Wonderland) bertanding dalam kategori Reka Bentuk Kostum, Gaya dan Solekan Terbaik.

Kategori Persembahan Instrumental Berkumpulan pula ditandingi Cecilia Yap & Elaine Pao untuk A Pilgrim’s Song terbitan Viva Opera, Orang-Orang Drum Theatre X Angelika Niescier Trio (Gossip/Jue Ue Shi the Hidden Tune by Orang Orang Drum Theatre X Angelika Niescier Trio) dan Lee Rubber Chinese Orchestra (The Lantern Festival/Dream of the Red Chamber by Lee Rubber Chinese Orchestra KL).

Cecilia Yap turut bertanding dalam kategori Vokal – Persembahan Solo Terbaik dengan Mi Chiamano, Mimi (Aria of Mimi)/A Grand Night of Opera by KL City Opera, dan A Pilgrim’s Song mencabar Mak Chi Hoe (Non Piu Andrai, Farfallone Amoroso (Aria of Figaro)/Grand Night of Opera by KL City Opera).

Anugerah Seni BOH Cameronian kembali selepas tiga tahun dengan reka bentuk kanister teh BOH yang sangat istimewa.

Pemenang kategori Penghibur Utama Terbaik, Koreografer Karya Jangka masa Lama, Instrumental – Persembahan Solo Terbaik, Pengarahan Muzik Terbaik dan Persembahan Peneraju Terbaik akan diumumkan pada malam anugerah BCAA18.

Kategori Vokal – Persembahan Berkumpulan Terbaik ditandingi Kuala Lumpur City Opera Principal Artist and Chorus untuk lagu Brindisi. Manakala Mak Chi Hoe and Kuala Lumpur City Opera Chorus pula dengan lagu Votre Toast (Toreador Song) yang diterbitkan oleh A Grand Night of Opera by KL City Opera.

Ian Chow, Easee Gan dan Jacqueline Teng dengan Cabaret Series: Golden Melody 3 terbitan The Actors Studio Seni Teater Rakyat & KLPAC, Eric Lee Yin Fah (The Spirit of Celtic/Philharmonic Winds of Malaysia) dan Mervyn Peters (Songs for the Season 2022 – Peace on Earth/The Philharmonic Society of Selangor) pula bertanding dalam kategori Arahan Muzik Terbaik.

Persaingan kategori diminati ramai, iaitu Pelakon Lelaki Terbaik pula dipanaskan dengan pencalonan Akmal Asyraf dalam Bangsawan Indie: Raja Bersiong terbitan Revolution Stage X LiveinMyPoetry, Gregory Henno (Ignite: Festival Persembahan Solo Festival 2022 (Kumpulan B)/Good News Art Space, Shah Shaha (24 Jam dalam 37 Tahun/Theatre ThreeSixty) dan Zul Zamir (Ignite: Festival Persembahan Solo 2022 (Kumpulan A) sebagai calon akhir.

Satu lagi kategori kesukaan ramai, iaitu Pengarah Terbaik ditandingi Christopher Ling yang mengarahkan 24 Jam dalam 37 Tahun, Ling Tang (Ibu/Iron Gang Puppet Theatre), Mark Teh (A National History) dan Rahim Jo & Khairunazwan Rodzy (Bangsawan Indie: Raja Bersiong).

Kategori lain yang turut dipertandingkan ialah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Persembahan Berkumpulan Terbaik, Skrip Asal Terbaik, Reka Bentuk Pencahayaan Terbaik, Reka Bentuk Visual atau/Set Terbaik, Reka Bentuk Bunyi Muzik Terbaik, dan Reka Bentuk Kostum, Gaya dan Solekan Terbaik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.