Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya Kuala Lumpur (Mekar Budaya) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mementaskan teater Tingginya Menyapu Awan (TMA) di Auditorium DBP pada 25 hingga 27 Julai 2025.
TMA merupakan karya klasik Allahyarham Bidin Subari yang juga dikenali sebagai Malina Manja pada tahun 1975 akan diarahkan oleh Lenny Erwan yang juga peneraju Mekar Budaya.
Teater berusia 50 tahun ini mengisahkan kehidupan sekumpulan gelandangan yang tinggal di penempatan setinggan di pinggir kota. Mereka hidup dalam suasana harmoni dan saling bergantung walaupun dalam kemiskinan.
Konflik utama bermula apabila seorang tua yang nazak menyatakan keinginannya untuk minum susu dan makan buah segar. Walau bagaimanapun, usaha komuniti untuk memenuhi permintaan tersebut gagal apabila Melur, gadis terencat akal, memakan makanan tersebut.
Kehadiran Melur dan ibunya telah membuka rahsia perhubungan mereka dengan orang tua tersebut, lalu menimbulkan persoalan tentang marah, dendam, kehidupan, kematian, dan kemanusiaan.
“Walaupun forte terbaik Malina lebih menjurus kepada karya komedi, tetapi saya dapati pemikirran yang terkandung dalam Tingginya Menyapu Awan ini membincangkan akal fikir dan naluri manusia, menjadikan sanjungan saya kepadanya melebihi karya komedi beliau,” jelas Lenny atau nama sebenarnya Dr. Marlenny Deenerwan.
TMA mengangkat tema eksistensialisme dan realisme sosial, mencerminkan kehidupan masyarakat marginal dengan pendekatan yang menyentuh dan mendalam.
Pelakon popular yang sering memegang watak antagonis, iaitu Jay Iswazir turut menjayakan TMA, sebagai Badi bersama-sama Hazzy Alzeeq (Jumal), Nik Aqil (Suman), Nain Hamdan (Si Buta), Adli Shinichi (Untung), Farhana Fahizam (Gayah), Aisy Ezmi (Melur), dan Azhar Ja’a (Pemuzik Jalanan).
