Diterbitkan pada 1 Disember 2025, 08:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pementasan Tralokal Teater Gamelan Tari Tenun Berurai Emas yang dipentaskan semalam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP berjaya memukau khalayak dengan persembahan sarat warisan budaya, sejarah dan seni tradisional negeri Pahang.

Menggabungkan unsur sejarah penjajahan British, perjuangan pahlawan Melayu, asal-usul gamelan, dan tradisi tenun diraja, pementasan arahan Syahidatul Munirah Badrul Munir itu tampil sebagai persembahan yang bukan sahaja memikat secara visual, tetapi juga berperanan sebagai wadah penyampaian sejarah Pahang dengan pendekatan kreatif.

Komposisi muzik gamelan yang digarap oleh tokoh utama dalam Persatuan Gamelan dan Kesenian Lela Indera Pahang, iaitu Sukri Idris, menghidupkan lagi suasana pementasan teater ini.

Dengan gabungan lakonan penuh penghayatan oleh para pelakon seperti Dean Sitara (Dato’ Bahaman), Fattah Fawzy (J.P Rodger) dan Fazira IRaMa (Tengku Ampuan Mariam), pementasan teater ini membuktikan bahawa seni persembahan mampu menjadi jambatan merapatkan generasi dan memperkasa jati diri bangsa.

Pementasan teater gamelan Tari Tenun Berurai Emas ini merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui DBP Wilayah Tengah dengan kerjasama Persatuan Anjung Seni Nilakandi serta Persatuan Gamelan dan Kesenian Lela Indera Pahang.

Turut hadir menonton termasuklah Pengurus Besar Tourism Pahang, YBrs. Encik Kamaruddin bin Ibrahim yang mewakili YB Puan Leong Yu Man, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang; Pegawai Khas kepada Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, YBrs. Encik Teo Wei Sing; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kuala Lumpur, YBrs. Puan Hidayatul ‘Ein binti Mohamad Azmi yang mewakili Ketua Pengarah JKKN; Sekretariat Perantau Anak Pahang, YBrs. Encik Syed Anas bin Dato’ Syed Ali; Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Julia Alani Henry; dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani binti Omar.

Tetamu kehormat bergambar bersama-sama dengan karyawan DBP dan sidang produksi.
Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi